Istana Negara sahkan terima Anwar, Dr Wan Azizah menghadap Agong
KUALA LUMPUR, 23 Sept — Istana Negara mengesahkan kebenaran permohonan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Namun majlis menghadap yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan ekoran Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih gering dan dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, baginda menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih diancam wabak Covid-19.
“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.
“Semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah,” kata Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.
“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan.”
Anwar tengah hari tadi mengumumkan memiliki sokongan ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.
Katanya Istana Negara turut membenarkannya menghadap Al-Sultan Abdullah namun terpaksa ditangguhkan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.