https://critoxium.com/shop/

Terkini

DAP terus sokong demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan


DALAM tempoh 72 jam yang lalu, rakyat Malaysia melihat sendiri bagaimana sistem raja berperlembagaan berfungsi dalam negara kita.

Kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membatasi keputusan dan tindakan pihak ekskutif.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan pengisytiharan darurat disambut baik oleh rakyat Malaysia.

DAP menyokong sepenuhnya keputusan tersebut. Selama ini, musuh politik kami sentiasa melemparkan fitnah bahawa DAP ialah parti yang menentang sistem raja berperlembagaan dan ingin menghapuskan insititusi diraja.

Ini adalah tohmahan yang langsung tidak berasas.

Dasar perjuangan DAP jelas mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Dasar ini termaktub dalam satu dokumen penting DAP iaitu Deklarasi Shah Alam 2012 dengan kandungan seperti berikut:

i. Mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

ii. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

iii. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

iv. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.

DAP akan terus berjuang di atas landasan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Marilah kita sama-sama mempertahankan sistem demokrasi kita dan menolak sebarang usaha mengambil kuasa melalui perintah darurat. –

* Loke Siew Fook, ahli Parlimen Seremban.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.