https://critoxium.com/shop/

Terkini

Belanjawan kerajaan di hujung tanduk


Oleh Chan Kok Leong

SELEPAS hampir 12 hari dibahaskan di Dewan Rakyat, Belanjawan 2021 masih di hujung tanduk dengan kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang tidak menunjukkan tanda bertolak ansur daripada pendirian masing-masing.

Biarpun Yang di-Pertuan Agong menasihati semua ahli Parlimen agar bersatu demi rakyat dan negara yang sedang mengharungi krisis Covid-19, beberapa pihak menggesa wakil rakyat mengundi berdasar hati nurani dan prinsip.

Blok pembangkang juga membuat beberapa tuntutan agar cadangan belanjawan dipinda misalnya yang melibatkan perbelanjaan tidak perlu seperti unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Mereka juga menuntut beberapa langkah yang lebih memihak kepada rakyat antaranya lanjutan moratorium bayaran balik pinjaman bank.

“Tiada komitmen dari Perikatan Nasional (PN) untuk pinda belanjawan seperti yang dicadangkan,” kata Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang kepada The Malaysian Insight, menjelang pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka esok.

“Oleh itu, ada alasan kecil saja untuk Pakatan Harapan (PH) menyokong belanjawan,” tambahnya, yang juga naib presiden PKR.

Dalam cadangannya, PH juga mahu pengeluaran caruman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilonggarkan bagi membantu rakyat Malaysia menangani kesan ekonomi akibat pandemik.

Pihak pembangkang juga menuntut peruntukan kewangan sama rata untuk semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik.

Kerajaan bagaimanapun nampak tidak berganjak walaupun Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bertemu dengan wakil PH pada 1 November.

Umno sokong atau tidak?

Sementara itu, Umno yang mendukung kerajaan PN terus menggesa pilihan raya lebih awal.

Umno sebelum ini memberikan sokongan bersyarat terhadap cadangan belanjawan, yang dilihat oleh penganalisis politik sebagai tekanan politik kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Kemungkinan Belanjawan 2021 tidak lulus sangat tinggi,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Selain pembangkang, Perikatan juga tidak memenuhi tuntutan Umno,” tambahnya.

Lebih 80 ahli Parlimen membahaskan Belanjawan 2021, dengan wakil rakyat kanan dari Umno – Najib Razak (Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Ahmad Maslan (Pontian), dan Nazri Aziz (Padang Rengas) – membayangkan mereka tidak akan menyokong cadangan kerajaan.

Najib yang kini mengetuai Kelab Penyokong Kerajaan BN berkata sokongan mereka bersyarat sekiranya kerajaan setuju untuk melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank dan pengeluaran Akaun 1 KWSP sebanyak RM10,000 sekali gus dan bukannya secara ansuran.

“Perikatan tidak mahu nampak lemah sekiranya bersetuju dengan tuntutan BN dan PH tetapi Umno juga menggunakan peluang ini untuk menekan Muhyiddin.

“Keadaan nampak rumit kerana kesan gagalnya belanjawan ini boleh jadi agak buruk,” kata Mazlan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said minggu ini menyuarakan kebimbangannya dan mencadangkan satu-satunya jalan keluar daripada kemelut ini ialah dengan mengadakan pilihan raya semula.

Ahli Parlimen Pengerang itu juga mengutarakan beberapa soalan sekiranya Perikatan gagal meluluskan belanjawan pertamanya.

“Adakah perdana menteri akan letak jawatan? Adakah perdana menteri akan mendakwa penolakan ke atas belanjawan bukan tanda keyakinan terhadapnya dan tidak akan letak jawatan?” tanyanya.

Beliau mengingatkan kegagalan meluluskan belanjawan boleh dianggap sebagai kehilangan sokongan dalam kerajaan, berdasarkan amalan dan konvensyen dalam sistem parlimen di negara Komanwel.

Mazlan bagaimanapun bertanya kalau Muhyiddin letak jawatan, siapa yang akan jadi perdana menteri.

“Adakah Agong akan setuju untuk membubarkan Parlimen di tengah pandemik Covid-19? Atau, adakah perdana menteri baharu akan dipilih dalam kalangan 219 ahli Parlimen?

“Atas ketidaktentuan ini, saya tidak nampak Umno akan menolak belanjawan.

“Walaupun gaji kakitangan akan tetap dibayar (walaupun belanjawan tidak lulus), perolehan kerajaan akan terjejas,” tambah Mazlan.

Rundingan saat akhir

Menurut seorang lagi penganalisis, Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, keadaan akan banyak bergantung pada perkembangan sehari dua ini.

“Hanya sebab ada suara bising pasal belanjawan, tidak bermakna ia akan ditolak sepenuhnya.

“Selagi ruang untuk rundingan masih terbuka, masih ada masa,” kata pensyarah politik dan budaya di Akademi Pengajian Melayu.

Bagaimanapun Muhyiddin wajar letak jawatan jika belanjawan ini tidak lepas, tambahnya.

“Agong masih boleh lantik perdana menteri lain kerana mandat Parlimen ini sehingga 2023,” katanya.

Sama seperti Umno, Chang berkata pendirian PH mengenai undian belanjawan belum juga muktamad.

“Kami akan bermesyuarat untuk menentukan pendirian,” katanya.

Menteri dan timbalan menteri BN semalam mengumumkan mereka teguh mendukung Muhyiddin dan kerajaan Perikatan.

“Kami percaya rakan-rakan ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” kata 20 menteri dan timbalan menteri itu dalam satu kenyataan semalam.

Ahli Parlimen BN yang lain, yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan, mengadakan mesyuarat berasingan bersama ketua Kelab Penyokong Kerajaan BN Najib Razak, malam tadi.

Undian Belanjawan 2021 peringkat dasar dijangka akan berlangsung pada Khamis melainkan ditangguh beberapa hari lagi untuk membolehkan semua menteri menggulung perbahasan.

Setakat semalam, masih ada 19 menteri dan kementerian yang belum menggulung perbahasan.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dua kosong susulan kematian wakil Batu Sapi dan Gerik, masing-masing penyokong pembangkang dan kerajaan.

Kerajaan Muhyiddin mempunyai sokongan 112 ahli Parlimen sementara pembangkang 108, terdiri daripada Pakatan Harapan (91), Warisan dan Upko (9), Parti Sarawak Bersatu (2) dan bebas (6).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.