Berdepan risiko mati mengejut, Bob Lokman tidak putus asa cari penawar
KUALA LUMPUR: Ketika menerima berita berdepan risiko kematian mengejut daripada doktor yang merawatnya, Bob Lokman sangat terkejut.
Namun,
rasa terkejut itu diatasinya dengan beristighfar kepada Allah seraya
mengingatkan dirinya agar menerima dugaan itu dengan lapang dada.
“Alhamdulillah,
saya redha. Saya percaya Allah telah mengatur takdir saya dengan
sebaiknya. Saya tidak akan putus asa berubat,” kata Bob yang juga
penulis lirik tersohor negara dalam perbualan dengan Astro AWAN pada Isnin.
Dalam perbualan itu, penulis lirik lagu evergreen Isabella
(nyanyian kumpulan Search) itu berkata, dia sedang dalam perjalanan
menuju Alor Setar, Kedah untuk mendapatkan rawatan sakit jantung di
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Kata
Bob, atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, doktor menyarankannya
menjalani prosedur memasang alat Implantable Automatic Cardioverter
Defibrilator (IADC) yang boleh dilakukan di HSB.
Pemasangan IADC itu kelak, katanya, adalah usaha untuk menstabilkan degupan jantungnya.
Menurutnya,
masalah degupan jantungnya yang tidak stabil itu dikesan doktor yang
merawatnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,
Kelantan baru-baru ini.
“Saya menghadapi masalah kadar denyutan jantung yang laju menyebabkan kesukaran proses mengepam oksigen ke otak.
“Justeru,
rawatan terbaik yang disarankan oleh doktor ialah memasang IADC bagi
menstabilkan kembali denyutan jantung,” ujar Bob yang ditemani isteri
dan dua anaknya ke Alor Setar.
Tujuan ke
Alor Setar juga, jelasnya, berikutan hanya di HSB dia berpeluang
memasang IADC dalam kadar segera memandangkan hospital-hospital lain
tidak berkemampuan memenuhi permintaannya.
“Seperti
saya katakan, saya tidak akan berputus asa berusaha untuk mendapatkan
rawatan asalkan kesihatan saya dapat dipulihkan,” katanya lagi.
Pada awalnya, Bob, 56 tahun, berdepan kesulitan untuk mendapatkan dana sebanyak RM60,000 bagi menampung rawatan pemasangan IADC.
Lantaran tiada kemampuan menyediakan kos tersebut, Bob memohon sumbangan daripada seluruh kenalannya bagi membantunya.
Dalam waktu singkat, dana berkenaan berjaya diperoleh menyebabkan Bob tidak menunggu lama untuk dirawat di HSB.
Bob
mula disahkan mengalami masalah jantung sejak 1998 dan dia menjalani
rawatan secara konsisten dengan mengambil ubat yang dibekalkan doktor.
Selama
ini, katanya, kos ubat-ubatannya sahaja mencecah RM700 sebulan, namun,
dia tidak berhadapan masalah menyediakan belanja berkenaan.
“Cuma
untuk memasang IADC dan rawatan susulan itu yang agak membebankan. Saya
mengaku tidak mampu untuk menyediakan jumlah itu (RM60,000),” ujar Bob
berterus terang.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.