Tiga koalisi politik pada Piraum ke-15?
Oleh Mohd Sayuti Omar
KERUNTUHAN kerajaan PH telah meninggalkan kesan psikologi yang tinggi kepada rakyat dan juga sesetengah orang yang sedang mengecapi madu daripada kerajaan itu.
Mereka adalah terutamanya para ahli Parlimen yang pertama kali menjadi anggota kabinet. Apabila kerajaan itu hilang mereka jadi frust menungging dan gelepar mengenangkan sesuatu yang hilang dari diri mereka.
Ada yang menerima keghuyupan itu seperti kematian bini.
Kehilangan sebuah kuasa dan kerajaan perkara biasa dalam apa-apa perjuangan.Tetapi kehilangan itu bukan mengakhiri sebuah perjuangan sebaliknya perlu dijadikan pembelah semangat baru. Makanya kemalangan itu ia tidaklah perlu ditangisi dan ditagihi sehingga gila. Apa lagi rata-rata rakyat banyak bersimpati dengan kejadian itu.
Tetapi
tampaknya kerana kehilangan itu menjadikan ada orang sasau, merasakan
rugi sehingga hilang pertimbangan lupa budi dan pengorbanan bersama
kawan sejak berdekad lalu, menyebabkan kehilangan itu suatu wabak pula.
Lebih teruk daripada Covid? Tuduhan dan tudingan sesama sendiri pun
berlaku dalam diam, saling cuba menegakkan benang basah atau menikam
bayang.
Sebenarnya masing-masing menjadi penyebab dan isbab kepada kehilangan kerajaan itu, tetapi jarang pula ikhlas untuk masing-masing melihat dan bermuhasabah, mengakui kesilapan sendiri. Iya benar, kesalahan awal terletak kepada OT95 (Dr Mahathir Mohamad) yang melepaskan jawatan tanpa berunding dengan majlis presiden secara sepatutnya.
Disitu
segala ibu puncanya, apa lagi sebelum itu OT95 bermain-main dengan
konsensus yang telah dicapai sebelum itu. Beliau mempermain-mainkan dan
mengadu-domba perasaan dan harapan orang untuk melihat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. Apakah beliau tidak tahu bahawa Anwar adalah orang didambakan untuk jadi perdana menteri?
Azmin
Ali, Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang, adalah
penyempurna kepada kejahatan dan kemungkiran itu. Mereka hanya penyorak
dari tebing semata-mata.
Tidak mengapalah yang hilang sudah hilang. Asal kapas menjadi benang, dari benang dijadikan kain, barang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain. Apabila musibah dan kemalangan itu berlaku semua sepatutnya berpakat dan nekad untuk membina semula kekuatan bagi membangun kerajaan. Semangat awal yang dicanang dan ditempa semasa membina maufakat pembangkang daripada Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan (PH) sejak 20 tahun lalu digunakan pakai semula bagi dijadikan pupuk menyuburkan nekad perjuangan.
Walaupun
ada usaha untuk mengembalikan kerajaan itu atas alasan untuk
memulangkan mandat rakyat, itu sebenarnya retorik sahaja tetapi
hakikatnya untuk mendapat semula kuasa demi diri sendiri. Hakikat itu
tidak boleh disembunyikan khasnya kepada mereka yang baru mengecap
nikmat. Inilah menjadikan kekalahan dan kehilangan madu itu berselerakan
dan berputar-putar bertelagah sesama sendiri.
Bagi
mereka yang baru mengecapi nikmat sebagai menteri laksanakan pengantin
baru beradu di atas kasur permaidani, baru bercumbuan dengan permaisuri
tiba-tiba kamar dicerobohi pengkhianat ia sungguh mengecewakan.Kita
memahami perasaan dan kedukalaraan mereka. Tetapi untuk terus
menangisinya dan melakukan onar tidak wajar.
Nampak
sangat sebilangan mereka yang pertama kali merasai jadi menteri tidak
dapat menerima kehilangan itu. Terbagar-bagar dan terhimbau-himbau dalam
kepala akan segala keindahan yang sudah tiada.
Cadangan untuk mengadakan grand coalition
sehingga jadi perdebatan sesama sendiri kini adalah kerana masing
masing terpanggil untuk mendapat semula kuasa dan memperolehi kembali
keseronokan dan harapan yang diperolehi daripada kerajaan itu. Tidak
mengapa tindakan itu baik, tetapi yang mendukacitakan kenapa berantak
sesama sendiri? Janganlah jadi mereng dan babuk apabila perahu dikocak
ombak, sebaliknya perbetulkan haluan agar sampai ke pulau impian.
Jangan jadi Kassim Selamat.
Kata orang jangan kerana hilangnya kerajaan yang kita "kangani" itu kita menjadi hilang punca dan tidak tahu untuk mengatasinya sehingga keadaan jadi berantakan sesama sendiri. Sesat di tengah jalan kembali ke pangkal. Itu petuanya. Jangan jadi "Kasim Selamat" kerana bersedih mengenangkan nasib dipermainkan orang sampai kedua belah mata jadi buta. Siapa yang rugi dan merana?
Dalam usaha untuk mendapat semula kerajaan itu berbagai usaha dilakukan. Salah satu ialah untuk membentuk GRAND COALITION tadi. Grand Coalition itu bermaksud menyatukan parti-parti pembangkang yang ada. Secara teori cadangan itu baik tetapi teknikalnya perlu diperhalusi. Soal teknikalnya kinilah menjadi perdebatan hangat sehingga meragui orang-orang bawahan, dan saling berbalas tembak pula dalam medsos.
Seperti
mana difahamkan gabungan pembangkang itu akan turut sama mengheret
mereka yang boleh diragui akan keikhlasan dan kejujurannya. Inilah yang
menjadi punca masalah dan polemik. Terus terang disebut di sini niat
untuk membawa semula OT95 berada dalam gabungan itu tidak begitu disetujui oleh pihak lain, Keadilan. Inilah menyebabkan idea atau agenda mewujudkan grand coalition yang dicanang oleh Parti Amanah Negara (Amanah) itu menimbulkan masalah. Berlaku sedikit konflik.
Pertentangan mengenai perwujudan grand coalition
jelas dan masih belum reda. Satu pihak tidak sedia menerima pengambilan
semua parti-parti pembangkang kecil khasnya yang diketuai oleh OT95
untuk berada dalam gabungan berkenaan. Mereka merasakan sudah cukup
dengan PH dianggotai oleh tiga buah parti asal, Keadilan, DAP dan Amanah tanpa perlu menyangkutkan parti lain.
Manakala
pihak yang cuba mengusahakan gabungan itu mempercayai kerajaan yang
hilang itu atau masa depan PH bergantung kepada penerimaan atau
pembentukan gabungan itu. Tegasnya mereka yakin PH tidak boleh menang
tanpa penyertaan dan sokongan OT95. Apakah OT95 menjadi penting dan
perkara wajib selepas mulai merasai kerajaan? Apakah sudah lupa
kesengsaraan gara-gara OT95 sebelum ini dan walaupun kalah tetapi
pembangkang tetap disanjung rakyat? Sebelum ini pembangkang tidak pernah
tergugat penyatuannya walaupun tanpa OT95. Ingat ini.
Anehnya setelah makan sedulang dengan OT95 dan mendapat pujian berlada daripadanya orang jadi lupa kepada kepedihan lampau.
Pihak
yang kurang setuju ada sebab musabab dan hujahnya. Misalnya kenapa
pihak Keadilan keberatan untuk menerima OT95 dan Warisan kerana mereka
meragui kesetiaan beberapa pemimpin dalam parti itu, dan kehadiran
mereka dibaca boleh menggugat apa yang dirancang selama ini.
Keadilan khasnya Anwar sudah melalui berbagai peristiwa dan tragedi bersama OT95 menyebabkan ia sudah serik. Orang yang baru mengecapi setitik madu diberikan OT95 dalam gelas kaca boleh mengata beliau baik tetapi tidak bagi Anwar yang sudah melalui pelbagai kejadian dan peristiwa bersama OT95. Perbezaan pengalaman ini menyebabkan berbeza persepsi terhadap OT95. Adalah tidak adil untuk menerima kebaikan OT95 dengan mengukur apa yang baru diperolehi daripadanya dengan apa yang telah berulang dilalui Anwar.
Anwar tidak menolak keuntungan dan kebaikan grand coalition
dengan mengambil OT95, tetapi keikhlasannya dipersoalkan dan teknikal
perlu diperkemaskan. Anwar dengan OT95 seperti jerat yang tidak akan
melupai pelanduk, sementara mereka yang baru mengenali dan merasai
setitik budi baik OT95, seperti jerat yang masih belum berhadapan dengan
mangsa.
Untuk menyelesaikan konflik yang
berlaku dalam PH kini, jalan terbaik semua pihak kembali kena kembali
kepada asal, dengan melihat dan menyemak semula naratif tujuan
perwujudan PH dan menggunakan semangat asalnya. Nilai dan hayat balik
apakah deklarasi dan intipati dalam laungan Reformasi. PH mempunyai tiga
parti Keadilan, DAP dan Amanah.
PH
sudah membuat ketetapan yang Anwar adalah perdana menteri. Dibimbangi
apabila ada parti lain ikut sama bergabung, nanti ada wakil mereka
dinamakan sebagai perdana menteri. Bagi mereka yang syok dengan OT95
apakah jaminan yang OT95 tidak memugkiri janjinya kalau dia dibawa
bersama dan PH menang kelak?
Beranikah
Salahuddin Ayub untuk membantah dan mengkritik OT95? Atau beranikah
Mohamad Sabu, Guan Eng untuk mengkritik OT95. Berjumpa sahaja dengan
OT95 sudah mengalirkan air mata kononnya simpati atas kejujuran dan
perjuangan gigihnya.
Lantaran itu bagi Keadilan wajar kalau menolak atau meragui akan niat untuk membentuk grand coalition itu. Apa lagi pengumuman dan gerakan membuat grand coalition itu
buat atau diambil tanpa peesepakatan majlis presiden. Majlis Presiden
masih pun belum membuat keputusan dan ketetapan bentuk atau rupa grand coalition yang dimaksudkan itu tetapi ia sudah diluncur. Grand coalition itu semacam dirancang dan digerakan secara terpisah melalui kenyataan dan sinisme daripada beberapa ahli Parlimen tertentu.
Penyelesaian konflik ini tidak mudah muktamad kalau masing-masing ditunggangi nafsu dan emosi serta motif berbeza.
Tiga koalisi besar.
Justeru
itu saya ada solusi sebagai penyelesaian. Ada formula untuk
menyelesaikan pertikaian dan polemik ini. Formula ini bersifat win-win.
Ia mungkin tidak disetujui tetapi ini yang termampu saya kemukakan jika
ia tidak dapat dituntasi. Formula ini boleh dipakai kalau kedua-dua
pihak gagal menemui jalan keluar. Menerusi formula ini semua mempunyai
hak asasi masing-masing. Prinsip fakeh dalam Islam boleh digunakan, bercerailah kalau sudah tidak ada persefahaman walaupun bercerai itu perbuatan yang dikutuk, kerana itu terbaik.
Senario
politik Malaysia kini sedikit berubah dari segi penerimaan umum, maka
politik di masa depan adalah politik bebas dan bersifat liberal atau multi racial
politik sudah diterima. Politik rasisme, politik religious sudah tidak
penting lagi kini. Semuanya menjadi dawas dengan evolusi politik teruja
dengan mendapat kuasa dan gilakan kuasa.
Tampaknya kini masing-masing mengakui politik yang menjadikan bangsa dan agama sebagai
modal sudah tidak relevan lagi. Ia bukan popular lagi. Demikian juga
politik mengutamakan intergriti juga makin leweh. Semua pihak juga sudah
bersetuju dan menerima untuk mengaku kesilapan lama dengan kembali ke
fahaman ilmu siasah baru.
Misalnya Pas yang
berdekad memain dengan politik Islam menuduh lawan mereka Umno politik
kebangsaan yang sekular kini, sudah menemukan kunci baru untuk ke
syurga. Kedua parti itu sudah mencampak kunci neraka. Abdul Hadi Awang
sudah melempar jauh ke dalam laut Amanatnya di Teluk Peradong. RUU 355
juga sudah kuam dan masam dalam gubuk.
Begitu
juga Umno yang menganggap Pas memperalatkan agama untuk kepentingan
politik, sudah tidak nampak lagi perbuatan hitam itu. Kedua parti itu
kini sudah menemui pintu ke 99 untuk masuk ke Syurga secara beriringan.
Syukur.
Nah, bertolak dimensi dan senario
politik Malaysia di masa akan datang bersifat rencam dan tidak kental
dengan isme-isme tertentu. Idealogi bukan lagi perkara yang
diperjuangkan, tetapi apa yang difikirkan soal kemenangan dan kuasa. Apa
lagi Pas kini sudah mengecap madu sebagai kerjaaan dapat membezakan
mana lebih empuk belakang unta dengan kerusi menteri.
Dengan
perubahan senario dan aliran politik itu semua parti boleh membentuk
gabungan dengan sesiapa sahaja atau kumpulan tanpa mengambil kira soal
ideologi, perjuangan dan integriti.
Dalam perkara ini, ingin saya bentangkan teori pembentukan gabungan parti politik (new coalition) yang boleh digunakan pada pilihan raya akan datang.
Gabungan atau koalisi pertama
boleh berlaku antara parti Umno dengan Pas dan Bersatu. Mana-mana ahli
Umno yang senang dengan Perikatan Nasional kini boleh terus bergabung
dengan Pas dan Bersatu menerusi Perikatan Nasional. Sudah dikenali
tokoh-tohoh Umno yang memerut kepada Bersatu dan Pas seperti Annuar Musa
dan "Zahidah" Hamidi. Muhyiddin boleh jadi kepala dibantu Hadi Awang.
Gabungan atau koalisi kedua
pula antara Umno dengan Keadilan dan DAP. Mana-mana ahli Umno yang
tidak senang dengan Bersatu boleh berkolaborasi dengan Keadilan dan DAP.
Antara tokoh Umno yang menampakkan kejijikan mereka kepada Bersatu dan
Pas seperti Mohamad Hassan, Khaled Norden, Ahmad Maslan, Mohd Puad
Zarkasi dan lain-lain. Sedikit masalah apakah mereka sedia untuk
menerima DAP?
Gabungan ketiga pula adalah terdiri daripada Amanah. Amanah yang ghairah untuk membentuk grand coalition boleh jadi ketua berkolaborasi dengan Warisan, parti Inkubator serta bebas. Salahuddin boleh menjadi ketua kepada gabungan ini bersama Shafei Apdal dengan dinasihati oleh OT95.
Berdasarkan
kepada kekuatan diambil kira dari jumlah ahli Parlimen, ketiga-tiga
koalisi itu ada angka tersendiri. Yang mana koalisi pertama Umno, Pas
dan Bersatu ada kira-kira 71 angka di Parlimen, manakala koalisi kedua terdiri daripada Umno, Keadilan dan DAP ada kira-kira 85 ahli Parlimen.
Begitu juga dengan koalisi ketiga itu Amanah, Warisan dan parti Inkubator dan lain-lain ada kira-kira 30 kerusi. Sementara 30 kerusi lagi masih belum menunjukkan pendirian.
Sama-sama
kita doakan agar wujud tiga koalisi besar ini yang akan "beragun" dalam
Piraum ke-15 nanti dengan harapan akan berlaku pertandingan tiga
penjuru.
Glossori:
Babuk = gila.
Beragun = berlawan, bertanding.
Leweh = lemah, tidak berkualiti, longgar.
Dawas = lupus, pupus.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.