AMANAH bangkit teruskan agenda ‘Islam Rahmat Untuk Semua’
Parti Amanah Negara (AMANAH) kini sedang melalui episod mencabar dalam enam tahun kewujudannya apabila terdapat wakil-wakil rakyatnya keluar parti dan menyertai pasrti lain walaupun masih dalam gabungan pembangkang iaitu Pakatan Harapan(PH).
Ini menimbulkan persoalan tentang kelangsungan parti tersebut dalam keadaan yang semakin mencabar. Apakah AMANAH mampu bangkit semula dan meneruskan perjuangannya membawa mesej “rahmat bagi sekalian alam” di negara kita?
Permulaan idea tentang “Rahmat Sekalian Alam” walau tidak diartikulasi sedemikian ialah lama sebelum AMANAH ditubuhkan secara rasmi pada 2016.
Bibit-bibit permulaan dapat dikesan di dalam Pas sendiri yang mula mengambil pendekatan lunak terhadap pihak bukan Islam dan parti yang berbeza ideologi seperti DAP pada lewat 1990-an.
Malah, kewujudan Chinese Consultative Council (CCC) pada tahun 1986 merupakan usaha paling awal Pas mendekati masyarakat bukan Muslim untuk melebarkan sokongan kepada partinya.
Tahun 1990-an menyaksikan Pas semakin aktif menjalin hubungan dengan parti-parti politik lain walaupun berlainan ideologi malah menjadi seterunya dalam barisan pembangkang seperti DAP.
Ini disaksikan dalam penubuhan Barisan Alternatif (BA) menggabungkan parti-parti pembangkang bagi menghadapi dominasi Barisan Nasional (BN).
Trend ini diteruskan dengan lebih cergas selepas kemasukan ramai profesional ke dalam Pas. Sepanjang dekad berikutnya gagasan “rahmat bagi sekalian alam” menjadi lebih segar dalam Pas sehingga memberikan “kemenangan” yang membanggakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
Pada PRU 2008 itu, BN hilang majoriti dua pertiganya di Parlimen di samping hilang empat lagi negeri di Semenanjung kepada Pakatan Rakyat (PR).
Namun, keadaan itu tidak bertahan lama kerana persaingan kuasa bermula antara dua kelompok dalam Pas – ulama dan profesional. Ulama konservatif-tradisional yang diangkat sebagai pemimpin parti menolak pendekatan lunak dan inklusif yang dibawa oleh profesional dan mahu memastikan penguasaan mereka ke atas naratif Islam dalam parti dan masyarakat tidak digugat.
Mereka tidak dapat menerima arus pemikiran baru tersebut, lalu membuat langkah untuk mengembalikan penguasaan mereka ke atas parti yang kemudiannya menyaksikan pengusiran secara borong keseluruhan kepimpinan profesional dalam parti itu pada pemilihan parti pada 2015.
AMANAH pun lahir pada tahun tersebut, selepas digerakkan sebagai sebuah badan dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB) dengan sokongan ahli-ahli Pas yang tidak dapat menerima pendekatan keras yang diambil parti mereka ketika itu selain kecenderungan parti untuk berbaik dengan Umno yang menjadi musuh ketatnya.
Selain itu, mesej inklusif Islam, penekanan kepada profesionalisme menjadi daya tarikan juga kepada ramai profesional terutama yang berada di dalam badan-badan Islam yang lain. Hasilnya dalam dua tahun awal, AMANAH dapat menarik keahlian yang mencecah lebih 70,000 orang.
Mesejnya yang membawa pengertian Islam secara luas, lebih menekankan nilai dan asas pemerintahan yang progresif menarik kalangan cerdik pandai dan Muslim bandar menyertainya.
Namun, selepas gelombang pertama, AMANAH tidak dapat menarik begitu ramai ahli seterusnya. Demam PRU menjadikan fokus parti beralih kepada persiapan menghadapinya justeru usaha mencari ahli baru semakin berkurang.
Gagasan “Rahmat Bagi Sekalian Alam” walau bertepatan dengan ajaran Islam dan semasa sifatnya, tidak dapat menjadi tarikan pula bagi majoriti orang Melayu-Muslim terutama di kawasan “jalur Melayu” (Malay Belt) – negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Walhal, di kawasan itulah konstituensi AMANAH sebenarnya. Dalam PRU-14, tahun 2018, AMANAH kalah teruk di kawasan-kawasan undi di negeri-negeri tersebut.
Ini bermakna AMANAH perlu mengartikulasi semula gagasan tersebut dalam perkataan dan tindakan yang mudah difahami oleh orang ramai. Namun, usaha itu masih belum kelihatan.
Perbahasan
Bagi saya AMANAH mempunyai potensi besar untuk terus melangkah ke hadapan andaikata pemimpin dan ahlinya memberi fokus kepada perkara-perkara asas yang mesti ditangani sebelum memikirkan perkara-perkara abstrak yang baru dan sukar difahami rakyat terbanyak.
Sebenarnya AMANAH mempunyai peluang dan ruang yang agak banyak ketika ia berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Kementerian dan agensi kerajaan sepatutnya dimanfaatkan bagi menyampaikan gagasan “Rahmat Bagi Sekalian Alam” secara meluas.
Pada masa yang sama di peringkat parti mengangkat program-program kerajaan yang menjurus kepada falsafah ini di semua peringkat terutama peringkat masyarakat Melayu di luar bandar. Kehadiran AMANAH dirasai seiring program yang dijalankan agensi kerajaan.
Kajian sebelum ini mendapati AMANAH berdepan dengan masalah visibility (keterampilan). Logo dan benderanya tidak dikenali, justeru parti itu sukar menembusi dan diterima masyarakt di kebanyakan tempat.
Kemelut baru yang dihadapinya turut berpunca daripada ketidakjelasan tindakan politik pasca kejatuhan kerajaan PH. Kita sedia maklum selepas kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020, berlaku persaingan pengaruh antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kalangan pembangkang.
Kerajaan baru yang menggantikan PH hanya bertahan dengan kelebihan beberapa kerusi jadi andaikata pembangkang sepakat, ada kemungkinan status quo dikembalikan.
Tindakan AMANAH ketika ini menjadi masalah kepada dua aliran dalam parti – satu yang boleh menerima kerjasama berterusan dengan Tun Mahathir dan satu lagi yang menolak hubungan tersebut sebaliknya mahu AMANAH hanya bersama Anwar.
Yang menjadi musykil ialah reaksi balas kepimpinan kepada perkembangan ini. Boleh dikatakan secara umum kepimpinan AMANAH terutama kepimpinan tertinggi tidak melibatkan diri dalam perbincangan dan perbahasan dalam media sosial secara tersusun. Sedangkan isu ini hangat dibahaskan. Pelbagai tafsiran timbul apabila tiada arah tuju yang jelas diberikan.
Selain itu, AMANAH juga perlu bangkit menyuarakan isu rakyat khususnya berikutan kesan yang dialami rakyat terbanyak ekoran penularan wabak Covid-19.
Terlalu banyak isu yang berkait dengan masalah yang dihadapi rakyat terutama golongan B40 dan mereka dalam beberapa sektor ekonomi yang sama ada dibuang kerja, bekerja dengan gaji yang rendah, atau yang tiada peluang pekerjaan dalam keadaan sekarang.
Mampukah AMANAH bangkit semula dan meneruskan agenda besarnya?
*DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM ialah bekas Profesor Madya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.