https://critoxium.com/shop/

Terkini

Makan pedas biar berpada


TIDAK pedas, makan rasa kurang berselera. Inilah yang biasa kita dengar dan disebabkan itu juga ramai memilih hidangan pedas.

Lagi pedas sehingga 'berasap' telinga, semakin enak meskipun selepas itu mereka perlu menanggung akibatnya.

Jadi tidak mustahil mengapa banyak restoran dan produk makanan menawarkan menu pedas 'menyengat' untuk memberi kepuasan dan kehendak pelanggan.

Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HTCM), Dr Wong Zhiqin, berkata menikmati hidangan pedas tidak ada salahnya kerana ada kebaikan dan keburukannya.

Katanya, tiada masalah makan pedas, tetapi perlu berpada-pada bagi mengelak dan memudaratkan kesihatan.

Mudah mendapat cirit-birit kerana badan tidak boleh menampung makanan pedas yang melampau. - Foto hiasan
Mudah mendapat cirit-birit kerana badan tidak boleh menampung makanan pedas yang melampau. - Foto hiasan

Setiap individu patut tahu tahap kepedasan boleh diterima dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dari segi kesihatan.

"Makanan bercili sebagai bahan utama seperti capsaicin boleh memberi rasa pedas.

"Tahap kepedasan boleh menimbulkan rasa pedas di mulut dan panas di dalam perut jika terlebih makan.

"Namun begitu, ia bergantung kepada ketahanan tubuh seseorang kerana masing-masing berbeza, jika banyak makan pedas lagi banyak rasa akan timbul," katanya.

Kesan makan pedas

Katanya, makan pedas berlebihan boleh menyebabkan individu muntah dan mengalami sakit perut yang amat sangat.

Apabila muntah keterlaluan akibat daripada makan makanan pedas, kemungkinan ia boleh mencederakan saluran makanan dari tekak hingga ke perut disebabkan gerakan yang berlaku di dalamnya.

"Lantas, ia menyebabkan mudah mendapat cirit-birit kerana badan tidak boleh menampung situasi pedas yang melampau," katanya.

Mudah dapat gastrik

Bagi individu yang mempunyai penyakit radang usus, kesakitan dirasai mungkin akan lebih teruk.

Malah, jika terlalu kerap mengamalkan corak pemakanan seperti ini, mereka berupaya menghidap penyakit gastrik.

Katanya, bagi penghidap penyakit 'irritable bowel syndrome', mereka lebih mudah mendapat kesan sampingan kerana kurang daya tahan terhadap tahap kepedasan cili berkenaan.

Manfaat makanan pedas

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan kajian capsaicin ini tidak menyebabkan masalah ulser di dalam perut atau menipiskan dinding usus serta tiada kaitan penyebab kepada penyakit kronik lain.

"Cili mempunyai khasiat tersendiri iaitu mempunyai banyak vitamin C, vitamin E dan pro vitamin A, selain mengandungi banyak mikro zat yang penting seperti zat besi.

Dr Wong Zhiqin
Dr Wong Zhiqin

"Makan cili mampu meningkatkan kadar metabolisme seseorang dan anti oksida. Namun, untuk mendapat khasiat semua itu, makan perlu dalam jumlah yang sederhana," katanya.

Dr Wong berkata, setakat ini tiada kajian yang tepat dan dianggap mitos makanan pedas mampu merawat kanser dan menurunkan paras lemak

"Oleh itu, individu bebas makan pedas, namun tidak digalakkan mengambil secara berlebihan bagi mengelakkan sebarang komplikasi," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.