Menang undi calon PM di media sosial, Najib sindir J-Kom tak buat kerja
KUALA LUMPUR, — Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang gagal menaikkan imej perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Berdasarkan undian dalam talian kendalian portal Utusan TV, Najib menjadi pilihan orang ramai sebagai calon perdana menteri dengan 13,602 undian (39 peratus), mengatasi Muhyiddin yang hanya memperoleh 1, 958 undi (enam peratus).
“Saya bukan presiden parti, saya tak terfikir memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan dan keutamaan saya sekarang hanya untuk membersihkan nama daripada tuduhan-tuduhan mahkamah ketinggalan Pakatan Harapan,” catatnya di Facebook.
Sebab apa korang petik nama saya dalam online poll ini?Saya bukan presiden party, saya tak terfikir memegang apa-apa...
Posted by Najib Razak on Tuesday, March 2, 2021
Turut tersenarai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memperoleh 8,628 undi (25 peratus), diikuti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak 5,259 undi (15 peratus) dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan sebanyak 4,033 undi (12 peratus).
Undian yang disiarkan sejak 24 Februari lalu juga menunjukkan Barisan Nasional (BN) menjadi pilihan utama undian rakyat pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) apabila memperoleh 12,762 undi (33 peratus).
Sementara PN hanya mendapat 5,800 undi (15 peratus).
Mengulas lanjut, Najib berkata hasil undian menunjukkan J-Kom, dahulunya dikenali Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), tidak menjalankan kerja dengan baik walaupun sejumlah peruntukan besar diberi kerajaan untuk agensi itu menjadi perantara kerajaan dengan rakyat.
“Kedua-dua undian ini memberi gambaran bahawa J-Kom kurang buat kerja.
“Ayuh J-Kom, kedua-dua undian ini masih dibuka. Jaga-jaga peruntukan RM45 juta tidak ditarik balik,” catatnya.
Operasi Jasa dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas menang PRU14, namun dihidupkan semula tahun lalu di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.