https://critoxium.com/shop/

Terkini

Krisis Covid-19 di India terlalu menyayat hati, kata WHO

 


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) terkejut dengan peningkatan mendadak kes jangkitan dan kematian Covid-19 di India.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata keadaan kini “lebih daripada menyayat hati” dan segala usaha sedang dilakukan bagi membantu negara itu.

“WHO akan lakukan segala yang kita mampu bagi membekalkan peralatan kritikal dan bekalan perubatan.

“Setakat ini, ribuan mesin oksigen, peralatan hospital mudah alih dan bekalan makmal sudah dihantar.

“WHO juga menghantar lebih 2,600 pakar pelbagai program di lapangan termasuk polio dan batuk kering, untuk membantu pihak berkuasa perubatan India menangani pandemik ini,” katanya.

Krisis Covid-19 India kini mencapai tahap kritikal dengan hospital tidak dapat menampung pesakit manakala pusat pembakaran mayat kini beroperasi tanpa henti.

Peningkatan mendadak kes sejak kebelakangan ini menyaksikan keluarga pesakit menggunakan media sosial merayu meminta bekalan oksigen dan katil kosong di hospital.

New Delhi melanjutkan lagi perintah berkurung selama seminggu.

Negara dengan 1.3 bilion penduduk itu kini menjadi kawasan kritikal terbaru wabak yang sudah menjangkiti lebih 148 juta mangsa dan meragut lebih 3.1 juta nyawa di seluruh dunia.

Amerika Syarikat (AS) dan Britain menghantar ventilator dan bahan vaksin kepada India manakala beberapa negara lain turut menghulurkan pelbagai bantuan bagi menangani krisis yang semakin memuncak.

Tedros berkata kes global koronavirus itu meningkat ketara sejak sembilan minggu lalu dan jumlah kes minggu lalu saja sudah melebihi jumlah keseluruhan kes pada lima bulan pertama ketika pandemik bermula.

AS kekal sebagai negara paling terjejas di dunia dengan lebih 32 juta jangkitan dan 586,000 kematian diikuti Brazil dan Mexico.

Namun, India di tempat keempat, sejak kebelakangan ini menjadi penyumbang utama kepada peningkatan statistik Covid-19 global.

India merekodkan lebih 195,000 kematian, dengan 2,812 kematian dan 352,991 jangkitan baharu semalam, yang tertinggi sejak pandemik bermula. – AFP

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.