https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zaid ramal Dr M jadi calon Bersatu atau bebas pro-Bersatu kerana marah belum padam


PETALING JAYA: Bekas menteri persekutuan, Zaid Ibrahim menjangkakan Dr Mahathir Mohamad akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 di bawah tiket Bersatu atau calon bebas pro-Bersatu disebabkan kemarahan berterusan terhadap Anwar Ibrahim dan Najib Razak.

Beliau menyifatkan kemarahan dan kebencian bekas perdana menteri itu terhadap Anwar serta Najib adalah “total” dan tidak pernah berakhir.

“Saya kira kalaulah ada barometer yang boleh menjadi pengukur kebencian Dr M terhadap Najib, ia akan menunjukkan tahap yang sama dengan kebencian Dr M terhadap Anwar. Dr M begitu marah, dia akan bertanding sekali lagi.

“Saya percaya dia akan bertanding di bawah Bersatu ataupun calon bebas yang ditaja Bersatu. Bersatu adalah parti ciptaan Dr M, maka ke situlah dia akan berpijak untuk meneruskan kemarahan dan kebenciannya terhadap Anwar dan Najib,” dakwanya dalam catatan Facebook.

Kelmarin, Mahathir ketika menghadiri sebuah majlis di Langkawi, menyifatkan Najib sebagai perdana menteri paling teruk dalam sejarah negara kerana merosakkan negara dan Umno.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, kemarahan Mahathir terhadap Najib sebenarnya tiada kaitan 1MDB, sama seperti kebencian terhadap Anwar yang tiada kaitan kes liwatnya.

“Anwar enggan memberi laluan kepada Dr M memerintah sampai akhir zaman dan mengkritik cara autokratik beliau, lalu menyiapkan diri mengambil alih pimpinan Umno. Itulah punca kemarahan Dr M yang tidak berakhir terhadap Anwar. Dr M tidak pernah menghukum sesiapa pun, termasuk dirinya sendiri kerana skandal kewangan.

“Kebencian dan kemarahan Dr M terhadap Najib berpunca daripada Najib ingin menjadi presiden Umno dan perdana menteri yang agak bebas daripada arahan dan telunjuknya.

“Ada pihak percaya usaha mencari dana untuk Umno yang tidak ada kaitan dengan Dr M dan kawan-kawan Dr M lah yang menjadi sebab utama penubuhan 1MDB,” dakwanya.

Beliau juga percaya ada banyak faktor yang menyebabkan Umno tewas pada PRU14.

“Najib seorang diri tidaklah boleh memikul beban dan menjadi punca Umno kalah. Umno tewas kerana ianya terlalu lama di bawah pengaruh Dr M.

“Umno tidak dapat berubah dan tidak dapat menerima perubahan dan cara berpolitik yang progresif dan sihat di bawah Dr M.”

Beliau menyifatkan cara berpolitik Mahathir sebagai “Machiavellian”, di mana kuasa mutlak diutamakan dan prinsip diketepikan.

“Penyakit ini berleluasa di bawah parti baru Bersatu. Bersatu dan cara ianya bergerak secocok dengan cara Dr M dulu. Sebab itulah Bersatu akan menang besar dalam pilihan raya nanti, jika pihak pembangkang tidak bersatu, kukuh.”

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.