Sarawak benarkan sambutan Aidilfitri hingga 7 Syawal - JPBN
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan untuk membenarkan sambutan Aidilfitri selama tujuh hari di negeri itu bermula 1 hingga 7 Syawal dengan kehadiran dihadkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja.
JPBN menerusi kenyataan hari ini
memaklumkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) sambutan
Hari Raya secara terperinci boleh didapati di laman rasmi Majlis Islam
Sarawak http://www.mis.sarawak.gov.my.
Antara
yang dibenarkan adalah solat sunat Aidilfitri di semua masjid, surau,
musolla dan premis yang mendapat kebenaran Majlis Islam Sarawak sahaja
dan bilangan jemaah dibolehkan adalah berdasarkan had kapasiti ruang
keluasan masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter.
Selain
itu, ziarah Hari Raya pula dibenarkan di zon Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan keluarga terdekat sahaja dengan had
pengunjung 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan
fizikal.
Bagi mengekang penularan wabak
COVID-19 di beberapa kawasan di Sarawak, sembilan lokaliti telah
dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14
hari iaitu di Rumah (Rh) Tiut anak Usit, Sungai Setulan, Jalan Pesisir
Kuala Tatau, Tatau bermula 28 April hingga 11 Mei.
"Selain
itu, Rh. Mujah anak Atin, Batu 12, Jalan Bintulu-Miri, Bintulu (28
April hingga 11 Mei); Rh. Sam anak Sumbang, Jalan Bintulu-Tatau, Bintulu
(29 April hingga 12 Mei); Rh. Ajah anak Umkar, Sg Serupai Baru, Tatau
(29 April hingga 12 Mei); Kuarters Pekerja Forescom Plywood Sdn Bhd,
Bintulu (29 April hingga 12 Mei).
"Seterusnya,
Rh. Saran anak Belang, Nanga Tau, Tatau (1 hingga 14 Mei); Rh. Nelson
anak Gima, Kuala Setiam, Jalan Pesisir Kuala Tatau, Bintulu (2 hingga 15
Mei); Rh. Jungan anak Mitoh, Sg Mas KM25, Jalan Bintulu-Tatau, Bintulu
(2 hingga 15 Mei); dan Rh. Jembu anak Ensor, Rantau Sukat Roban, Betong
(3 hingga 17 Mei)," menurut kenyataan itu.
Dua
lagi lokaliti PKPD iaitu Kampung Bungey, Debak di Betong dan Kampung
Tanjung, Hulu Saratok pula akan bermula esok hingga 18 Mei.
Kenyataan
itu juga menjelaskan PKPD di Rh. Dinggai, Sg Amut Atas Lubok Pisang di
Pakan dan Rh. Jawa, Sungai Kerubong Selalang di Sarikei dilanjutkan
hingga 12 Mei.
Sarawak hari ini
mencatatkan 620 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan 64 peratus
daripadanya dikesan di daerah Bintulu, Miri, Kapit, Sibu dan Bukit
Mabong menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada
32,667.
Sementara itu, empat kes kematian
baharu melibatkan jangkitan COVID-19 dilaporkan di negeri itu hari ini
menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 188 orang.
-- BERNAMA
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.