https://critoxium.com/shop/

Terkini

Siasat pendedahan Ketua Polis Negara

 


KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador yang akan bersara minggu depan tidak berselindung pada hari-hari terakhirnya apabila menyerang ahli politik seolah-olah kedua-duanya menghunus mesingan.

Kekecewaannya itu mencerminkan juga perasaan rakyat yang lebih setahun terbelenggu di bawah perintah kawalan pergerakan serta 100 hari darurat setakat ini, yang tidak juga meredakan penularan pandemik atau memulihkan ekonomi mereka.

Angka jangkitan baharu di Malaysia yang mempunyai 32 juta penduduk hari ini menghampiri paras 4,000, hampir sekali ganda dengan jumlah di United Kingdom yang mempunyai penduduk 66 juta.

Hakikatnya, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ini banyak mencipta sejarah jadi yang pertama – kerajaan pintu belakang, kerajaan yang mengisytiharkan darurat, penyelesaian kes 1MDB yang tidak jelas, pendedahan wujud sindiket dalam pasukan polis dan kini pendedahan oleh ketua polis negara mengenai salah laku menteri dalam negeri.

Pernahkah sebegini banyak bukti terdedah yang menunjukkan Malaysia sedang dipandu menuju kehancuran?

Pernahkah sebegini banyak karut-marut dipantakkan ke tenggorok rakyat tanpa peduli, atau tanpa gentar akan tindak balasnya nanti?

Mungkin pernah sebelum ini ketika Barisan Nasional (BN) jadi kerajaan. Namun BN ketika itu tidaklah sampai mengisytiharkan darurat atau berunding untuk mengatur pegawai kanan seperti yang diakui sendiri oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Adakah kerajaan ini istilahnya sudah terduduk sampai ke dasar atau apakah ia masih lagi menggali lubang untuk terperosok jauh lebih dalam?

Kenapa perbualan telefon ketua pembangkang Anwar Ibrahim dicuri dengar dan disiasat oleh polis tetapi tidak perbualan menteri dalam negeri?

Kenapa pereka karikatur politik Fahmi Reza menjadi ancaman kepada masyarakat tetapi tidak mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan dengan merentas negeri? Mereka ini dikenakan hukuman yang ringan, lebih ringan daripada peniaga burger yang mencari makan untuk keluarganya.

Kenapa kerajaan ini membenarkan penyelesaian kes 1MDB dengan pihak bank dan juruaudit yang tidak jelas sedangkan mereka sepatutnya diheret ke mahkamah?

Bagaimana pula dengan pengarah syarikat yang meluluskan urusan perniagaan itu? Kenapa kerajaan dan 1MDB mengejar pegawai bank, juruaudit dan peguam tetapi melepaskan bekas pengarah dan pengurusnya?

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin betul apabila berkata kerajaan ini tidak dipilih oleh rakyat. Katanya, beliau peduli akan rakyat Malaysia. Barangkali beliau boleh mengotakan kata-katanya dengan menyiasat pendedahan Abdul Hamid hari ini.

Pendedahan Abdul Hamid adalah antara sentimen terhadap kerajaan bahawa ia hanya memetingkan diri sendiri dan bukannya rakyat. Namun itulah yang rakyat dapat daripada sebuah kerajaan yang tiada manifesto atau mandat untuk dipenuhi.

Kerajaan PN perlu membaiki diri kalau mahu dipilih oleh pengundi dalam pilihan raya nanti. Ia boleh memulakan langkah pembetulan dengan menyiasat pendedahan ketua polis negara dan kekecewaan rakyat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.