Azmin 'sedih' PKR gugurkan Ginie Lim di DUN Machap Jaya
Pemimpin Bersatu Azmin Ali menyentuh soal dalaman parti lamanya iaitu PKR yang tidak mencalonkan penyandang kerusi DUN Machap Jaya, Ginie Lim.
Ketika lawatan ke Machap Jaya hari ini, Azmin berkata dia sedih dengan keputusan PKR untuk menggugurkan Lim dan berharap dia akan meneruskan perjuangan.
"Saya sangat sedih kerana dia digugurkan daripada bertanding dalam pilihan raya negeri ini dan saya difahamkan Ginie Lim adalah mangsa (isu) dalaman PKR kerana Ginie Lim dilihat berpihak kepada saya," kata Azmin.
Azmin adalah bekas timbalan presiden PKR sebelum menyertai Bersatu.
Lim bagaimanapun tidak mengikut jejak Azmin. Namun dia sebelum ini pernah bercanggah dengan kepimpinan pusat, termasuk menghalang pelantikan Ketua PKR Melaka Halim Bachik sebagai senator.
Azmin menyelar PKR yang menurutnya tidak berlaku adil kepada Lim.
"Inilah politik yang tak matang yang diamalkan oleh Keadilan (PKR) yang menyebabkan Keadilan tak lagi relevan dalam politik negara pada hari ini.
"Pemimpin Keadilan tak mampu berlaku adil kepada pemimpin dia sendiri, bagaimana parti ini berlaku adil kepada rakyat dan pengundi.
"Saya bersimpati dengan saudari Ginie namun saya harap Ginie terus berjuang, tak semestinya dalam Keadilan," katanya lagi.
Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) - yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP - akan mengundang Lim menyertai parti itu, Azmin berkata ia terpulang kepada ahli PKR itu.
"Itu keputusan ynag perlu dibuat oleh saudari Ginie, saya menghormati apa saja keputusan yang dibuat, tapi saya simpati Ginie yang menjadi mangsa kepada PKR," katanya lagi.
Azmin bercakap kepada wartawan selepas majlis tertutup bersama kira-kira 30 penduduk kampung di Machap Jaya. Selain Azmin, turut berucap adalah calon PN bagi kerusi DUN itu, Tai Siong Jiul.
Kempen secara fizikal dilarang kerana pandemik Covid-19 namun acara tertutup itu dirangka sebagai sesi libat urus Belanjawan 2022 bersama perusahaan kecil dan sederhana.
PKR mencalonkan Law Bing Haw sebagai calon PH di kerusi itu.
Calon lain yang bertanding ialah Ngwe Hee Sem (BN), Abdul Aziz Osani Kasim (Parti Perikatan India Muslim Nasional) dan Azlan Daud (bebas).
Segelintir akar umbi PKR melahirkan rasa tidak senang dengan keputusan kepimpinan PKR menggugurkan Lim yang telah bergerak di DUN itu sejak PRU 2008 sebelum menang pada PRU 2018.
PKR telah berusaha untuk meredakan rasa tidak senang itu dalam usaha agar tidak menjejaskan peluangnya dalam pilihan raya nanti.
Lim sebelum ini berkata dia menerima keputusan itu dan turut berkempen di Machap Jaya bersama-sama Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.