https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemimpin Bersatu Melaka : Elok Letak Jawatan


Oleh Daud Ibrahim
 
SAYA menghormati keputusan yang rakyat Melaka telah buat dan tahniah kepada yang menang. 
 
Yang tewas, kena cuba lagi. Yang paling menarik, bila PN menang dua kerusi sahaja, mengulangi sejarah kemenangan Bersatu adalah PRU-14, iaitu iaitu dua DUN, Paya Rumput dan Teluk Mas.
 
Kini, PN menang di DUN Bemban (Parlimen Jasin) dan DUN Sungai Udang (Parlimen Tangga Batu).
Kenapa jadi begitu? Padahal, banyak pihak meramalkan PN boleh menang sekurang-kurangnya 12 kerusi, walaupun tidak dapat menubuhkan kerajaan tetapi, keputusan sebaliknya.
 
Eloklah, kepimpinan Bersatu Negeri Melaka mengumumkan perletakan jawatan, bagi memberi laluan kepada ‘muka baru’ mengemudikan Bersatu dan PN Negeri Melaka.
 
Apa yang berlaku, tidak perlu ditangisi kerana tidak akan merubah apa-apa carta yang sudah jelas.
Suatu ketika dahulu, saya pernah menegur kepimpinan Bersatu Negeri Melaka. Tetapi, ramai yang bertanya ; “Siapa Daud Ibrahim? Peneroka Felda? Peguam atau pengampu.”
 
Sebenarnya, jawatan sebagai pemimpin Bersatu negeri bukanlah jawatan untuk “menjual temberang” kepada pucuk pimpinan. 
 
PRN Melaka sebenarnya peluang untuk Bersatu “mencipta satu pencapaian”, sebaliknya apa yang berlaku, satu tamparan hebat
 
kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Bersatu.
 
Lari meninggalkan DUN yang diwakili dan memilih DUN yang kononnya selamat, dengan tidak berbincang dengan kepimpinan di peringkat bahagian, menjadikan suasana “celaru”. 
 
Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tidak patut kalah di beberapa kerusi yang tidak perlu disebutkan di sini, tetapi kalah juga.
 
Kemenangan di DUN Sungai Udang amat membahagiakan saya kerana Datuk Mohamad Ali Mohamad yang siang malam menyerang Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akhirnya “ditumpaskan “ di kawasan di mana dia menjadi Ketua Umno Bahagian.
 
Jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, tampil membuat sidang akhbar mewakili bahagian-bahagian lain, menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRN ini, mungkin menguntungkan Umno Melaka, tetapi dia menjadi “mayat” di kawasan sendiri.
 
Ramai “orang-orang Bersatu” serang menyerang sama-sama sendiri dalam whasap grup kerana tidak puashati dengan calon-calon yang dikemukakan pucuk pimpinan. 
 
Ramai juga yang mengatakan pucuk pimpinan diberikan laporan “tidak betul” dan paling menyedihkan, ada yang mendakwa “kaum keluarga sendiri” bertanding enam kerusi DUN, dengan mengenepikan calon-calon yang sepatutnya layak diketengahkan.
 
Lagi cepat kepimpinan Bersatu Negeri Melaka dirombak, lebih baik. Kepimpinan baharu perlu memberi tumpuan penubuhan dan penambahan cawangan untuk menghadapi PRU-15 yang mungkin diadakan tidak lama lagi.
 
Kepimpinan Bersatu Negeri Melaka tidak perlu mencipta apa-apa alasan untuk “menyedapkan laporan” untuk diserahkan kepada kepimpinan peringkat Pusat. Langkah yang paling wajar, letak jawatan!
 
Semua calon-calon yang tidak menang, jangan kecewa kerana masing-masing boleh menyambung tugas mendekati pengundi, walaupun tidak terpilih. 
 
Inilah peluang baik untuk bermuhasabah, kerja kuat yang mereka lakukan “tidak mencukupi” menyebabkan mereka tidak menang kali ini.
 
Di kawasan-kawasan yang PAS bertanding, undi yang calon-calon PN dapat kelihatan tidak banyak berubah dari undi yang calon PAS dapat dalam PRU14 yang lalu. 
 
Apakah tiada sumbangan undi dari penyokong Bersatu untuk semua calon PAS yang bertanding atas tiket PN?
 
Untuk pengetahuan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) ramai jentera Bersatu “sembang kari” lebih banyak dari bekerja untuk mencari sokongan dan undi.
 
Di samping tidak mendapat sokongan dari TV3, semua calon-calon PN perlu kekalkan ‘kemesraan mereka melalui media sosial’ yang telah mereka perkenalkan.
 
DUN Tanjung Bidara, walaupun YB DW Mas Ermieyati Shamsudin tidak menang, tetapi beliau sudah dapat mengurangkan kekuatan Barisan Nasional di situ. 
 
Satu pencapaian yang cukup baik.
 
Kita tunggu pengumuman kepimpinan Bersatu Melaka untuk meletakkan jawatan!

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.