https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH selepas PRN Melaka


Sebaik Pakatan Rakyat disahkan gagal menawan Putrajaya dalam PRU13, secara pesimis saya meramalkan bahawa Malaysia mungkin memerlukan sekurang-kurangnya sedekad lagi untuk pertukaran kerajaan persekutuan. Bagi saya, pembangkang telah memacu sokongannya hingga kemuncak pada 5 Mei 2013, dan bakal menyaksikan pola menyurut selepas kegagalan menumbangkan BN.

Tanpa diduga, pembangkang dihadiahkan “skandal 1MDB” sebelum PRU14. BN dibadai “ribut sempurna” (perfect storm) apabila pengasas Umno Baru, Mahathir Mohamad menyertai blok pembangkang untuk menentang Najib Razak. Percaturan agar PAS memecahkan undi pembangkang tidak kesampaian motifnya, sebaliknya Pakatan Harapan menang dalam perang tiga penjuru dengan sokongan padu daripada pengundi Cina.

Apapun, PH hanya bertahan untuk tempoh 22 bulan di Putrajaya. Kerajaan PH kemudiannya rebah lantaran pertembungan jalur politik yang berbeza, juga perebutan kuasa antara kabilah. Sejak 1 Mac 2020, PH tercari-cari momentumnya dalam senario politik yang tidak menentu. 21 bulan berlalu, PH akhirnya menemui jawapannya melalui pilihan raya negeri Melaka, yang melabuh tirai pada 20 November 2021.

Politik identiti bukan kelebihan pembangkang

Hakikatnya, tiada perbezaan ketara dari segi ideologi dalam politik arus perdana Malaysia, jikalau ditinjau dalam konteks kiri (sosialisme) dan kanan (kapitalisme). Di Malaysia, hanya Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang mengaku kiri, sementara parti politik yang lain lebih cenderung kepada ideologi berhaluan kanan, khususnya dari segi ekonomi.

Bertitik tolak dari itu, secara kasarnya politik Malaysia menampakkan perbezaan dalam tiga bab, iaitu ekonomi (dasar pengagihan sumber), institusi (autokratik lawan demokratik) dan politik identiti (kaum, agama, bahasa dan sebagainya). Dalam PRU13 (2013), isu yang dijuarai PR lebih kepada reformasi institusi, misalnya tuntutan sistem pilihan raya yang bersih dan adil, ditambah dengan janji populis seperti “hari ini Pakatan menang, esok turun harga minyak” (bab ekonomi). BN cuba melaga-lagakan DAP-PAS dengan politik identiti, misalnya pelaksanaan hudud, negara Islam dan sebagainya. Akhirnya pembangkang menang undi (50.1% undi popular), tetapi kalah kerusi (40.1% kerusi Dewan Rakyat).

Dalam PRU14, isu 1MDB dikerah sepenuhnya, dan berjaya disusun logiknya oleh Mahathir Mohamad bersama PH untuk menggarap imaginasi massa: GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dilaksanakan untuk membayar hutang 1MDB. Mungkin keberatan untuk Mahathir-Bersatu, tetapi reformasi institusi terpaksa dijanjikan ketika ditanya apakah jaminan penyelewengan seperti skandal 1MDB tidak berulang; dan kehadiran Mahathir-Bersatu dalam PH meyakinkan sesetengah Melayu bahawa PH tidak akan didominasi DAP (baca: Cina). Faktor ini melunturkan keberkesanan serangan Umno dan PAS dalam bab politik identiti.

Untuk merumuskan analisis ini, politik identiti tidak pernah menjadi kelebihan pembangkang. Dalam bab ini, sentimen lebih mendominasi daripada rasional. Kebanyakan Melayu-Muslim percaya Umno ialah tembok Melayu, dan PAS ialah benteng Islam. Ini soal persepsi, psikologi dan mentaliti. Anwar boleh merangka kenyataannya dengan istilah “wewenang”, memetik ayat al-Quran dengan bahasa Arab dalam ceramahnya, namun hakikatnya Mahathir Mohamad yang menggunakan “presint” untuk menamakan lokasi Putrajaya, dan penampilan anggota keluarganya tanpa tudung, akan dilihat lebih tebal kemelayuannya dan keislamannya. Pemimpin DAP boleh menghulurkan bantuan untuk Melayu fakir, siap dirakam dengan video yang menabur habuk ke dalam mata, namun pemimpin PAS yang “buy Mercedes first” (BMF), atau Vellfire mahupun Raptor akan dicium tangan mereka.

Senjata PH

Mungkin tidak tepat jikalau PRN Melaka dijadikan satu-satunya petanda untuk menggambarkan senario seluruh negara, namun sudah tentu statistik keputusan pengundian ini lebih “dekat dengan realiti” berbanding imaginasi mengikut subjektiviti masing-masing. Keputusan PRN Melaka memperlihatkan bahawa Perikatan Nasional (gandingan Bersatu-PAS) meraih lebih undi Melayu berbanding PH, sekali lagi mencungkil persoalan sama ada PH wajar menerima semula Mahathir Mohamad, malah Bersatu ke dalam gandingannya.

Rata-rata menganggap PAS menarik sokongan Melayu-Muslim kepada PR dalam PRU13, dan kehadiran Mahathir Mohamad-Bersatu mengisi kelompongan PAS dalam PH ketika PRU14. Namun, pengalaman 22 bulan selepas 9 Mei 2018 menyaksikan bahawa ketidakserasian dalam bab politik identiti (Kongres Maruah Melayu dan isu pengenalan Jawi di SJKC), juga komitmen yang berbeza terhadap reformasi institusi, bakal merebahkan satu gandingan parti politik, meskipun sedang memegang kuasa.

PH harus berdepan dengan realiti. Dalam bab pendemokrasian ekonomi, agak mustahil PH menabur janji populis seperti “hari ini menang, esok turun harga minyak” (seperti dalam PRU13) lagi. Malah, rekod pentadbiran PH untuk tempoh 22 bulan juga tidak memperlihatkan dasar ekonomi yang jelas dan berkesan. Lim Guan Eng atau DAP boleh menuntut peruntukan lebih adil untuk bukan bumiputera ketika membahaskan belanjawan, tetapi ia tidak menyumbang untuk melonjakkan sokongan Melayu-Muslim.

Dalam bab politik identiti pula, Amanah boleh menyindir PAS kerana gagal menunaikan janjinya untuk meminda RUU355, malah memerli PAS lantaran gagal mengharamkan arak dan judi sebagaimana yang dilaungkan; namun sekali lagi, tiada rasional dalam bab politik identiti. Penyokong PAS mungkin kecewa kerana janji PAS “dicapati”, namun apakah mereka yakin bahawa Amanah mampu melaksanakannya andai kembali berkuasa? Lebih parah, apabila Amanah menyerang PAS dengan ludah PAS, pengundi bukan Muslim gagal melihat perbezaan antara Amanah dengan PAS, kerana seolah-olah kedua-duanya sedang memaksakan fahaman agama mereka ke atas masyarakat bukan Muslim. Jadi, bagaimana pengundi bukan Melayu-Muslim boleh teruja untuk pulang mengundi?

Akhirnya, tinggal bab reformasi institusi yang boleh disandarkan PH. Namun PH tidak meminda, jauh lagi memansuhkan akta yang mengekang ruang demokrasi dan kebebasan ketika mereka berkuasa, bukan? Malah Mahathir Mohamad sendiri memberi alasan “manifesto PH bukan kitab suci” ketika didesak, dan ia memberi impak yang parah terhadap PH – Siapa lagi yang akan percaya manifesto PH pada masa depan? Dan jika pun PH tanpa Mahathir dan Bersatu bertekad mereformasikan institusi politik, apakah elemen ini cukup meraihkan undi untuk menumbangkan kerajaan sedia ada, andainya dirujuk keputusan PRU13?

Apakah Mahathir-Bersatu harus diraih semula?

Dilema yang sama terus membelenggu PH, iaitu sokongan pengundi Melayu yang tidak memadai untuk mengesahkan keabsahannya. Mahathir Mohamad mungkin ikon yang mampu meyakinkan pengundi Melayu, tetapi daya tarikan beliau semakin luntur, berbanding waktu PRU14. Malah dalam bab integriti, PM ketujuh ini tidak lagi meraih kepercayaan penyokong tradisi PH. Mahathir bersama Marina boleh menerbitkan memoir untuk membela dirinya dalam episod “Langkah Sheraton”, tetapi bilangan mereka yang mempercayai kisahnya sudah tentu lebih rendah berbanding mereka yang sanggup memberi peluang kepada Mahathir dalam PRU14 untuk memperbetulkan kesilapan yang pernah dilakukan.

Bagaimana andainya Mahathir diketepikan, tetapi meraih semula Bersatu, untuk merangkumkan Melayu yang menolak Umno kerana rasuah, tetapi keberatan menyokong PH? Persoalannya, kebanyakan pemimpin Bersatu tercalar integriti mereka ekoran “Langkah Sheraton”. Apakah jaminannya bahawa episod Bersatu mengkhianati PH tidak berulang pada masa depan, sama ada disebabkan perbezaan pandangan dalam politik identiti, mahupun perebutan kuasa?

Tiada. Lebih-lebih lagi, pengundi Melaka telah menyatakan dengan lantang, mereka menolak “katak”, sama ada digelar oportunis mahupun berprinsip. Maka dalam situasi sebegini, senario yang paling mungkin berlaku andainya Bersatu diterima PH adalah, pengundi yang dikejar tak dapat, penyokong yang dikendong berciciran.

PH memerlukan sedekad lagi?

Justeru itu, andainya diimbas kembali, ramalan pesimis saya pada tahun 2013 tidak meleset ke mana. Apa yang saya maksudkan ketika itu adalah, kita perlu bersedia untuk mencurahkan lebih masa dan tenaga supaya satu generasi baru dibina. Jangan terlalu oportunis untuk mengambil jalan pintas, sungguhpun saya cukup sedar bahawa mustahil kita menunggu sehingga masyarakat mencapai kematangan 100% untuk menyambut sesuatu perubahan.

PH harus mengetengahkan dasar pengagihan sumber ekonomi yang adil untuk semua, dan dasar pembangunan yang sejajar dengan langkah perkembangan di peringkat antarabangsa. PH harus konsisten dan komited dengan reformasi institusi, supaya wujud semak imbang yang berkesan untuk menyekat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Juga, PH perlu mencari muafakat dalam perselisihan politik identiti, dan mengolah restu masyarakat ke arah itu. Politik kita hilang halatuju apabila PH dijatuhkan dengan naratif perkauman dan agama sempit, dan kemudian PH pula cuba menjatuhkan pesaingnya dengan naratif yang sama. Kitaran negatif ini wajib dihentikan serta-merta. Pemimpin PH harus bertekad, bahawa satu hari nanti mereka mampu mempertahankan pendirian dan dasar bersama dalam politik identiti, di depan semua komuniti etnik dan agama tanpa sehiris apologetik.

Sesungguhnya, lebih mudah untuk kata daripada kerja. Itu sebabnya mengapa saya ramalkan bahawa PH memerlukan sekurang-kurangnya sedekad untuk menumbangkan BN. Cuma, senarionya telah berubah selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, dan berubah lagi pada 1 Mac 2020. Apa yang hampir pasti, PH sukar mendendangkan semula lagu 1MDB menjelang PRU15, malah andainya penularan wabak Covid-19 semakin terkawal, dan ekonomi kembali dipacu menjelang PRU15, ia lebih menyukarkan PH untuk kembali menawan Putrajaya.

Apapun, politik Malaysia hari ini lebih baik berbanding politik tanah air pada tahun 2013. Sungguhpun bercelaru, namun kuasa tidak lagi dimonopoli Umno. Lagipun, setelah berkali-kali dibadai gelombang suara rakyat, Umno-BN kini terpaksa menyusun semula langkahnya untuk bersaing dengan parti politik lain, menampilkan sosok seperti Khairy Jamaluddin dan Azalina Othman Said untuk menjuarai isu pentadbiran dan reformasi institusi.

Apabila reformasi tidak lagi dimonopoli PH, bukankah PH juga harus menyusun semula langkahnya untuk mendepani senario baru ini? Jikalau Umno boleh, mengapa PH tidak?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.