PRN Melaka: Henti jadikan Anwar kambing hitam - Otai Reformasi
Pemimpin-pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) disarankan supaya menghentikan menuding jari kepada pengerusinya Anwar Ibrahim atas kekalahan gabungan tersebut dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
"Kami ingin merakam rasa duka cita dengan suara-suara keras dari kalangan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti komponen PH yang mendesak Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai pengerusi PH ekoran prestasi hambar calon-calon PH dalam PRN Melaka.
"Kami berpandangan sewajarnya pemimpin-pemimpin PH perlu melakukan bedah siasat untuk mencari punca sebenar faktor-faktor kekalahan PH dalam PRN Melaka baru-baru ini.
"Bukannya sekadar menjadikan Anwar Ibrahim sebagai kambing hitam menanggung segala keberatan atas kekalahan tersebut," katanya Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail.
Turut hadir, Presiden Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansor.
Dalam sidang media, di Petaling Jaya, hari ini, Abdul Razak membidas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.
Loke menyarankan pembangkang mempertimbangkan untuk tidak lagi berpegang dengan keyakinan bahawa perlu satu logo dan calon perdana menteri untuk menang dalam pilihan raya.
"Kami menyelar keras ‘kegopohan’ Anthony Loke yang mencadangkan pengganti Anwar, sedangkan kita tertanya-tanya siapakah gerangan pemimpin yang dimaksudkan mempunyai karisma yang boleh menyaingi ketokohan Anwar setakat ini.
"Adalah tidak wajar ketika menang PRU14 semua kredit diberikan kepada pucuk tertinggi pimpinan komponen PH masing-masing tetapi apabila menerima kekalahan di PRN Melaka menuding jari kepada Anwar. Itu tidak adil dan menjengkelkan," katanya.
Dia turut mempersoalkan kenapa tiada pemimpin PH mengkritik Dr Mahathir Mohamad ketika gabungan PH kalah beberapa PRK ketika pemerintahan selama 22 bulan.
"Semasa PH memerintah negara selama 22 bulan PH kalah beberapa PRN di Cameron Highlands, Semenyih dan Tanjung Piai.
"Tetapi,
tiada pemimpin komponen PH menuding jari kepada Dr Mahathir sebaliknya
masing-masing kunci sehingga kerajaan PH tumbang pada Feb 2020 menerusi
Langkah Sheraton," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.