https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rumah belum siap tapi ansuran bulanan ditolak penuh


 JOHOR BAHRU: Sudah menjadi kelaziman apabila bayaran ansuran pinjaman perumahan dibayar mengikut tahap kemajuan sesuatu projek sebelum pemotongan penuh dilakukan sebaik sahaja menerima kunci rumah.

Namun, situasi itu tidak berlaku terhadap pasangan suami isteri yang merupakan antara pembeli Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Taman Amar, Majidee, di sini yang turut tertanya-tanya mengenai tarikh penyerahan kunci kediaman mereka.

Salah seorang pembeli, Usman Abd. Razak, 42, antara yang tersepit dengan faktor kewangan kerana perlu membayar penuh ansuran bank berjumlah RM698 sebulan sejak pertengahan tahun lalu.

Namun, pada masa sama, pekerja swasta itu juga perlu menyewa rumah lain di Bandar Seri Alam dengan bayaran RM500 sebulan sementara dapat menduduki RIBJ di Taman Amar yang dianggap membebankan.

“Jika mengikut perjanjian pembelian rumah yang ditandatangani, kediaman ini akan siap selewat-lewatnya pada Mei 2022, namun yang menjadi persoalan adalah mengapa pembayaran penuh sudah dibuat pihak bank.

“Kebiasaannya pembayaran penuh hanya akan dibuat apabila kediaman berkenaan sudah hampir siap dan penduduk sudah boleh mendapat kunci masing-masing.

“Tetapi saya sudah membayar penuh sejak pertengahan tahun lalu, sehingga sekarang tiada perkembangan dimaklumkan daripada pemaju,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di Flat Tasek 64, Bandar Seri Alam, di sini semalam.

Tambah Usman, dia dan isterinya, Norhasyimah Muhamad Diah, 32, telah berusaha mendapatkan maklum balas daripada pemaju berhubung perkara itu namun jawapan yang diberikan tidak jelas sebelum mereka terus berdiam diri.

“Pada September lalu, kami sudah menandatangani borang pindah milik kediaman ke atas nama kami, namun apabila ditanya peguam mendakwa kediaman itu belum memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Perkara ini membuatkan kami semakin bimbang dan tertanya-tanya dengan status sebenar kediaman berkenaan, adakah ianya akan siap dalam tempoh dijanjikan atau sebaliknya.

“Jadi kami amat berharap agar pemaju atau pihak terlibat dapat memberikan maklum balas kerana bukan hanya kami yang berdepan masalah ini sebaliknya majoriti pembeli kediaman tersebut turut berdepan masalah sama,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.