https://critoxium.com/shop/

Terkini

Selepas Melaka PRU pula?


Oleh Mohsin Abdullah

Jujur saya nyatakan kemenangan bergaya BN di PRN Melaka Sabtu lalu akan mendorong pengerusinya yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, meminta PRU15 diadakan segera kalau tidak pun secepat mungkin.

Mungkin Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sememangnya turut terangsang atau setidak-tidaknya menimbang kemungkinan itu. Tetapi Zahid akan “memujuk” Naib Presiden partinya itu menurut hasrat supaya PRU15 diadakan cepat .

Zahid dan juga Umno sebelum ini beberapa kali menegaskan PRU mesti diadakan sebaik sahaja pandemik Covid-19 “beransur pulih” atau terkawal. Sekarang jumlah kes Covid-19 berkurangan berbanding beberapa bulan lalu. Namun ia masih mengancam.

Pun begitu, rasanya Zahid dan juga Najib Razak mahu PRU15 diadakan cepat bagi BN-Umno memanfaatkan gelombang kemenangan yang sedang dinikmati. Umno menang besar di Melaka. MCA dan MIC yang nyawa-nyawa ikan sebelum ini pun menang. Bukan aneh Umno mahu “strike while the iron is still hot”, walaupun kemenangan bukan kepastian.

Hasil keputusan di Melaka, Umno percaya orang Melayu sudah kembali menyokongnya. MCA dan MIC pada hemat mereka sudah tunjuk bibit pemulihan. Bak kata Hisommudin Bakar pengarah eksekutif Ilham Centre, kemenangan di Melaka memberi keyakinan luar biasa dan motivasi tinggi buat kepimpinan, jentera, dan juga ahli Umno-BN untuk menghadapi PRU15.

Untuk Melaka, Majlis Tertinggi Umno (baca Zahid) memutuskan BN bertanding secara “solo” tanpa bekerjasama dengan Perikatan Nasional yang dikemudi Bersatu. Mulanya ramai yang sangsi atau pesimis.

Jelas keputusan Zahid tidak salah. Bagi kem Presiden Umno, kata Hisommudin, “ternyata keputusan dan ijtihad politik MT Umno berbaloi dan tepat. Pandangan kelompok penentang Zahid dalam Umno nampaknya berjaya dinafikan dengan keputusan Melaka.”

Kata beliau lagi, ia juga menafikan hujah bahawa BN khususnya Umno “sudah lemah dan hilang pengaruh lalu perlu duduk dengan parti Melayu lain seperti PAS dan Bersatu”. Ini memangkin keyakinan BN-Umno bertanding secara solo pada PRU15.

Berdasarkan itu, bagi saya, Umno kini rasa ia tidak perlukan PAS dan Muafakat Nasional. Apatah lagi, seperti yang kerap ditekankan PAS sendiri sebelum ini, MN bukan satu entiti yang berdaftar secara sah dan rasmi.

Bagi pemerhati politik Siva Murugan Pandian, BN mungkin bertanding PRU15 secara solo “kecuali PAS berbalik kepada ‘drawing board'”.

Tetapi, kata Siva, PAS sudah menjadi komponen berdaftar PN. Lantas saya menambah parti itu tidak ada pilihan selain kekal dalam PN.

Hisommudin mengimbas kembali sikap PAS memilih lambang PN di PRN Melaka berbanding tawaran Umno untuk PAS menggunakan logo bulan mengambangnya demi menjaga MN tetapi ditolak.

Keputusan dibuat di Muktamar PAS di Kuala Terengganu tidak lama dahulu dan muktamar, kata Hisommudin, badan tertinggi membuat dasar PAS. Oleh itu “sekiranya PAS membuat pusingan U dalam keputusan besar mereka, ini akan menguji kewibawaan PAS,” menurut beliau.

PAS tidak menang sebarang kerusi pun di Melaka, sama ketika PRU14 tiga tahun lalu. PN khususnya Bersatu menang dua kerusi kali ini. Lantas kedua-dua parti tidak boleh “angkat muka” dengan Umno yang kini sedang “mengepak”.

Umpamanya, dalam kerajaan Ismail Sabri, PAS dan Bersatu mewakili PN tidak boleh lagi “menekan”. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dikatakan “mempunyai pengaruh” ke atas kerajaan walaupun beliau tidak duduk dalam Jemaah Menteri.

Jika andaian itu betul, “pengaruh” itu berkurangan atau hilang sama sekali.

Setelah apa yang berlaku di Melaka, adakah Bersatu akan kembali ke pangkuan Umno? Waullahualam. Namun Muhyiddin tegas tidak akan kembali kepada parti lamanya, sebaliknya berikrar akan terus berjuang dalam Bersatu dan PN.

Apa pun, Umno terutama Zahid sememangnya berkeras tidak mahu Bersatu yang mereka tuduh pengkhianat, meskipun Ismail agak “accommodating”. Perlu diingat selaku Naib Presiden, beliau mesti akur dengan keputusan presiden. Kedudukan Zahid sekarang semakin kukuh. Kemungkinan Zahid kekal presiden pada pemilihan parti apabila ia diadakan kelak memang cerah.

Menarik juga kedudukan Najib. Ramai percaya beliau ada hasrat untuk membuat “political comeback”.

Hakikatnya kemenangan BN-Umno di Melaka dilihat juga bagai kemenangan Najib bersama Zahid. Kedua-dua berdepan pelbagai tuduhan rasuah di mahkamah.

Pun begitu mereka sekarang dalam kedudukan politik amat selesa dan tentunya mempunyai impak besar kepada sebarang langkah dan hala tuju Umno, tidak kira berhubung perjalanan kerajaan, pemilihan parti mahupun PRU15.

Akhirnya tidak lengkap bercakap mengenai PRN Melaka jika tidak sentuh soal Pakatan Harapan. Ia dikatakan akan memberi saingan sengit. Ramalan awal menjangkakan PH dan BN akan berkerjasama untuk menubuhkan kerajaan kerana dikatakan jurang kerusi antara mereka begitu tipis.

Sekarang kita tahu apa yang terjadi. Amanah menang hanya satu kerusi. Itu pun kerana kewibawaan dan ketrampilan calonnya Adly Zahari – bukan kerana kekuatan parti.

DAP menang empat kerusi tetapi penerimaan pengundi Cina terhadap parti itu merosot. PKR pimpinan Anwar Ibrahim bertanding 11 kerusi dan tidak menang satu pun. Ertinya PKR tewas semua kerusi yang dimenanginya tiga tahun lalu.

Di mana silapnya? Banyak perkara yang boleh dan sedang diungkit. Oleh kerana ramai yang sudah mengulas dan tahu apa kesilapan yang terjadi, tidak perlu saya mengulanginya.Cuma perlu ditanya adakah Anwar selaku presiden PKR dan pengerusi PH wajar dipersalahkan? Berdasarkan “bad calls” yang dibuat.

“Dalam hal ini saya melihat Anwar wajar bertanggungjawab kerana semua keputusan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden mahupun mesyuarat penuh PH,” kata Hisommudin.

Hisomudin dan Siva sependapat PH mesti melakukan sesuatu segera. Bagi Siva PH mesti buat “post-mortem” dan mereka tidak boleh hanya beri tumpuan kepada pengundi bukan Melayu semata-mata .

Hisommudin pula berkata PH yang melaungkan reformasi mesti melakukan reformasi dalaman dan PH mesti berubah atau diubah oleh rakyat pada PRU15.

Kata beliau, atas kekalahan di Melaka, “PH wajar menilai kepimpinan Anwar sekarang, adakah masih berbisa atau pun sudah tumpul dimakan arus masa”.

Saya setuju.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.