Usah perjudikan kesihatan rakyat
Baru-baru ini, 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan rasa kecewa dan membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk mengenakan duti eksais terhadap produk cecair rokok elektronik (e-rokok) dan vape yang mengandungi nikotin seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022.
Cadangan cukai berkenaan bolehlah diumpamakan 'tangan kanan membina, tangan kiri meruntuh'. Hal ini kerana kerajaan berkempen menggalakkan gaya hidup yang sihat, pada masa sama, membenarkan pula penggunaan produk membahayakan kesihatan.
Kementerian Kesihatan (KKM), agensi kerajaan serta NGO berkaitan perubatan juga kesihatan sudah puluhan tahun berjuang dan berkempen menyedarkan rakyat mengenai bahaya rokok.
Kini tugas mereka semakin bertambah susulan masyarakat tertarik terhadap e-rokok dan vape yang kononnya didakwa lebih selamat berbanding rokok. Jika dakwaan 'selamat' itu diguna pakai, mengapa banyak negara mengharamkan penggunaan e-rokok dan vape, malah di Malaysia keputusan sama dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan. Adakah keputusan majlis fatwa itu tersilap?
Selain itu, adakah wujud kajian yang menyokong dakwaan e-rokok dan vape lebih selamat ? Jika ada, kajian yang mana?
Jika benar selamat, mengapa banyak pihak membantah cukai terhadap e-rokok dan vape, bahkan menggesa kedua-kedua produk itu diharamkan terus oleh kerajaan?
Tidak dinafikan e-rokok dan vape mengurangkan penggunaan rokok konvensional, namun bahaya penggunaan kedua-dua produk itu tetap sama kerana ia masih mengandung nikotin.
Oleh kerana ketidaktegasan kerajaan mengharamkan vape, baru-baru ini Pusat Racun Negara mendedahkan bahawa penggunanya meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun, daripada 600,000 pada 2016 kepada 1.2 juta pada 2019 dengan majoritinya adalah golongan muda berusia awal 20-an.
Lebih parah, ia sudah menyebabkan bertambahnya pengguna baharu yang asalnya tidak merokok. Adakah kita sanggup menggadaikan nasib bakal pewaris negara dengan menerima e-rokok dan vape sebagai pengganti kepada rokok konvensional? Tentunya tidak.
Diharapkan kerajaan memberikan keutamaan dalam memelihara kesihatan rakyat. Besarlah harapan kita untuk melihat generasi negara masa hadapan adalah kelompok yang lebih sihat dan bebas sepenuhnya daripada rokok, e-rokok dan vape.
Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti, Pertubuhan IKRAM Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.