PIALA MALAYSIA | KL City tundukkan JDT untuk tamatkan kemarau 32 tahun
Pasukan KL City FC berjaya menjulang Piala Malaysia tahun ini selepas berjaya menundukkan skuad JDT 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.
KL City berada di depan pada minit ke-66 melalui gol pertama jaringan Zhafri Yahya sebelum mengukuhkan lagi kedudukan tendangan Paulo Josue lapan minit kemudian.
Kejayaan skuad bimbingan Bojan Hodak itu sekali gus menamatkan kemarau panjang skuad ibu kota yang terpaksa menunggu selama 32 tahun untuk menjuarai trofi tersebut.
Ia juga mengekalkan rekod tanpa kalah skuad tersebut sepanjang kempen Piala Malaysia edisi ini.
Kali terakhir Kuala Lumpur mengungguli piala paling berprestij di Malaysia itu ialah pada 1989.
Berdasarkan statistik perlawanan, JDT sebenarnya lebih mendominasi perlawanan dengan menguasai bola jauh lebih banyak berbanding KL City.
Sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan permainan adalah milik JDT dan pasukan dari selatan tanah air itu melakukan 14 percubaan berbanding hanya lima kali oleh pihak lawan.
Daripada jumlah itu, sembilan percubaan tepat ke gawang KL City. Sebaliknya KL City pula membuat dua percubaan tepat ke pintu gol JDT.
JDT nampak sebagai pasukan yang menjanjikan pada separuh masa pertama dengan pelbagai gerakan berbahaya sekali gus mencemaskan lawan.
Pun begitu gerakan tersebut berjaya diimbangi dengan disiplin tinggi anak buah Hodak yang bertahan bagi mengelakkan gawang mereka dirobek.
Beberapa percubaan JDT memang hampir berjaya. Misalnya tandukan Mauricio dos Santos hasil tendangan percuma Arif Aiman Hanapi pada minit ke-36, selain tandukan Safawi Rasid tidak lama selepas itu.
Namun ketangkasan penjaga gol The City Boys yang berasal dari Filipina Kevin Ray Mendoza menjadikan kedudukan tetap terikat tanpa jaringan.
Hanya selepas rehat barulah anak buah Hodak mula menunjukkan corak menyerang lawan.
KL City mara ke perlawanan akhir malam ini selepas mengatasi Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada pusingan separuh akhir pada 26 Nov lalu.
JDT yang juga juara Piala Malaysia edisi 2020 pula melangkah ke perlawanan akhir dengan mentetepikan cabaran Terengganu FC 4-1 secara agregat pada hari yang sama
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.