https://critoxium.com/shop/

Terkini

Koloni katak atau kesetiaan daripada katak?


Oleh Azalina Othman Said

Sebagai penyokong kuat Undang-undang Antilompat Parti (AHL), saya berasa terkilan dengan keputusan Kabinet menangguhkan pembentangan AHL dalam sidang Parlimen ini.

Di samping saya cuba memahami perkara yang dibimbangkan oleh Kabinet, saya memohon Kabinet menjawab beberapa soalan.

1. Dengan komitmen untuk memperkenalkan AHL yang diperolehi daripada MoU dwi-partisan, bukankah ia bermakna sokongan akan diperolehi seperti yang dipersetujui dan juga diatur dengan cara serupa dengan kelulusan pindaan Perlembagaan berkaitan MA63, dengan mandat majoriti besar daripada Ahli Parlimen di Parlimen?

2. Bukankah AHL dianggap sebagai ‘jaminan’ atau ‘matlamat utama’ daripada wakil rakyat kepada pengundi semasa pilihan raya? Bukankah rakyat kepentingan utama kita, dan bukannya ahli politik?

3. Bukankah ‘Recall Law’ akan menjadi penawar terbaik kepada kerajaan sebagai komitmen yang tepat dan terbaik kepada pengundi?

4. Ini pandangan peribadi saya sebagai Ahli Parlimen Pengerang dan juga pengundi:

4.1. Untuk melihat pelaksanaan ‘Recall Law’ menjadi sistem lebih baik, sebagai penghalusan lebih lanjut kepada AHL yang hangat dibincangkan. AHL yang dibincangkan pada masa ini mempunyai beberapa kelemahan dan tidak sesuai bagi keadaan seperti berikut:

  • Ahli Parlimen dalam sesuatu parti yang bersama parti itu telah berpindah daripada satu gabungan ke gabungan lain,
  • Ahli Parlimen dalam sesuatu parti yang telah berpindah, memilih meninggalkan parti itu untuk kekal dalam gabungan sebelumnya,
  • Ahli Parlimen bebas yang memilih untuk menyertai parti politik,
  • Ahli Parlimen parti politik yang meninggalkan parti politik untuk menjadi Ahli Parlimen bebas, dan
  • Ahli Parlimen yang digulingkan oleh parti politik mereka secara paksa atau rela.

4.2. Dalam ‘Recall Law’, pengundi sendiri yang akan memutuskan sama ada tindakan berpindah parti oleh Ahli Parlimen, sama ada dari satu parti ke parti lain, dari satu gabungan ke gabungan seterusnya, atau menjadi Ahli Parlimen bebas, adalah berdasarkan keputusan mereka.

4.3. Jika seseorang itu bimbang ia akan membawa kepada percubaan membimbangkan dan tidak penting dalam menggulingkan Ahli Parlimen, seseorang itu tidak perlu risau. Petisyen awal, dengan beberapa bilangan tandatangan pemilih dari kawasan pilihan raya terbabit sebagai prasyarat minimum, akan dikumpul terlebih dahulu sebelum proses ‘recall’ boleh dimulakan. Hanya dalam proses ‘recall’, pengundi dalam sesuatu kawasan akan menentukan sama ada Ahli Parlimen berkenaan perlu mengosongkan kerusinya. Hanya selepas mengosongkan kerusinya selepas berjaya dipanggil semula, barulah pilihan raya kecil akan diadakan.

4.4. Ini sudah tentu akan dapat menyelesaikan kebimbangan yang dihadapi oleh Menteri Undang-undang sekarang dalam menentukan apa itu ‘lompat parti’.

4.5. Jika ada sebarang keperluan mengenai ‘Recall Law’, saya mencadangkan bahawa ia akan menjadi persoalan kos kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). ‘Recall Law’ di sini merangkumi 3 peringkat, yang selalunya memerlukan kos lebih tinggi daripada mekanisme satu peringkat yang terdapat dalam AHL konvensional. Bagaimanapun, kita mesti mengambil tahu tentang matlamat kerajaan pada hari ini untuk melaksanakan AHL, atau dalam apa-apa bentuk yang serupa, seperti ditetapkan dalam MoU dwi-partisan. Dari perspektif lebih luas, adalah penting bagi negara untuk mengadakan AHL sebelum PRU15, bagi memastikan sebarang pembentukan kerajaan selepas PRU15 akan kekal stabil untuk pengundi biasa dalam meneruskan kehidupan seharian.

Bagi pengetahuan semua, Umno dan Barisan Nasional tidak pernah menyokong penangguhan RUU itu untuk tidak dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini. Ucapan Timbalan Presiden dan Presiden baru-baru ini sepanjang empat hari Perhimpunan Agung Umno juga menunjukkan konsistensi yang cukup, daripada PRN Melaka dan Johor sehinggalah sekarang, bahawa Umno menyokong AHL dan mahu melihat berakhirnya “koloni katak” dan pengkhianatan terhadap pengundi.

Besarlah harapan saya supaya semua parti politik yang mengutamakan hak pengundi secara terbuka terus menyokong AHL, mempertimbangkan ‘Recall Law’, dan bersuara mengenai penangguhan itu. Sebagai wakil rakyat, kita diberi mandat oleh pengundi untuk menegakkan demokrasi, dan dalam aspek ini, suara kita haruslah bersatu.

Cukuplah mengenai AHL. Cukuplah berulang-alik dalam pelbagai sesi libat urus. Dewan Rakyat ialah Rumah Rakyat, bukan tempat perlindungan bagi katak!

 Azalina Othman Said adalah Ahli Parlimen Pengerang.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.