https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pramugara temui kepala ular dalam makanan ketika penerbangan


ANTALYA, TURKI – Pramugara sebuah syarikat penerbangan tambang murah  Turki terkejut apabila menemui kepala ular dalam makanan untuk dihidangkan kepada penumpang   pada Khamis lalu, lapor akhbar The Sun.

Kru kabin penerbangan SunExpress merakam imej tersebut dan memuat naiknya di internet.

Kejadian semasa penerbangan dari Ankara ke Dusseldorf, Jerman itu disedari apabila kakitangan tersebut membuka bungkusan makanan dalam penerbangan.

Dia terkejut menemui kepala ular dalam keadaan seperti sedang merenung tajam ke arahnya.

Media tempatan, Bolge Gundem melaporkan bahawa dakwaan tersebut mendorong kru kabin  lain mengadu mengenai keadaan makanan  teruk yang diterima oleh SunExpress. 

Sebelum ini, kru penerbangan pernah menemui kumbang dan siput babi dalam makanan penumpang.

SunExpress yang berpangkalan di Antalya dalam satu kenyataan berkata, perkara itu  tidak boleh diterima sama sekali.

“Adalah keutamaan kami untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada penumpang dan pengalaman penerbangan yang selamat buat kakitangan SunExpress.

“Dakwaan mengenai keadaan makanan seperti  dilaporkan media adalah tidak boleh diterima, justeru, siasatan terperinci akan dilakukan,” demikian menurut kenyataan SunExpress.

Dalam pada itu, syarikat katering yang menyediakan makanan tersebut, Sancak Inflight Services mendakwa bahawa hidangannya dimasak pada suhu 280 darjah Celsius dan menafikan insiden itu berlaku di dapur kendaliannya.

“SunExpress merupakan pelanggan kami yang amat bernilai. 

“Kami tidak menggunakan sebarang objek asing yang tidak sepatutnya semasa proses memasak,” kata kenyataan itu.

Syarikat berkenaan turut mendakwa bahawa kepala ular itu telah dimasukkan ke dalam makanan pada satu tarikh kemudian. – Agensi 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.