Bekas peguam negara gagal laksana tugas, kata Dr M berkait saman Apandi-Kit Siang
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyuarakan kekecewaannya dengan keputusan kerajaan yang bersetuju membuat penyelesaian dengan Apandi Ali berhubung “pemecatan secara salah” bekas peguam negara itu.
Memetik penghakiman dalam saman fitnah Apandi yang gagal terhadap Lim Kit Siang dari DAP itu, Mahathir berkata adalah jelas bekas peguam negara gagal melaksanakan tugasnya semasa memegang jawatan.
Beliau juga mendakwa ia menunjukkan Apandi bersubahat dalam isu 1MDB.
“Seharusnya, Peguam Negara Idrus Harun tidak tunduk kepada saman Apandi dan bersetuju membuat penyelesaian dan memberi pampasan,” katanya dalam kenyataan.
“Selain menentang Apandi di mahkamah, Idrus perlu memulakan penyiasatan terhadap Apandi.
“Saya merasa sangat kecewa dengan keputusan Idrus yang bersetuju membuat penyelesaian dengan Apandi yang menyaman saya dan kerajaan kerana memecatnya pada 2018.”
Apandi memfailkan saman pada September 2020, meminta pengisytiharan bahawa penamatan khidmatnya sebagai peguam negara oleh Mahathir pada 2018 dilakukan secara salah.
Saman itu diselesaikan pada April, dengan Mahathir kemudian menyatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai syarat penyelesaian itu.
Apandi juga memfailkan saman fitnah terhadap Lim selepas veteran DAP itu mendakwa beliau menyalahgunakan kuasanya untuk menutup siasatan 1MDB dan wang yang dipindahkan ke akaun bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib menegaskan wang itu adalah derma politik daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Dalam penghakimannya, hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar menyatakan bahawa delegasi Apandi tidak bertemu atau bercakap dengan penderma yang didakwa walaupun berkata sebaliknya pada 2016 sebelum meneruskan untuk membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.
Azimah juga berkata Apandi telah menunjukkan sikap tidak berminat dan tidak mengambil berat terhadap peraturan asas undang-undang dan sesuatu yang diterima akal.
Najib disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International pada 2020 dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Rayuan terakhirnya sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.