https://critoxium.com/shop/

Terkini

Parlimen dibubar, pisau kuasa ditangan rakyat


Oleh Mohd Sayuti Omar

PENGUMUMAN pembubaran parlimen oleh perdana menteri Ismail Sabri Yakob semalam agak mengejutkan. Ramai tidak menjangka Ismail Sabri mengambil keputusan itu ketika orang tidak berfikir ia berlaku. Bagaimana pun fahamlah kenapa beliau tergamak mengambil keputusan yang tidak popular dalam kalangan rakyat.  

Kita sedia maklum dan percaya keputusan itu bukan atas kehendak peribadi beliau, melainkan kerana akur dengan kehendak Umno

Beliau sanggup berbuat demikian kerana tidak larat untuk berhadapan dengan tekanan partinya, Umno yang diketuai oleh presiden Ahmad Zahid Hamidi parti dan kluster mahkamah. Untuk mengelakkan diri terus jadi tertekan, maka Ismail Sabri akur berbuat demikian. Beban berat yang terpikul di atas pundaknya kini sudah terlepas. 

Kebetulan Ismail Sabri menyedarii sejauh mana kemampuan (ability) beliau sebagai perdana menteri, maka beliau mengambil keputusan itu. Apa dilakunya, bijak buatnya. Ismail Sabri sendiri menginsafi bahawa jawatan perdana menteri yang disandang itu hanya sebagai rezeki tersepak sahaja.  Sebenarnya Ismail Sabri tidak pun layak untuk memikul tugas dan tanggungjawab untuk negara sebegitu besar. 

Ekoran itu ramai juga yang kesal dan terkilan dan mempersoalkan kenapa Yang diPertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Bilah Shah memberi perkenan pembubaran itu. Beberapa jam selepas parlimen dibubarkan keluar satu kenyataan daripada Istana Negara yang mengatakan Agong kecewa dengan suasana politik dan pembubaran itu tidak dapat dielakkan. Itu yang dapat difahami dengan kenyataan dikeluarkan Dato' Pengelola Bijaya Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.  

Apakah butir-butir dan perincian baginda kecewa tidak dijelaskan. Bagaimana pun implikasi daripada pembubaran itu tidak dapat dielakkan baginda disinis dan dipersendakan.

Itulah senario disebalik pembubaran parlimen semalam. Apapun parlimen sudah dibubarkan dan kita akan berhadapan dengan pilihan raya ke-15. Mungkin pilihan raya kali ini agak ganjil dan luar biasa sedikit, sebab ia mungkin tidak berjalan serentak dengan pilihan raya peringkat negeri bagi beberapa negeri. 

Sebelum ini parti PH dan Pas yang memerintah di enam buah negeri menegaskan mereka tidak akan bertindak membubar DUN masing-masing serentak. Tindakan itu mudah difahami ia merupakan protes pilihan raya daripada diadakan di ambang kedatangan banjir. Ketegasan untuk tidak membubarkan DUN itu sebagai ugutan.

Negeri-negeri itu ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dibawah PH dan Terengganu, Kelantan dan Kedah dibawah Pas. Apakah PH dan Pas akan kekal dengan pendirian itu ataupun mengubah keputusan mereka dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti penjimatan kos? Ada kemungkinan ketetapan awal itu diubah. Hendaknya pemimpin negeri-negeri berkenaan meletakkan kepentingan awam di hadapan berbanding kepentingan diri, usah ikut perangai UBN. 

Bila pilihan raya ke-15? Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh-tarikh penting pilihan raya itu. Mengikut amalan biasa, pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh selepas satu bulan daripada tarikh pembubaran. Mengikut perlembagaan SPR mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

Berdasarkan pengalaman dan amalan itu besar kemungkinan pilihan raya akan diadakan pada bulan November. Tarikh paling sesuai dan munasabah ialah pada 12 November, hari Sabtu, sementara hari penamaan calon pada 26 Oktober juga hari Rabu. Tempoh berkempen dua minggu. Sama-samalah kita tunggu tarikh-tarikh penting itu nanti yang akan diumumkan oleh SPR dalam beberapa hari ini. 

Tidak lari gunung dikejar. Apa yang perlu kita semua bertindak kini ialah semak pendaftaran mengundi dan kawasan pengundian kita. 

Berbalik kepada rasa kesal dan terkilan orang ramai kepada pembubaran parlimen semalam, ia tidak perlu diperpanjangkan. Pembubaran itu sudah tidak dapat dibatalkan walaupun menangis keluar air mata nanah dan darah. Rakyat biasa perlu jadi Pandir sahaja. Sebalik semua pihak dan parti politik yang berminat dengan pilihan raya perlu bersiap sedia. Mereka yang kesal dan kecewa perlu merealisasikan perasaan itu dan diterjemahkan dalam pilihan raya kelak. Gunakan satu undi yang dimiliki masing-masing untuk membalas dendam dan memuaskan hati. Parti yang bergembira pilihan raya diadakan di ambang bencana banjir sepatutnya tidak diberi undi.

Begitu juga parti politik dan pemimpin parti yang tidak bersetuju pilihan raya diadakan tahun ini bagi tidak bertembung dengan bencana banjir juga kena menerima hakikat yang parlimen sudah dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Mereka tidak perlu berdolak dalih dan merintih panjang, tetapi perlu bersiap sedia menghadapi lawan masing-masing dalam pilihan raya kelak. Apabila gelanggang telah dibuka bacullah kita masih mencari helah untuk tidak bertempur. 

Tidak perlu mencaci hamun Ismail Sabri dan partinya Umno, sebalik kena menerima pembubaran itu atas strategi licit Umno yang percaya mereka akan menang. Umno mengambil kesempatan dengan keadaan tidak kondusif itu mengharap peratus keluar mengundi rendah. Dalam sifir UBN kalau peratus keluar mengundi rendah, tidak sampai 80 peratus mereka akan menang.

Petunjuk itu sudah ada dengan apa yang berlaku didua Pirane Melaka dan Johor sebelum ini bilamana peratus keluar mengundi tidak sampai 55 peratus dan mereka menang besar di kedua negeri berkenaan. Apakah situasi di Melaka dan Johor itu akan berlaku? Itu diharapkan oleh UBN. Apabila perkara itu disedari menjadi tugas dan tanggungjawab parti-parti lawan UBN untuk memastikan peratus mengundi tinggi. Kehadiran kira-kira enam juta pengundi baru (18) perlu digerakan agar mereka sedia mengambil bahagian. 

Kepada rakyat pembubaran parlimen dan Piraum ke-15 adalah peluang untuk mereka mendapat kerajaan baharu. Rakyat tidak boleh mempersia-siakan peluang yang sudah dibuka itu. Selama ini rakyat didendangkan dengan keadaan negara kita lemah, ekonomi merudum, kerana tidak ada kestabilan politik apabila kerajaan yang ada lemah serta tidak diyakini dunia. 

Jadi pilihan raya ke-15 ini peluang keemasan untuk memulihkan keadaan negara yang didendangkan sebagai tempang dan "tepok" itu. Rasanya sebilangan besar rakyat sudah memahami apa yang berlaku dalam negara ini. Tahu kenapa negara lemah, kenapa kerajaan tidak perform, dan kenapa pelabur enggan masuk ke negara ini. Semua sebab musabab dan faktornya sudah diisih dan dicerakin oleh rakyat.

Makanya dalam pilihan raya ini, rakyat perlu membuat pilihan tepat dan bijaksana. Memilih parti atau pemimpin yang yang berwibawa yang ada integriti. Yang tidak beretorik dengan bersandarkan kisah-kisah lampau. Sebaik-baiknya mana-mana pemimpin atau parti yang telah diberi peluang sebelum ini diketepikan dan ignore sahaja. Pilihlah parti atau pemimpin yang sarat dengan idea dan iltizam untuk membangun negara yang masih lagi diberi peluang dan belum diuji.

Jika terus memilih pemimpin yang sudah terbukti akan kelemahan dan kebobrokan, maka tidak ada guna dan ertinya pilihan raya diadakan. Kalau tetap memilih parti yang sudah terbukti boleh merosakan negara, yang korup, tidak ada manfaatlah pilihan raya diadakan. Jika itu sikap kita, maka pilihan raya ini hanya berulang untuk terus mencipta kekecewaan dan kekesalan semata-mata. Kita telah menyalahgunakan dan mentafsirkan demokrasi.

Sekarang pisau kuasa ditangan rakyat, lakulah yang terbaik. Sekian untuk kali ini jumpa lagi. 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.