https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pelantikan Ismail, Hisham dalam Jemaah Menteri akan cetus kegelisahan, Anwar diberitahu

 


PETALING JAYA: Seorang ahli akademik mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar tidak memberikan jawatan dalam Jemaah Menteri kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri kanan Hishammuddin Hussein, dengan berkata tindakan sebegitu tidak bijak dari segi politik.

Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia berkata, pelantikan mereka mungkin mengecewakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana kedua-dua pemimpin Umno itu menolak PH.

Beliau berkata, Ismail dan Hishammuddin telah menegaskan sebelum pembentukan kerajaan perpaduan Anwar bahawa mereka tidak mahu Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PH.

“Memberi mereka jawatan dalam Jemaah Menteri akan memperkasakan mereka dalam Umno dan ini bukan sesuatu yang Zahid mahukan,” kata Azmil kepada FMT.

“Perdana menteri tidak perlu memikirkan perasaan (Ismail dan Hishammuddin) ketika membentuk Jemaah Menterinya, kerana beliau perlu mengekalkan Umno dalam kerajaan. Ini memerlukan kerjasama dengan Zahid dan sekutunya.”

Semalam, sumber memberitahu FMT bahawa Jemaah Menteri Anwar mungkin tidak menyenaraikan Hishammuddin dan Ismail kerana mereka menentang kerjasama antara BN dan PH, walaupun mereka berpengalaman luas dalam kerajaan.

Seorang lagi ahli akademik, Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, terpulang kepada kepimpinan tertinggi Umno atau mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan untuk mencadangkan siapa dalam kalangan Ahli Parlimen mereka patut berada dalam Jemaah Menteri.

“Jika Umno mahu Hishammuddin dan Ismail, saya tidak fikir Anwar akan menolak mereka,” katanya.

“Tetapi jika mereka tidak mahu melantik kedua-dua (tokoh itu), mengapa Anwar perlu mengambil risiko yang boleh meretakkan kerajaannya disebabkan dua daripada 30 Ahli Parlimen BN ini?”

Anwar dijangka menamakan barisan Jemaah Menterinya minggu ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.