https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dakwaan Israel gembira Anwar jadi PM - Fahmi kecam FB berkaitan PN

 


Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil mengecam sebuah halaman Facebook berkaitan PN yang menyiarkan hantaran politik yang ditaja, dengan kandungan yang salah atau boleh dipersoalkan yang dilihat untuk memburukkan kerajaan baru.

Ia termasuklah penceritaan sejarah yang tidak tepat berkenaan kota orang Islam yang dikepung dan kemudian penduduknya dibunuh tentera Mongol.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Fahmi membangkitkan antara hantaran tersebut - yang mendakwa Israel gembira dengan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri - yang disifatkannya sebagai terdesak dan bersifat fitnah.

"Sebaran fitnah seperti ini dan mereka yang terlibat atau bersekongkol untuk buat kerja-kerja ini wajar disiasat polis.

"Insya-Allah laporan polis akan menyusul," katanya.

Hantaran berkenaan Israel itu, yang telah dipadam, membangkitkan rencana editor yang disiarkan media Israel, Haaretz yang berkata pelantikan Anwar boleh membawa kepada hubungan antara negara itu dengan Malaysia.

Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan pasport negara juga tidak boleh digunakan untuk masuk ke negara itu.

Halaman yang membuat hantaran itu bernama Perikatan Nasional for Malaysia dan diwujudkan menjelang PRN Melaka pada tahun lalu.

Hantaran tersebut serta 28 lagi hantaran lain - dengan beberapanya menyerang PH dan BN ketika dan selepas PRU15 - ditaja oleh seorang individu yang dipercayai anggota PAS.

Keputusan carian nama individu itu antara lain memaparkan hantaran Facebook yang mengaitkannya dengan PAS, termasuk satu hantaran - kini telah dipadam - yang menyatakan dia merupakan anggota Dewan Muslimat PAS Dungun.

Penceritaan sejarah secara salah

Semakan lanjut oleh Malaysiakini di pustaka iklan Facebook mendapati individu itu telah menaja kira-kira 250 hantaran - kebanyakannya mempromosikan calon PAS atau PN ketika PRU lalu.

Malaysiakini telah menghubungi pasukan komunikasi PN dan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin untuk mendapatkan penjelasan sama ada halaman Perikatan Nasional for Malaysia memang mempunyai kaitan secara rasmi dengan PN atau tidak, dan jika hantaran itu diluluskan untuk siaran.

Selain hantaran mengaitkan Anwar dan Israel, satu lagi hantaran ditaja adalah berkenaan peristiwa Bukhara yang dikepung askar Genghis Khan.

Hantaran itu menyatakan ketika gerombolan Mongol menyerang Bukhara, yang merupakan kota orang Islam di Uzbekistan, Genghis Khan pada mulanya tidak dapat menembusi pertahanannya.

Maka, dia menulis kepada kota itu, dengan tawaran sesiapa yang berlawan dengan tentera Bukhara akan diberi hak kawalan kota itu.

Ia mencetuskan perang saudara di Bukhara dengan kumpulan "pengkhianat" menang.

Namun, selepas askar Mongol masuk ke kota itu kemudian, mereka membunuh para "pengkhianat", dengan Genghis Khan berkata jika kumpulan itu boleh dipercayai, mereka tidak akan mengkhianati kota mereka sendiri.

Penceritaan semula ini dikaitkan dengan sejarahwan Arab yang hidup di abad ke-12 dan ke-13, Ibn al-Athir dan bukunya Al-Kamil Fi At-Tarikh (Sejarah Lengkap).

Pengajaran daripada kisah itu, yang dilihat ingin disampaikan hantaran tersebut, adalah orang yang mengkhianat akhirnya akan dikhianati.

Lebih menarik, hantaran itu turut menyertakan video memaparkan rakyat Malaysia yang bersatu, berlatarbelakangkan lagu Jalur Gemilang.

Namun semakan Malaysiakini mendapati hantaran itu menceritakan semula kisah itu secara tidak tepat, dan dikaitkan secara salah dengan Ibn al-Athir.

Sementara Genghis Khan memang menjajah Bukhara, tenteranya dapat menembusi kubu kota itu dengan menggunakan khidmat pakar perang pengepungan dari China.

Catatan sejarah juga memetik dia sebagai berkata kepada penduduk Bukhara, ketika berucap di sebuah masjid, bahawa dia adalah "hukuman Tuhan" terhadap kalangan yang berbuat dosa.

Ibn al-Athir juga memang ada menulis berkenaan penjajahan Mongol namun Malaysiakini tidak menemui sebarang penulisannya berkenaan pengepungan Bukhara, seperti yang diceritakan dalam hantaran Facebook itu.

Sebuah penerbitan akademik berkenaan Genghis Khan oleh Universiti Islam Malaysia, yang turut menjadikan Ibn al-Athir dan Al-Kamil Fi At-Tarikh sebagai sebahagian rujukannya, turut tidak menyertakan peristiwa itu dalam pengkhisahan penjajahan Mongol di Bukhara.

Selain itu, bertentangan dengan apa yang dinyatakan hantaran itu, tidak semua penduduk Bukhara dibunuh Mongol. Tiada juga sebarang rekod berkenaan perang saudara di kota itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.