Kaki bodek takkan ke mana
Oleh Ronasina
Tular sejak minggu lepas tetapi terus panas sampai ke hari ini kisah seorang penceramah agama di negara jiran yang cuba bergurau dengan seorang penjaja air tetapi akhirnya menyaksikan dia teruk dikecam oleh warganet. Ini menuntut si penceramah terbabit memohon maaf secara terbuka dan langsung kemudian membuat kunjungan ke rumah penjaja tersebut bagi menjernihkan keadaan.
Gawat masyarakat media sosial dengan isu ini. Bagi warganet, meskipun sudah meminta maaf tetapi kerosakan sudah berlaku. Tak wajar bagi mereka seorang agamawan bergurau kasar dengan penjaja tersebut yang difahami oleh orang awam sebagai menghina.
Sebenarnya yang lebih menarik perhatian saya bukannya kisah si penceramah dengan penjaja itu tetapi satu lagi kisah — warganet turut membantai lelaki yang duduk di sebelah penceramah tersebut. Di dalam klip video terlihat si lelaki di sebelah penceramah ketawa terbahak-bahak sehingga terhinggut-hinggut tubuhnya. Kelakar sungguh gurauan si ustaz itu baginya. Dia digelar oleh warganet sebagai pembodek. Tingkah orang seperti inilah, yang mengangguk-angguk atau mengiyakan apa sahaja perbuatan, membuatkan pihak yang punya pengaruh semakin menjadi-jadi kelakuannya.
Penyakit bodek, mengampu, kaki kipas atau tukang jek ini bukan perkara baharu di alam kehidupan. Di mana ada manusia dan di mana ada kedudukan, kuasa, pangkat, kemasyhuran serta pengaruh maka di situlah wujudnya kaki bodek yang mahu tumpang sekaki. Untung-untung dia pun sama boleh naik!
Sewaktu saya bersekolah dahulu kami yang nakal selalu mengejek pelajar-pelajar yang dilihat suka mendampingi guru. Kami gelar mereka ‘kaki bodek’, ‘kaki kipas’ atau ‘hantu warden’ iaitu ‘spy’ yang akan melaporkan kegiatan nakal kami kepada cikgu. Pada waktu itu kami keliru. Kami sangka kami ‘cool’ dan mereka yang mahu majukan diri itu ‘poyo’. Hari ini saya sedar dan akur bahawa pengertian saya pada waktu itu salah. Kawan-kawan yang kami anggap kaki bodek cikgu itu kebanyakannya ikhlas untuk menimba ilmu dan mahu memperbaiki diri untuk berjaya, bukan membodek untuk lulus cemerlang sebab sijil lulus ditentukan di dalam peperiksaan berpusat oleh Kementerian Pendidikan, bukan guru sekolah. Saya salah.
Sebaik memasuki dunia pekerjaan saya mula kenal apa maksud bodek dan ampu. Kita nampak ada rakan sekerja yang kerjanya tak seberapa tetapi apabila majikan datang, tak semena-mena dia jadi manusia paling sibuk dan paling rajin. Apabila mesyuarat dialah yang paling banyak bersuara, dialah yang paling menonjol dengan mengutarakan idea-ideanya yang bernas. Selepas mesyuarat tamat dan tiba masa untuk melaksanakan kata-kata dalam bentuk kerja, dia tak ada. Orang lain yang buat. Dia ke sana ke mari jual cerita dan ambil kredit.
“Itu semua idea aku. Kami buat sama-sama,” canang dia di hulu dan di hilir dengan dada membusung. “Boss puji idea aku tu!”
Begitu juga kalau kita libatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan persatuan. Tidak kira sama ada pertubuhan seni budaya atau pertubuhan perniagaan, mahupun juga parti politik, nescaya Mat Bodek bin Abdul Ampu ini wujud. Bermodalkan hasil borak-borak dengan kelompok A, dia akan menjaja cerita di kelompok B yang kononnya itulah misi dia, wawasan dia dan falsafah dia.
Mula-mula orang akan kagum tapi lama-kelamaan tembelang Mat Bodek pasti akan pecah sebab dia tak menghasilkan apa-apa. Hasil kerjanya pun tak ada. Yang ada hanyalah menempel di tepi orang-orang besar sebagai pak angguk dan tukang ketawa apabila orang besar berjenaka. Macam lelaki sebelah agamawan di dalam video itulah! Seperti rangkap lagu ‘Honky Tong Kosong’ nyanyian Search ciptaan M Nasir dan lirik oleh Usop Kopratasa:
Citamu menggunung,
tapi kau tak tertanggung
Kerana otakmu seperti tong-tong kosong
Pembodek adalah manusia yang tidak ikhlas kerana ia mempunyai agenda peribadi. Dia lebih mementingkan diri sendiri dalam banyak hal. Segala perbuatan dan tindakannya dia ‘jual’ untuk dia naik. Kalau di pejabat, dia mahu apa yang dia buat mendapat pujian daripada boss. Kalau di dalam organisasi dia mencari peluang untuk mendapat kedudukan yang penting dengan menyelinap menjadi orang kuat pemimpin. Orang seperti ini sanggup khianat kawan demi mencapai impian.
Dari segi akidah, mat bodek terpaksa menyembah manusia yang berpengaruh untuk dia beroleh kebaikan. Dia tidak yakin dengan keupayaan yang dikurniakan Tuhan kepadanya maka dia memilih jalan untuk berpaut pada manusia. Dia percaya rezeki dan kedudukan itu terletak di tangan manusia yang dia sembah.
Mat bodek mungkin berpeluang naik jika bodekan dia berjaya tetapi lambat-laun hasil kerjanya akan ‘bercakap’ sebagai bukti sebenar keupayaan dia. Dia mungkin akan kekal selagi dia berpaut pada kekuasaan tetapi jika tempat dia berpaut itu sudah tiada lagi, dia akan turut tercampak.
Atau, seperti hantu raya dia akan merayau mencari tuan baharu. Begitulah modus operandi mat bodek untuk terus hidup. Mereka sentiasa laparkan sanjungan.
Sebelum berakhir, ingin saya jelaskan bahawa video yang tular tersebut tidaklah menjadi hal yang besar bagi saya sementelah pula mereka semua sudah saling bermaafan. Kes tutup.
“Kita yang turut menyibuk pun haruslah meminta maaf kepada mereka kerana sibuk mengutuk,” pesan kawan saya.
Astaga! Betul juga tu. Cuma bagi saya, teladan daripada kisah ini harus kita ambil dan wajib berwaspada agar tidak terpedaya dan tidak terikut-ikut menjadi begitu. Lebih-lebih lagi menjadi mat bodek.
Yakini keupayaan dan kebolehan kita dalam usaha mencari makan untuk hidup. Gunakan bakat yang dianugerahkan kepada kita dengan tekun untuk memajukan diri.
“Tapi membodek inipun suatu bakat juga, Ron. Bukan boleh dibuat-buat,” kata kawan saya.
Kami pun ketawa berdekah-dekah.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.