https://critoxium.com/shop/

Terkini

Azmin masih tak mampu ubah persepsi PN wakili pelbagai kaum


PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan pelantikan Azmin Ali sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) belum mampu menarik sokongan bukan Melayu walaupun beliau pernah menjadi pemimpin PKR, parti mewakili pelbagai bangsa.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, Azmin mungkin diletakkan di kerusi itu bagi membalas budi selepas berjaya membawa beberapa Ahli Parlimen PKR menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan dari Februari 2020 hingga Ogos 2021.

“Walaupun beliau sebelum ini timbalan presiden PKR iaitu parti berasaskan pelbagai kaum tetapi bukanlah pemimpin ‘dipuja’ ahli berbanding Anwar Ibrahim.

“Jadi sukar tarik orang bukan Melayu sokong PN, bagi saya mereka perlu pemimpin dari luar tetapi mesti ada faktor penarik juga seperti tiada lagi pendekatan ekstrem.

“Selain itu, pemimpin bukan Melayu perlu diberi kedudukan utama dalam PN,” katanya kepada FMT, mengulas strategi PN melantik Azmin sebagai setiausaha agungnya, menggantikan Hamzah Zainudin yang kini menduduki kerusi timbalan pengerusi.

Menurut Tawfik, kedudukan Azmin yang disahkan dalam mesyuarat PN kelmarin juga dilihat sukar menarik bekas ahli PKR menyokong PN sekali gus menguatkan gelombang sokongan menjelang PRU16.

“Mungkin hanya pengikut setianya yang masih berbelah bahagi dalam PKR kerana tidak mendapat apa-apa jawatan dalam kerajaan atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” katanya.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpandangan, pelantikan Azmin lebih kepada strategi mendapatkan undi bukan Melayu dan juga Melayu bandar kerana pengalamannya menguruskan negeri maju seperti Selangor dari 2014 hingga 2018.

“Ini daya tarikan beliau yang dilihat mungkin boleh menguntungkan PN terutama bila ekonomi negara dilihat masih merudum.

“PAS mungkin tak berasa senang tapi perlu mengalah kerana tidak memiliki daya tarikan sama dalam kalangan pengundi bandar,” katanya mengulas sama ada pelantikan Azmin mungkin mengundang rasa kecewa parti mempunyai wakil rakyat terbesar dalam PN.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Takiyuddin Hassan dilantik setiausaha agung PN sesuai pengalaman dan senioriti dalam komponen dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu adalah setiausaha agung PAS serta ketua whip PN.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.