Sampai bila, Ayah Chik?
Oleh Fauzi Abdullah
Sampai bila ketakutan terhadap kaum dan agama mahu dijadikan modal untuk mengikat sokongan politik?
Soalan ini wajar ditanya setiap kali bangsa dan agama digunakan untuk menggambarkan lawan politik sebagai ancaman kepada kehidupan rakyat.
Kenyataan terbaru Presiden PAS, Hadi Awang, bahawa DAP memimpin Pakatan Harapan menyambung kerja penjajah untuk menghapuskan Melayu Islam bukan sekadar serangan terhadap sebuah parti.
Apabila sebuah parti dituduh mahu menghapuskan bangsa dan agama, mesej yang sampai kepada rakyat bukan lagi hanya ‘jangan undi mereka’. Mesejnya ialah ‘mereka ancaman kepada kita’. Di situlah politik mula menjadi berbahaya.
Ini bukan kali pertama Hadi membuat kenyataan keras terhadap DAP. Umum sudah tahu maka tidak perlu lagi dihurai panjang lebar di sini.
Hadi, atau lebih dikenali sebagai Ayah Chik dalam kalangan penyokongnya, tentu berhak mengkritik DAP. PAS juga ada hak untuk menolak dasar dan perjuangan parti itu.
Bagaimanapun, tuduhan sebesar mahu menghapuskan Melayu dan Islam memerlukan bukti. Kalau benar, buktikan. Kalau tidak, rakyat berhak bertanya mengapa ketakutan terus dijadikan senjata politik.
Sejarah sepatutnya mengajar kita
Bagi yang mengikuti politik Malaysia sejak 1980-an, polemik berkaitan pendekatan politik Hadi bukan perkara asing.
Nama Ahli Parlimen Marang itu kekal dikaitkan dengan ‘Amanat Haji Hadi’ yang disampaikan di Kampung Banggol Peradong, Terengganu, pada 7 April 1981.
Amanat itu menjadi antara perdebatan besar dalam sejarah politik PAS-Umno, khususnya berkaitan iman, politik dan budaya kafir-mengkafir.
Kita tidak perlu menghidupkan semula semua pertikaian itu. Cukuplah mengambil pengajarannya. Apabila politik terlalu rapat dengan soal iman dan identiti, pertarungan antara parti boleh berubah menjadi perpecahan dalam masyarakat.
Lebih empat dekad kemudian, lawannya berubah. Dulu Umno, kini DAP. Tetapi persoalannya tetap sama: mengapa lawan politik mesti digambarkan sebagai ancaman kepada bangsa dan agama?
Tunjuk bukti
Jika benar DAP mahu menghapuskan Melayu dan Islam, tunjukkan bukti kepada rakyat. Apa yang mahu dihapuskan? Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan? Bahasa Melayu? Institusi raja Melayu? Kedudukan istimewa orang Melayu?
Dasar mana? Keputusan yang mana? Kenyataan siapa? Jangan mengulang tuduhan sehingga orang menganggapnya sebagai fakta.
Ini bukan bermakna DAP kebal daripada kritikan. Jika ada dasar yang merugikan orang Melayu, kritik. Jika ada keputusan menjejaskan kepentingan Islam, persoalkan. Itu hak dalam demokrasi.
Tetapi, ada beza antara mengkritik dasar dengan menuduh sebuah parti mahu menghapuskan bangsa dan agama.
Mendakwa sesuatu dasar itu salah ialah hujah. Mendakwa sebuah parti mahu menghapuskan Melayu dan Islam adalah tuduhan berat. Dan tuduhan berat memerlukan bukti.
‘Pendakwah, bukan penghukum’
Tidak hairanlah kenyataan Hadi mendapat reaksi keras juga daripada DAP yang membidasnya ‘macam ambil kerja tuhan’.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), Sheikh Umar Bagharib Ali, menyifatkan Hadi sebagai ‘penghukum agama’ dan mendakwa pendekatan politiknya berbahaya kerana seolah-olah menjadikan PAS itu Islam.
Katanya, Hadi tidak mengamalkan pendekatan disarankan tokoh Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Hudhaibi: ‘nahnu du’at, la qudhah’ — ‘kita pendakwah, bukan penghukum’.
Di sini, persoalannya bukan siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu, tetapi sejauh mana agama patut digunakan untuk menentukan siapa dianggap benar dan siapa yang perlu ditakuti dalam politik.
Jika setiap lawan politik dilabel sebagai ancaman kepada agama, perbezaan politik akhirnya tidak lagi sekadar perbezaan dasar. Ia berubah menjadi pertarungan moral dan keagamaan.
Melayu tak perlu sentiasa ditakutkan
Isu Melayu sering digunakan dalam politik dengan formula yang mudah. Rakyat diberitahu mereka sedang terancam. Kemudian tampil pihak tertentu sebagai pelindung.
Setiap kali pilihan raya tiba, musuh baharu boleh muncul. Akhirnya masyarakat dibahagikan kepada ‘kita’ dan ‘mereka’.
Tetapi, selepas puluhan tahun politik sebegini dimainkan, mengapa masih ada keluarga Melayu yang bergelut dengan pendidikan, pekerjaan, pendapatan, rumah dan masa depan anak-anak? Kalau mahu membela Melayu, bercakaplah tentang semua itu.
Melayu tidak menjadi kuat kerana setiap masa diberitahu mereka sedang dikejar musuh. Melayu menjadi kuat apabila pendidikan, ekonomi dan peluang hidup mereka bertambah baik.
Begitu juga Islam.
Islam tidak menjadi lebih kuat kerana namanya digunakan sebagai peluru untuk menyerang lawan politik. Islam juga membawa nilai keadilan, amanah, akhlak dan tanggungjawab.
Hadi tahu kuasa kata-kata
Ayah Chik sudah puluhan tahun bergelumang dalam politik. Beliau tentu tahu betapa kuatnya sentimen Melayu dan Islam dalam membentuk sokongan.
Sebab itu tanggungjawabnya lebih besar. Seorang pemimpin bukan hanya bertanggungjawab terhadap apa yang disebut, tetapi juga terhadap kesan kata-katanya kepada masyarakat.
Selepas sesuatu kenyataan dibuat, apa yang tinggal?
Adakah rakyat lebih memahami dasar? Atau mereka lebih takut kepada jiran yang berbeza kaum, curiga kepada orang berlainan agama dan membenci parti yang berbeza pilihan?
Jika keadaan ini berterusan, masyarakat kita akhirnya mahu dibawa ke mana?
Jangan jadikan rakyat mangsa
Ayah Chik boleh mempertahankan Melayu. PAS boleh memperjuangkan Islam. PAS juga boleh menentang DAP. Tiada masalah dengan itu, tetapi lawanlah dengan rekod, dasar, angka, hujah dan bukti.
Jangan setiap perbezaan politik ditukar menjadi ancaman terhadap bangsa dan agama. Pilihan raya akan berlalu. Kerajaan boleh bertukar. Parti boleh menang dan kalah, tetapi rakyat tetap perlu hidup bersama.
Orang Melayu masih bekerja dengan orang Cina. Orang Islam masih berniaga dengan orang bukan Muslim. Anak-anak kita masih belajar dan membesar dalam masyarakat yang sama. Itulah realitinya.
Sebab itu, jika benar Melayu dan Islam mahu dipertahankan, pertahankanlah dengan dasar, hujah dan hasil — bukan menakutkan rakyat terhadap musuh yang tidak pernah dibuktikan.
Kerana mudah menakutkan rakyat. Lebih sukar meyakinkan mereka.
Ayah Chik…sampai bila?




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.