https://critoxium.com/shop/

Terkini

Gelanggang percaturan musuh jadi kawan, rakan jadi lawan


Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

KURANG dua minggu sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, jangkaan bentuk pakatan akan dibentuk parti bertanding nanti semakin jelas kelihatan.

Ketika rundingan kerusi dikhabarkan masih terus berjalan yang kebanyakannya hanya membabitkan sebahagian kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pentas PRN Melaka diramal menampilkan saingan sengit.

Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), khasnya PAS serta rakannya sudah memuktamadkan pakatan antara mereka, sekali gus mengulangi formula kerjasama dirangka ketika PRN Negeri Sembilan.

Seperti diumum Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang parti itu akan mengumumkan calonnya hari ini, sepentas dengan PAS.

Bermakna, isu 'pembubaran' PN oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dilihat tidak menjejaskan persiapan PAS untuk berganding bahu bersama BN menghadapi PRN Melaka.

Persefahaman mengenai agihan kerusi antara BN dan PN juga dilaporkan selesai. PN dijangka kekal bertanding di DUN disandang, iaitu Bemban, selain Ayer Keroh, Banda Hilir, Kota Laksamana, Kesidang dan Bukit Katil, yang sebelum ini gagal dimenangi BN.

PN juga tidak bertanding di DUN Sungai Udang dengan menyerahkan kepada BN dan BN melepaskan DUN Paya Rumput untuk ditandingi PN.

Menerusi persefahaman dibentuk itu, maka rundingan BN dan Pakatan Harapan (PH), khususnya bagi mengelak pertembungan kerusi antara mereka sepertinya sudah berakhir.

Tempoh sekurang-kurangnya seminggu masih berbaki ini, menyukarkan sebarang rundingan untuk dimuktamadkan, apatah lagi syarat ketat BN dan UMNO tetap mahu bertanding di 21 kerusi DUN.

Ini memberi kesan terhadap kedudukan PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mahu bertanding lebih banyak kerusi, jika rundingan tetap mahu diteruskan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh sebelum ini mengesahkan parti itu akan akan bertanding sembilan kerusi pada PRN Melaka kali ini, kurang dua kerusi berbanding 11 DUN ditandingi mereka pada PRN 2021. PKR dijangka mengumumkan barisan calon bertanding hari ini di tapak parkir Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pada PRN sebelum ini, DAP dan AMANAH yang juga komponen PH masing-masing diperuntuk lapan dan sembilan kerusi untuk ditandingi. Namun, hanya lima kerusi, iaitu empat dimenangi DAP, sementara satu milik AMANAH.

Pengurangan kerusi ditandingi PKR kali ini seakan memberi petunjuk satu pakatan antara PH dan BERSATU bakal dimuktamadkan, dengan matlamat hampir sama untuk mengelak pertembungan antara mereka. Sumber pemimpin kanan BERSATU mengesahkan persefahaman awal mengenai agihan kerusi dengan PH sudah dibuat, parti berkenaan akan memuktamadkan persetujuan pembentukan pakatan itu dijangka dalam tempoh terdekat.

BERSATU sejak awal lagi menuntut dua kerusi disandang, iaitu DUN Bemban dan Sungai Udang yang dimenangi mereka, terus ditandingi pada PRN kali ini. Pada PRN lalu, DUN Sungai Udang ditandingi PKR, sementara DAP di Bemban.

Bina momentum kemenangan

Prestasi buruk PH pada tiga siri PRN bermula di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, memaksa mereka perlu merangka strategi baharu bagi membina momentum kemenangan dalam pilihan raya seterusnya.

Dengan penggal Parlimen akan masuk tahun keempat akhir tahun ini, PH tiada pilihan, selain perlu menonjolkan kebangkitan mereka, untuk membina keyakinan pengundi, berikutan cabaran menanti dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijadual berlangsung tahun depan, dijangka lebih mencabar.

Ketika BN dilihat mengambil percaturan sendiri pada PRN Melaka kali ini, PH tentunya berdepan cabaran besar untuk meraih undi Melayu khususnya di 19 DUN. Maka, pilihan terbaik adalah dengan membina persefahaman dengan BERSATU, yang ketika ini sudah dipinggirkan PN.

Kemelut melanda PN sebelum ini, turut meletakkan BERSATU dalam kedudukan paling lemah, melihat rekod pencapaian di PRN Negeri Sembilan.

BERSATU yang mempertaruhkan 24 calon ketika PRN Negeri Sembilan tempoh hari, menerima tamparan hebat apabila menjadi parti tunggal terbesar kehilangan wang depositnya menerusi 23 calonnya.

Parti itu gagal memenangi sebarang kerusi dan terpaksa melepaskan satu-satunya kerusi disandang mereka, iaitu DUN Labu.

Ketika kritikan hebat dilempar kepada BN yang membentuk persefahaman dengan PAS pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, jika persefahaman dengan BERSATU dipersetujui, PH juga bakal berdepan naratif kritikan sama.

Justeru, PRN Melaka biarpun berlangsung pada peringkat negeri, namun percaturan politik dirangka setiap parti bakal menguji keutuhan Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

Sungguhpun pemimpin utama parti sering menegaskan apa yang berlaku dalam PRN tidak menjejaskan pentadbiran di Putrajaya, namun bibit kesaling tidakpercayaan antara mereka kini dilihat semakin melebar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.