'Pelabur Taiwan tak undur, eksport Malaysia lonjak 88 peratus walau isu Dasar Satu China hangat'
Hubungan ekonomi Malaysia-Taiwan kekal kukuh dan tidak terjejas, dengan Malaysia terus menerima pelaburan dari Taiwan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Taiwan merupakan rakan dagang yang penting dan kerajaan mahu memastikan hubungan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan kedua-dua pihak kekal baik.
“Kita masih terus menerima pelabur dan hingga ke tahun ini import dan eksport melonjak sangat tinggi,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Hamzah Zainudin (PN-Larut), Anwar menegaskan bahawa tiada rundingan (perdagangan) antara Malaysia dan Taiwan, bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa hubungan ekonomi kedua-dua pihak dilaksanakan menerusi jawatankuasa kerjasama ekonomi.
Terdahulu, Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) bertanya kepada Perdana Menteri mengenai laporan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataannya yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian dari China, serta implikasinya terhadap perdagangan dan pelaburan dua hala.
Anwar berkata kerajaan meminta supaya mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC) yang ditangguhkan, diteruskan.
Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan MTECC pada 2016.
“Begitu juga sekarang dalam soal Dasar Satu China. Kita jaga hubungan supaya jangan terjejas pelaburan dan saya jawab tadi, belum ada petanda-petanda terjejasnya (pelaburan). Adalah kenyataan-kenyataan politik biasa, sebab itu kita memilih untuk tidak menjawab,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai kesan penegasan pendirian Malaysia berhubung Taiwan terhadap hubungan perdagangan, pelaburan serta keyakinan pelabur asing pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata setakat September tahun ini, eksport Malaysia ke Taiwan mencatat peningkatan sebanyak 88 peratus, antara kadar kenaikan tertinggi dalam tempoh setahun, didorong tumpuan negara terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, beliau berkata laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) juga tidak menunjukkan sebarang petanda pelabur Taiwan berundur atau menyekat pelaburan baharu di Malaysia susulan kenyataan beliau mengenai Taiwan.
“Jadi setakat ini, kita akan ambil apa saja langkah yang perlu untuk menentukan hubungan dagang dan pelaburan dengan Taiwan itu kekal baik tanpa mengorbankan prinsip kita tentang kebebasan dan kemerdekaan negara, pendirian yang telah kita tegaskan sejak 1974,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pendekatan baharu bagi meredakan ketegangan dengan Taiwan susulan kenyataan beliau berhubung isu ketenteraan yang dibimbangi membawa kesan kepada pasaran saham dan pelaburan, Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak pernah menyatakan sokongan terhadap sebarang tindakan ketenteraan China ke atas Taiwan.
Sebaliknya, beliau berkata pendirian Malaysia adalah menyokong Dasar Satu China serta penyelesaian secara aman melalui usaha damai.
“Bukan saya kata saya setuju patut China menyerang Taiwan. Saya kata, kita menyokong Dasar Satu China. Yang kedua, kita kata, kita percaya bahawa penyelesaian secara baik perlu dicapai melalui usaha damai,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa hubungan Malaysia dengan Taiwan diteruskan melalui jawatankuasa kerja bagi menyelaraskan isu perdagangan, pelaburan dan ekonomi, bukannya rundingan antara dua negara.
Beliau berkata penggunaan istilah itu penting kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, dan mekanisme jawatankuasa berkenaan pula dilaksanakan sejak 1974.
- Bernama




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.