Jenguk-jenguklah orang bawah selepas kalah
Oleh Ronasina
Selepas pilihan raya selesai, perkara pertama dilakukan oleh parti yang kalah tentulah membuat bedah siasat. Berapa peratus undi mereka dapat? Unjurannya pasti akan mengikut kaum. Berapa peratus kaum tertentu menyokong dan berapa peratus pula sesuatu kaum beralih undi? Mengapa pengundi muda tidak menyokong? Saluran mana merosot? Strategi mana yang silap? Siapa patut bertanggungjawab?
Semua itu diteliti satu persatu. Kemudian mesyuarat dibuat dan selepas mencapai kata sepakat, kenyataan media dikeluarkan. Rentetan kekalahan, ada pemimpin yang berasa bertanggungjawab atas kegagalannya sebagai ketua lalu menawarkan diri untuk meletakkan jawatan. Tidak dinafikan, ada juga yang didesak berundur manakala sesetengahnya mempertahankan kedudukan. Jika berlaku pengunduran, muncullah nama-nama baharu mengambil alih dan organisasi disusun semula dengan harapan kekalahan tidak berulang.
Tetapi, yang jarang masuk dalam analisis pascapilihan raya dan ‘post-mortem’ ialah, ‘siapa jenguk orang bawah selepas kalah?’. Apa khabar orang yang memasang bendera, mengangkat kerusi, membuka bilik gerakan, memasak, membawa pengundi, mengetuk pintu rumah, menelefon orang kampung dan berjaga sampai tengah malam? Apa cerita mereka yang menggunakan kereta sendiri, motosikal sendiri, telefon sendiri dan duit kocek sendiri untuk memastikan jentera parti bergerak?
Sepanjang kempen, pemimpin besar datang berucap. Dewan, pentas, lampu, kerusi dan meja semua dah siap. Selesai ceramah, pemimpin masuk kereta dan bergerak ke lokasi seterusnya. Orang-orang bawahan inilah yang tinggal mengemas semula tapak ceramah sehingga selesai.
Berpengalaman sedikit ketika pernah terlibat secara aktif dalam politik, maka saya sedikit-sebanyak dapat merasai bagaimana jentera di bawah bekerja. Bagaimana tingginya harapan orang bawahan ketika pimpinan atasan datang dan betapa bangganya mereka bekerja tanpa lokek keringat dan tenaga.
Itulah, pilihan raya bukan sekadar ‘poster boy’ yang kita nampak tertampal di tepi jalan. Di belakang poster dan ‘billboard’ itu ada manusia yang memasangnya pada tengah malam buta. Ada yang mengeluarkan duit sendiri, ada juga yang menggunakan pencetak di pejabat sendiri. Tak kurang juga yang sanggup mengambil cuti kerja. Mereka, orang-orang bawah ini tidak berkira pun semua itu kerana bagi mereka inilah perjuangan.
Apabila parti mereka kalah, mereka juga kecewa. Seminggu juga mereka mengeluh, marah dan bersedih ketika berbincang sesama rakan. Tetapi mereka sesama mereka sahajalah. Pemimpin atasan sudah tak nampak wajahnya lagi. Tak ada siapa yang datang bertanya berapa banyak yang mereka sudah korbankan.
Saya perhatikan, setiap parti politik mempunyai budaya kerja yang berbeza. Ada parti yang menyediakan bayaran setimpal kepada petugas, pekerja atau kontraktor bawahan yang menjalankan kerja sepanjang kempen. Agaknya prinsip mereka ialah kerja tetap kerja dan mereka memahami bahawa tenaga manusia mempunyai nilai, maka keringat wajar dibayar.
Kita kadangkala mencemuh, “Eleh! Budak-budak tu dapat dua tiga puluh ringgit bukan main dia berlagak pasang bendera!” Eh, eh! Apa salahnya, kan?
Ada pula parti yang berjaya mendidik ahlinya bekerja secara sukarela. Mereka percaya perjuangan mempunyai ganjarannya sendiri. Mereka sanggup mengeluarkan tenaga, masa dan wang kerana yakin dengan apa yang diperjuangkan. Bersusah-payah hari ini supaya esok kita akan sejahtera, kata mereka.
Dari sudut positifnya, itu juga suatu kekuatan organisasi. Asalkan tiada isu sesama sendiri maka kaedah tersebut baiklah bagi mereka.
Tetapi ada juga yang mengeluh bila parti mereka mengamalkan slogan, “kerja mahu profesional, bayaran kira sukarela”. Ahli-ahli yang bekerja biasa diminta berkorban atas nama perjuangan. Bila pilihan raya, tiada peruntukan dari atas, pandai-pandailah kawasan tersebut nak buat. Calon yang bertanding pun kata, “kita tak ada duit”. Akibatnya, ada ahli yang ghaib setengah jalan, kerja tak lancar, malah pada hari mengundi PACA (polling agent and counting agent), iaitu ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi pun tak ada. Menggelupur nak cari PACA!
Jangan pelik jika akhirnya ada ahli parti sendiri yang memboikot gerak kerja kerana terasa mereka dan kawan-kawan tidak dipedulikan. Kalau jentera sendiri sudah tawar hati, jangan hairan apabila calon sendiri pun tak diundi mereka. Biar padan muka, katanya!
Bukan semua orang mahu minta duit. Mereka yang sanggup keluar duit sendiri pun jarang mengungkit. Dia cuma mahu ‘orang di atas’ sedar yang dia sanggup berkorban demi cintanya kepada parti. Pimpinan atasan ni, telefonlah. Turunlah sesekali berjumpa bertanya khabar, belanja minum dan ucap terima kasih. Janganlah asyik dok bergaul dalam kelompok yang sama sahaja. Nak-nak waktu perhimpunan dan konvensyen, awak asyik duduk di ruang VIP sahaja. Yang datang dari ceruk negeri, terjenguk-jenguk nak bergambar pun awak tak peduli. Kemudian laju aja berjalan keluar macam sibuk sangat. Orang bawah terkulat-kulat!
Ya, yang di bawah pun ada penyakit juga. Pemimpin di peringkat bawahan ini kadangkala suka menempek dengan pimpinan pusat. Apabila pemimpin pusat datang, dialah yang paling dahulu menyambut. Dia sahajalah hendak duduk sebelah. Orang lain dia sekat. Dialah sahaja hendak bergambar supaya boleh dia pukul canang kononnya ‘kabel’ dia dengan orang besar kuat. Padahal anak-anak buahnya sendiri pun susah hendak berjumpa dengannya.
Dia sahajalah mahu muat naik hantaran di media sosial, “Sempat berbincang dengan pimpinan tertinggi mengenai hala tuju perjuangan…” Ewah!
Pimpinan atasan kena prihatin, jenguklah ahli-ahli jawatankuasa kecil juga. Hargailah tentera di bawah. Penghargaan tidak semestinya berbentuk wang. Tepuk-tepuk bahu pun mampu mengubat kecewa. Kerana bagi saya, sesebuah organisasi akan menjadi kuat apabila orang paling bawah merasakan dirinya mempunyai nilai.
Sentiasalah ingat bahawa dalam sesebuah organisasi, kesetiaan itu bergerak dari bawah ke atas tetapi tanggungjawab harus bergerak dari atas ke bawah. Maka itu, bedah siasat kekalahan pilihan raya tidak lagi sekitar peralihan undi atau tewas dalam peperangan isu, tetapi juga tentang jentera sendiri, tentang perasaan orang bawah. Menukar pimpinan atasan kerana tewas pun tak berguna jika jentera di bawah miskin dan lemah.
Seperkara yang pemimpin harus ingat, orang di bawahlah yang berperang dengan segala tekanan. Merekalah yang berhadapan dengan jiran, mengetuk pintu rumah orang meraih undi. Mereka dicemuh dan ditempelak di kedai kopi dari mula berkempen sehinggalah selepas tewas. Kalau ada pimpinan atasan buat kenyataan kontroversi, terpaksalah mereka di bawah bertemu masyarakat mencuci ‘tahi’ yang telah pemimpin mereka lepaskan. Mereka tetap mempertahankan parti ketika ahli keluarga yang berbeza fahaman menekan mereka. Apakah ini bukan perjuangan?
Pemimpin pusat selepas kalah boleh memberikan sidang media dua puluh minit dan kemudian pulang kerana esok perlu menghadiri sidang dewan. Kecaman-kecaman di internet bukan pimpinan sahaja yang rasa tetapi orang bawah pun sama. Bezanya, apabila orang bawah sudah kecewa, mereka tidaklah mengadakan sidang media atau menulis surat terbuka kalaupun tidak membuat pengumuman keluar parti. Mereka cuma berhenti datang mesyuarat dan mula mengelak untuk hadir program. Akhirnya mereka longlai dan meninggalkan parti dengan senyap. Kita susah ada siapa tolong? Itu yang selalu saya dengar.
Pemimpin boleh bertukar selepas kekalahan. Atau ada yang melompat parti. Presiden boleh berundur, strategi boleh ditukar. Slogan baharu boleh dicipta. Kerjasama dengan parti lain boleh dibincang baharu. Tetapi kalau tangan-tangan di bawah mula kecewa dan berhenti bekerja, lama-kelamaan sesebuah parti itu hanya nampak gah di barisan atas sahaja tetapi hakikatnya di bawah langsung tak ada siapa.
Akhirnya parti politik yang dahulunya besar dan megah, berubah menjadi parti nyamuk yang masuk bertanding sekadar untuk menghanguskan duit deposit. Ketika itu barulah pimpinan tersengih-sengih mencari orang bawah. Orang bawah pun dengan sinisnya mengejek:-
“Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan”




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.