Akankah PAS sokong Umno jadi 'abang besar' PRU16?
Oleh FAKHRURRAZI RASHID
Perhimpunan Agung Umno(PAU) 2026 telah menunjukkan betapa gagahnya parti itu mencari peluang mendapatkan mandat baru melalui pilihan raya.
Setelah hampir empat tahun bersama kerajaan Madani yang dipimpin Anwar Ibrahim, Umno- BN sekali lagi menunjukkan sikap ‘abang besar’ dalam politik negara.
BN paling menarik dalam dinamika politik hari ini. Ramai yang tidak sedar, pascakalah mereka dalam PRU ke-14 (2018), Umno-BN satu-satunya parti yang berada dalam kerajaan persekutuan paling lama berbanding PAS dan PH.
Umno-BN membentuk kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri bersama PN selama 33 bulan selepas menjatuhkan kerajaan PH 1.0 melalui Langkah Sheraton. Kini, Umno-BN membentuk kerajaan perpaduan bersama PH yang memasuki tahun keempat.
Faktanya, Umno-BN tidak pernah benar-benar terkeluar dari orbit kuasa persekutuan.
DNA ‘abang besar’ Umno-BN masih menebal. Pada hujung-hujung penggal, muncullah ugutan tarik sokongan kedengaran. Ia pernah berlaku pada 2022 yang memaksa Ismail Sabri Yaakob hanya sempat menjadi perdana menteri selama 15 bulan.
Semuanya berpunca daripada kerakusan Umno-BN untuk mengadakan PRU lebih awal.
Malangnya, kini kerajaan perpaduan juga berdepan keadaan – atau setidaknya, desakan – yang sama.
Hubungan akrab PAS-Umno terjalin semasa fiasco 1MDB lagi. Parti itu kemudian menjadi third force dalam PRU ke-14 untuk membantu Umno-BN dari aspek memecah undi PH.
Percaturan itu bagaimanapun tidak menjadi. Melalui PRU ke-14, PAS hanya memenangi 18 kerusi, lebih rendah berbanding 21 kerusi pada PRU ke-13.
Dari sisi yang berbeza, PAS berjaya merampas Terengganu daripada BN. PAS juga berjaya memperoleh 15 kerusi di DUN Kedah berbanding Umno-BN yang hanya tinggal tiga kerusi.
Sanggup ketepikan Bersatu demi Umno
Trend itu memperlihatkan PAS adalah alternatif buat pengundi Melayu menggantikan Umno-BN. PAS memulakan langkah membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama Umno pada 2019.
Langkah Sheraton kemudian membuka jalan untuk MN membentuk kerajaan pusat dan beberapa negeri seperti Perak dan Kedah.
Pemerintahan PN dan BN selama 33 bulan penuh pergolakan. Menghampiri PRU ke-15, PAS masih berharap dapat berganding tenaga dengan Umno-BN dengan formula satu lawan satu.
Pun begitu pada masa yang sama PAS mahu kekal dalam PN. Situasi ini menyebabkan Umno-BN bergerak solo manakala PAS bertanding bersama PN.
PRU ke-15 telah menunjukkan prestasi terburuk Umno-BN di peringkat parlimen dan DUN. PAS pula sebaliknya berjaya memenangi 43 kerusi parlimen dan merampas Perlis yang dulu negeri kubu kuat BN.
PN juga mengatasi Umno-BN di Perak dan Pahang. Gelombang Hijau PRU ke-15 bukan saja benar-benar meranapkan gabungan BN, malah menjejaskan PH dengan teruk.
Meskipun kerajaan perpaduan dibentuk, PAS terus gigih ingin menumbangkan pentadbiran Anwar. PAS sudah menjadi lebih praktikal dengan menjalinkan kerjasama dengan Umno-BN untuk mewujudkan ketidakstabilan kerajaan.
PAS juga sanggup melakukan ‘kudeta’ dalam PN dengan memencilkan Bersatu secara habis-habisan demi menjalin kerjasama dengan Umno-BN. Persoalannya, apakah kerjasama itu boleh berlaku pada PRU akan datang?
Dala
m konteks hari ini, PAS dan Umno mempunyai kedudukan pragmatik. Formula satu lawan satu seperti di Negeri Sembilan boleh digunakan dengan PAS dan Umno-BN mempertahankan kerusi parlimen dan DUN masing-masing.
Formula Negeri Sembilan menunjukkan Umno-BN mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar berbanding PAS dan Wawasan. BN bertanding 25 kerusi dan PN pula 11 kerusi.
Maksudnya, BN bertanding 70 peratus kerusi dan PN hanya 30 peratus. Mungkin, Umno-BN akan menjadi abang besar pada PRU ke-16.
Kelebihan Umno di bandar, separa bandar
Mesej itu turut disampaikan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan yang mendesak PAS menunjukkan keikhlasan persahabatan dengan membubarkan DUN di SG4 dan memutuskan komposisi agihan kerusi seperti mana yang dilakukan di Johor dan Negeri Sembilan.
Umno dan PAS dilihat berdepan jalan sukar untuk berunding kerusi DUN Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Perak. Ada kemungkinan PAS dan Umno akan berbincang siapa yang akan mentadbir negeri dan bertanding parlimen di negeri-negeri tersebut.
Umno-BN dijangka akan menuntut kerusi tradisi mereka daripada PAS seperti Putrajaya, Langkawi, Kubang Pasu, Baling, Padang Terap dan Bagan Serai. Mungkin, mereka akan bertembung dengan Wawasan dan Gerakan.
Namun, suara dari Muktamar PAS pada 5 Sept lalu menunjukkan PAS tidak akan mempertahankan kerusi dimenangi tanpa berunding dengan mana-mana parti. Pendirian itu memberi mesej bahawa PAS tidak akan lagi bersikap mengalah.
Dari sudut yang berbeza, Umno mempunyai kelebihan kerusi parlimen di Sabah berbanding PAS dan Wawasan. Setakat ini, Umno masih tidak mempunyai kerjasama rasmi dengan Warisan, apatah lagi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Selain itu, Umno mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi bandar dan separa bandar di kawasan pengundi Cina dan India melalui MCA dan MIC.
Umno mempunyai jentera dan sejarah. PAS mempunyai momentum dan kekuatan Melayu. Kedua-duanya mempunyai kelemahan yang boleh ditampung oleh pihak yang satu lagi.
Umno tidak boleh lagi melihat PAS sebagai adik. Mereka juga abang besar yang semakin berpengaruh dalam kalangan pengundi Melayu.
Melihat kepada keadaan semasa, BN dilihat dapat meningkatkan semula kerusi parlimen jika PAS memberi laluan mudah kepada mereka untuk berunding kerusi satu lawan satu.
Namun, sejauh manakah Umno mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 30 kerusi. Mampukah Umno-BN menang sekurang-kurangnya 40 kerusi pada PRU ke-16?
Adakah PAS menyokong Umno menjadi abang besar dalam gabungan PRU mendatang?




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.