PAS sebenarnya tak ikhlas, dakwa Puad
Bekas Speaker DUN Johor melihat ada kebenaran di sebalik ‘cabaran’ dilontarkan Umno kepada PAS terkait isu keikhlasan kedua-dua parti mengadakan persefahaman dan kerjasama politik.
Menurut Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan memang bijak apabila melontarkan idea agar mana-mana negeri yang ditadbir PAS-PN (SG4) membubarkan DUN bagi membuka jalan kepada PRN.
Langkah itu, kata Mohamad, boleh dibuat selepas Melaka selesai mengadakan PRN tidak lama lagi.
Tujuan diadakan PRN di mana-mana negeri SG4 itu, tambah Mohamad, adalah bagi melihat keikhlasan PAS dalam mengadakan kerjasama dengan Umno. Di pihak Umno, kata Mohamad lagi, ia sudah dibuktikan di Johor dan Negeri Sembilan.
Kata Mohd Puad, kenyataan Mohamad semasa menggulung perbahasan di hujung Persidangan Agung Umno (PAU) minggu lalu sekadar mahu melihat tindak balas di pihak PAS.
Bagaimanapun, kata Mohd Puad, PAS enggan menerima cadangan tersebut, termasuk menggunakan alasan ia melibatkan mandat rakyat – seperti yang dinyatakan timbalan presiden parti tersebut, Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Itu mendedahkan pekung PAS yang tidak ikhlas. Kenapa apabila PRN Johor dan Negeri Sembilan diawalkan, PAS tidak bersuara soal kos pilihan raya?” katanya melalui hantaran di media sosial pagi ini.
Jika PAS memberikan alasan PRN awal melibatkan mandat terdahulu, kata Mohd Puad, ia juga boleh diukur agenda penyatuan ummah itu diterima oleh rakyat atau sebaliknya.
Antara rasional, emosional
Pada masa sama, katanya, orang ramai juga perlu ingat Tuan Ibrahim turut menyokong idea agar PRU diawalkan – seperti yang dicadangkan sesetengah pihak termasuk Umno – turut disokong oleh Tuan Ibrahim.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat dan Adun Rengit itu juga menjelaskan, selepas PRN Melaka dilangsungkan BN tidak lagi ada kuasa tawar menawar untuk mendepani PRU ke-16.
Namun, tambahnya, keadaan adalah berbeza buat PAS kerana mereka masih mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, justeru parti itu ada kuasa untuk “memaksa” BN mengikut kehendak mereka.
“Terutamanya di negeri yang BN tidak menang satu kerusi pun,” tambahnya.
Isu menguji keikhlasan PAS dalam berkawan dengan Umno semakin hangat – sama ada dari segi penerimaan atau cabaran – selepas berakhirnya PAU di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Semasa menggulung perbahasan, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau mencadangkan agar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, meminta PAS-PN mengadakan PRN di mana-maan negeri yang ditadbir mereka.
Katanya, Umno-BN sudah menunjukkan ‘formula’ mereka di Johor dan Negeri Sembilan, maka tiba pula giliran untuk PAS melakukan tindakan yang sama sebagai bukti keikhlasan.
Namun PAS segera membantahnya.
Untuk rekod secara keseluruhan terdapat 128 kerusi DUN di SG4, namun daripada jumlah itu keberadaan Umno hanya ada dua kerusi, iaitu di Kelantan. PAS-PN pula menguasai 116 yang lain.
Lima kerusi lain diwakili PH dan baki lima yang lain sama ada kosong atau diwakili Adun bebas.
Menurut Mohd Puad dia berpendapat amaran Mohamad agar Umno berhati-hati menjalin kerjasama dengan PAS adalah tepat walaupun perwakilan parti itu kelihatan “tenggelam” dengan emosi yang ada.
Dia juga berpendapat nada yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid dan Mohamad berbeza, iaitu rasional dan emosional.
“Justeru kos pilihan raya mahal hanya alasan. PAS sebenarnya tidak ikhlas,” katanya yang baru-baru ini meninggalkan Umno.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.