https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pesan buat Umno: PAS tak rela agenda ummah pinggirkan 'kelompok lain


PAS kelihatan tidak bersetuju terhadap kecenderungan Umno yang mengisyaratkan bahawa agenda kerjasama penyatuan ummah mereka hanya melibatkan kedua-dua parti saja.

Sebaliknya, menurut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata gagasan penyatuan ummah itu perlu dibina dalam kerangka yang lebih besar dan inklusif.

Menurutnya, gagasan itu mestilah melibatkan seluruh kekuatan ummah dengan Islam sebagai agama Persekutuan serta panduan al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangan.

“Tidak dinafikan bahawa PAS dan Umno merupakan dua kekuatan utama dalam politik Melayu-Islam. Kedua-duanya mempunyai kedudukan dan pengaruh yang penting untuk menjadi paksi kepada agenda penyatuan ummah.

“Namun, jika gagasan ini hanya dihadkan kepada kerjasama dua parti tersebut, kita mungkin tanpa disedari meminggirkan kelompok lain yang turut mempunyai peranan dan pengaruh dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 hujung minggu lalu menyaksikan perwakilan parti itu menyatakan kecenderungan mereka memilih kerjasama dengan PAS berbanding parti-parti lain dalam PN.

Antara lain perkara itu ditegaskan Umno Kedah.

Perwakilannya Shaiful Hazizy Zainol Abidin semasa berbahas turut menyindir kemasukan Wawasan ke dalam PN baru-baru ini dengan melabelkan pertubuhan itu sebagai "parti kucing".

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kecenderungan itu dapat dilihat menerusi perbahasan dan pandangan yang disuarakan perwakilan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum menjadi keputusan rasmi parti kerana rundingan pilihan raya masih belum bermula.

Mahu tangani perkauman melampau

Untuk rekod, Wawasan diketuai bekas Hamzah Zainudin yang memenangi kerusi Larut atas tiket Umno-BN pada 2018 sebelum dia menyertai Bersatu selepas PH menjadi kerajaan pada tahun berkenaan.

Hamzah bagaimanapun berseteru dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebelum dia bersama penyokongnya menggerakkan Wawasan bersama ‘restu’ PAS, manakala Bersatu dipinggirkan.

Tuan Ibrahim menegaskan muafakat yang cuba dicapai itu perlu diperluas dan mampu merangkul pihak lain yang bersedia menerima asas dan matlamat perjuangan yang dipersetujui bersama.

Katanya, kepentingan Melayu-Islam, kestabilan negara dan kesejahteraan seluruh rakyat hendaklah menjadi matlamat yang menyatukan semua kekuatan yang mereka impikan.

“Pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa setiap parti mempunyai sejarah, pendekatan dan agenda politik masing-masing.

“Perbezaan ini tidak semestinya menjadi penghalang kepada penyatuan, sebaliknya perlu diurus dengan kebijaksanaan supaya perkara yang lebih besar dapat disepakati tanpa mana-mana pihak perlu kehilangan identiti masing-masing,” katanya.

Dia yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah politik Malaysia sedang berubah dan mungkin sudah sampai masanya untuk PAS dan Umno memikirkan gabungan politik baru yang lebih luas bagi menghadapi perubahan berkenaan.

Tambahnya, generasi muda juga kini membentuk sebahagian besar peratusan pengundi dan mereka tidak semestinya terikat dengan sejarah serta percaturan politik generasi terdahulu.

Mereka, jelasnya, mahu melihat penyelesaian terhadap persoalan masa depan, bukannya sekadar mengulangi pertikaian masa lalu.

“Atas sebab itu, kerangka baru ini mesti berani menangani persoalan besar yang sekian lama membelenggu negara.

“Antaranya termasuklah politik perkauman yang melampau, kelemahan perpaduan nasional, rasuah dan salah guna kuasa, penguasaan kartel dan kelompok berkepentingan, keruntuhan moral dalam kalangan pemimpin, kehilangan jati diri serta titik-titik pertikaian yang terus menjejaskan hubungan antara kelompok masyarakat.

“Semua persoalan ini bukan mudah untuk diselesaikan. Namun, kita mempunyai tanggungjawab untuk tidak terus mewariskannya kepada generasi akan datang.

“Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan asas politik yang lebih stabil, berprinsip dan mempunyai hala tuju yang jelas,” kata Tuan Ibrahim.

Perluas muafakat, rangkul perjuangan

Dia yang juga Adun Cheka dan Ketua Pembangkang DUN Pahang berkata, perlu diakui bahawa masih terdapat kebimbangan dalam kalangan sebahagian masyarakat terhadap gagasan politik berteraskan Islam.

“Kebimbangan dan salah faham ini tidak boleh dijawab dengan slogan semata-mata. Ia mesti diperbetulkan melalui penerangan, pendekatan dan teladan pemerintahan yang membuktikan bahawa keadilan Islam mampu melindungi hak seluruh rakyat.

“Di sinilah PAS dan Umno – sebagai dua kekuatan utama politik Melayu Islam – memikul tanggungjawab yang besar.

“Kedua-duanya perlu membantu membina keyakinan bahawa penyatuan ummah bukan agenda untuk menguasai atau menafikan hak pihak lain sebaliknya bertujuan membentuk kekuatan politik yang mampu memimpin dengan adil, memperkukuh kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim turut menegaskan penyatuan yang mahu dibina kedua-dua parti itu juga bukan semata-mata untuk memenangkan mereka dalam pilihan raya.

Ujarnya, kemenangan hanyalah wasilah tetapi matlamat yang lebih besar ialah membina kekuatan politik yang mampu menyatukan rakyat, menegakkan keadilan dan menawarkan masa depan negara yang lebih baik.

“Penyatuan ummah tidak boleh berhenti pada penyatuan PAS dan Umno.

“Kedua-duanya boleh menjadi paksi, tetapi kekuatannya hanya akan sempurna apabila muafakat diperluas, perbezaan diurus dengan hikmah dan seluruh kekuatan yang menerima asas perjuangan bersama dirangkul,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.