Hari Malaysia 2026 perkukuh suara Sabah, Sarawak melalui MA63
Oleh Dr Zulayti Zakaria
MESYUARAT Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk' Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu, kelmarin berlangsung hanya beberapa hari menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2026.
Ia sekali gus memberikan ruang untuk negara menilai sejauh mana semangat pembentukan Malaysia diterjemahkan kepada realiti politik, Perlembagaan dan pentadbiran.
Mesyuarat itu meneliti beberapa perkara strategik, termasuk kajian semula Pemberian Khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, pemerkasaan keselamatan sempadan Sabah dan Sarawak, pertambahan perjawatan serta Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Keputusan paling signifikan dari sudut struktur Persekutuan ialah persetujuan kerajaan meningkatkan bukan sahaja jumlah, malah nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dalam Dewan Rakyat.
Perdana Menteri menjelaskan peningkatan itu akan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan nisbah baharu berkenaan mesti lebih tinggi daripada kedudukan semasa.
Keputusan ini penting kerana pada masa ini Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala Sarawak mempunyai 31 kerusi. Keseluruhannya, 56 kerusi hanya mewakili sekitar satu perempat daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Isu peningkatan perwakilan ini sudah lama dibangkitkan dalam wacana MA63 kerana turut menyentuh keseimbangan kuasa dalam Persekutuan.
Sejarah pembentukan Malaysia memberi konteks penting. Pada 1963, komposisi Parlimen turut membabitkan Singapura bersama Sabah dan Sarawak.
Oleh sebab itu, apabila disebut mengenai prinsip satu per tiga, Sabah dan Sarawak sahaja tidak mempunyai satu per tiga kerusi pada 1963 kerana angka tersebut merangkumi Singapura bersama Sabah dan Sarawak.
Mekanisme, nisbah perlu diperincikan
Justeru, keputusan kerajaan sekarang belum menetapkan Sabah dan Sarawak akan diberikan tepat satu per tiga kerusi Dewan Rakyat. Perdana Menteri sendiri menegaskan mekanisme dan nisbah akhirnya masih perlu diperincikan.
Apa yang diputuskan secara prinsip ialah nisbah Sabah dan Sarawak mesti meningkat berbanding kedudukan sekarang.
Inilah sebenarnya perkembangan paling penting. Komitmen dasar sudah diberikan. Kerajaan Persekutuan bukan lagi sekadar bersetuju untuk mengkaji persoalan itu tetapi memutuskan jumlah dan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu ditingkatkan.
Pada masa sama, harapan rakyat perlu diurus dengan cermat. Penambahan kerusi Parlimen ini tidak mungkin berlaku dalam tempoh singkat atau melalui satu keputusan eksekutif semata-mata kerana membabitkan proses Perlembagaan, teknikal dan politik mempunyai beberapa peringkat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memulakan penelitian dan rundingan berhubung jumlah serta agihan kerusi. Kerajaan pula perlu memperincikan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diperlukan.
Sebarang pindaan penting kemudian memerlukan sokongan mencukupi di Parlimen. Selepas itu, aspek persempadanan kawasan pilihan raya dan rundingan dengan negeri serta pihak berkepentingan juga perlu diurus dengan tertib.
Tuntutan yang berlarutan puluhan tahun secara munasabah menimbulkan keinginan untuk melihat hasil dengan segera. Namun begitu, reformasi Perlembagaan membabitkan struktur Dewan Rakyat tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
Lebih baik proses itu mengambil masa, tetapi dilaksanakan dengan betul, berbanding menjanjikan tarikh yang terlalu awal tetapi akhirnya tidak dapat ditunaikan.
Dalam konteks inilah komitmen kerajaan mempunyai nilai yang besar. Dasar bahawa nisbah Sabah dan Sarawak mesti meningkat telah ditetapkan. SPR telah dimaklumkan untuk memulakan proses susulan.
Rundingan dengan negeri dan parti politik pula perlu diteruskan sehingga formula yang adil serta boleh diterima dapat dibentuk.
Penambahan kerusi juga bukan sekadar persoalan matematik politik. Lebih ramai ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak bermaksud suara kedua-dua wilayah mempunyai ruang lebih besar dalam proses menggubal undang-undang, menentukan dasar nasional, membahaskan belanjawan serta membawa kepentingan wilayah ke pusat pembuatan keputusan.
Ia juga mempunyai dimensi perlindungan Perlembagaan. Dalam sistem Demokrasi Berparlimen, bilangan kerusi menentukan kekuatan suara.
Oleh sebab pindaan penting Perlembagaan lazimnya memerlukan sokongan majoriti khas, komposisi Dewan Rakyat mempunyai implikasi langsung terhadap keseimbangan kuasa dalam Persekutuan.
Usaha perkukuh hubungan
Faktor geografi juga tidak boleh diketepikan. Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan amat luas, taburan penduduk tidak sekata, kawasan pedalaman serta cabaran pengangkutan jauh berbeza daripada kebanyakan kawasan di Semenanjung.
Prinsip keadilan perwakilan, oleh itu, tidak sewajarnya bergantung kepada jumlah penduduk semata-mata.
Di sinilah keputusan MTPMA63 kali ini mempunyai nilai simbolik dan substantif besar menjelang Hari Malaysia. Hari Malaysia tidak seharusnya menjadi acara tahunan yang hanya mengulangi sejarah 1963.
Lebih bermakna jika setiap sambutan disertai kemajuan konkrit dalam memperkukuh hubungan antara Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Kata-kata Perdana Menteri bahawa MA63 bukan sekadar lembaran sejarah, tetapi suatu amanah dan iltizam nasional sangat tepat dalam konteks ini.
Hakikat Jemaah Menteri kini bersetuju pada prinsip untuk meningkatkan nisbah kerusi Sabah dan Sarawak adalah langkah politik besar.
Menambah suara Sabah dan Sarawak di Parlimen bukan pemberian ihsan daripada Putrajaya. Ia usaha memperkukuh sebuah Persekutuan yang hanya akan benar-benar kukuh apabila setiap wilayah berasakan suara, hak dan kepentingannya mempunyai tempat setimpal di meja utama negara.
Apa yang penting sekarang bukan menjanjikan proses yang segera, tetapi memastikan komitmen diberikan benar-benar dibawa sehingga selesai. Penulis adalah Penyelaras Program Pascasiswazah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.