https://critoxium.com/shop/

Terkini

Media perlu bebas laksana tugas angkat martabat umat, negara


Oleh Mohan Chinnasamy -

PENGAMAL media mempunyai peranan penting dalam memberi pandangan, ulasan dan pencerahan dalam negara demokrasi seperti pernah diingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pengamal media dapat bersama melaksanakan peranan untuk mengangkat martabat umat dan negara, selain melonjakkan lagi pertumbuhan negara dengan lebih meyakinkan.

Namun, apakah ia mampu dicapai jika pengamal media kurang diberi peluang untuk memberi pandangan terhadap sesuatu isu?

Sudah tentu pengamal juga takut dan bimbang kerana mereka mudah terdedah kepada ancaman saman serta tindakan daripada pihak atasan.

Justeru, kita perlu memikirkan jalan bagaimana untuk memberikan ruang kepada pengamal media membuat kajian atau penyelidikan dalam mengupas sesuatu isu secara telus supaya idea pengamal media juga mampu menyumbang dalam aspek pembangunan negara.

Pada masa sama, Majlis Media Malaysia (MMM) perlu dipisahkan daripada kerajaan bagi menjamin hak kebebasan media di negara ini.

Kerajaan MADANI juga perlu meletakkan MMM sebagai badan bebas dalam undang-undang dan amalan daripada pengaruh negeri, komersial dan kuasa lain.

Ini untuk memastikan wartawan dan saluran media beroperasi tanpa rasa takut akan melalui proses penapisan atau mendapat tindak balas daripada pihak kerajaan atau korporat.

Majlis media yang bebas ini juga boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap bidang kewartawanan dengan memastikan pelaporan berita dilakukan berdasarkan ketepatan fakta dan pertimbangan etika, bukannya agenda politik atau komersial semata-mata.

Menerusi kepercayaan ini, ia penting untuk mewujudkan demokrasi sihat dengan rakyat akan bergantung kepada media dalam mendapatkan maklumat tepat.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga berbanding di kedudukan 73 pada tahun lepas dengan memperoleh skor 52.07 mata.

Sehubungan itu, kerajaan dilapor akan meneliti cadangan RSF mengenai langkah bersesuaian bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia. v Kod etika kewartawanan

Soalnya, bagaimanakah kita dapat melihat punca kejatuhan dan perbandingan perlu kita buat dengan negara menduduki tangga teratas.

Apakah sekatan dikenakan terhadap laman berita boleh menimbulkan keraguan terhadap keyakinan bahawa Malaysia sepatutnya menjamin hak kebebasan media menerusi amalan Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menunjukkan negara demokrasi sihat.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi melancarkan kod etika kewartawanan diolah semula bertujuan melawan berita palsu dan mempromosikan integriti dalam kalangan wartawan dalam negara itu.

Panduan diperkenalkan semula oleh Kementerian Komunikasi sejak pengenalannya 35 tahun lalu, menggariskan lapan prinsip etika teras termasuk ketelusan, keseimbangan dan ketepatan dalam laporan berita.

Center For Independent Journalism (CIJ) juga mendapati tidak banyak yang kerajaan lakukan dalam memansuh dan menggubal undang-undang kebebasan walaupun janji-janji yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen pilihan raya. Itu adalah pandangan pihak CIJ tetapi apa yang perlu diambil kira oleh pihak kerajaan ketika ini ialah sejauh mana etika kewartawanan dipatuhi.

Kesimpulannya, pengamal media perlu ada kebertanggungjawaban, pihak berkuasa perlu bersikap terbuka dalam memelihara kebebasan media.

Kawalan keterlaluan didakwa wujud akan menghakis persepsi mengenai kebebasan media dan kawalan ke atas media.

Penulis adalah Penyunting, wartawan dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.