https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ibadat haji didik jiwa lebih tawaduk


 Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 Tahun 1444 hijrah adalah tahun sangat istimewa bagi umat Islam, terutama jemaah haji. Selepas tiga tahun bergelut dengan ancaman kesihatan akibat pandemik, kini jemaah haji boleh menarik nafas lega kerana dapat melaksanakan Rukun Islam Kelima itu seperti sebelum kemunculan COVID-19.

Berdasarkan pengamatan penulis yang turut menerima jemputan Ilahi melaksanakan ibadah haji tahun ini, ia memang mengujakan. Tidak kurang juga rasa bimbang dan risau mengenai apa bakal berlaku, terutama pada waktu kemuncak iaitu berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijah.

Suhu panas sehingga mencecah 44 darjah Celcius juga agak membimbangkan. Keuzuran seperti demam, sakit tekak dan sakit mata dianggap lumrah berlaku sepanjang berada di Tanah Suci. Namun, di sebalik kepayahan serta keperitan menjalani ibadah haji, terdapat juga pengalaman manis hanya Dhufuyurahman atau tetamu Allah dapat menikmatinya.

Pertama, berjumpa kenalan sudah lama tidak bersua. Bayangkan dalam jutaan jemaah dari serata dunia, kita boleh berjumpa rakan di Tanah Suci Makkah. Sudah pasti perasaan gembira jelas dizahirkan yang sedikit sebanyak mengubat rindu kepada keluarga di tanah air.

Kedua, peniaga berbangsa Arab mampu bertutur bahasa Melayu juga sesuatu yang lucu untuk diamati. Meskipun kosa kata mereka agak terhad, namun sapaan seperti 'murah-murah kakak', 'cuba dulu' dan 'Malaysia bagus' memang mencuit hati.

Ternyata teknik pemasaran sebegini amat berkesan menarik ramai jemaah Malaysia membeli-belah. Ada juga menggunakan perkhidmatan penghantar barang ke Malaysia memandangkan kuantiti dibeli agak besar.

Ketiga, jemaah Malaysia pasti dapat berkenalan dengan jemaah dari negara lain apabila solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta melaksanakan rukun haji seperti berwukuf di Arafah serta tawaf dan saie, di samping ibadah umrah.

Nama pemimpin negara sering disebut sebagai tanda mereka tahu perkembangan berkenaan negara terbabit. Mungkin tidak begitu terperinci, tetapi cukup sebagai memulakan sesi perkenalan.

Keempat, duduk bersama jemaah dalam khemah ketika wukuf di Arafah serta bermalam di Mina sememangnya kenangan yang tidak boleh dilupakan. Bagi mereka yang pernah sekolah berasrama atau belajar di universiti atau mana-mana pusat pengajian, pengalaman mendiami asrama sudah pasti terbayang.

Didik diri lebih berdisiplin

Tidur secara berkelompok, makan mengikut jadual serta menunggu giliran menggunakan tandas secara langsung mendidik menjadikan seseorang berdisiplin. Ini bagi memaksimumkan ganjaran pahala bakal diperoleh ketika menjalani ibadah haji.

Contoh paling mudah adalah bersolat di Masjidil Haram yang menyamai 100,000 pahala bagi setiap solat didirikan. Justeru, kita perlu bangun awal (waktu Subuh di Makkah jam 4.10 pagi) untuk mempersiapkan diri, di samping mendapat tempat selesa dalam masjid.

Dalam hal ini, perkara luar jangka memang boleh berlaku seperti penutupan jalan atau pintu masuk masjid bertujuan mengawal aliran trafik jemaah mahu mendirikan solat di masjid.

Apabila berlaku kesesakan, perkataan sering kedengaran daripada penguat kuasa masjid adalah 'haji' atau 'hajah'. Biasanya ungkapan ini menyuruh jemaah bangun dan berpindah ke kawasan lain.

Selain itu, perkataan 'Yallah' digunakan untuk menyuruh jemaah bergerak lebih pantas. Perkataan 'tariq' pula menunjukkan seseorang itu cuba meminta laluan. Secara umumnya, ibadah haji adalah tarbiah diri seperti betapa kecilnya kita dalam kalangan jutaan jemaah haji dari seluruh pelosok dunia.

Apabila berihram, ia seperti kita memakai seragam sama tidak membezakan darjat seseorang berdasarkan pangkat dan kekayaan. Jemaah haji seolah-olah menjadi ahli keluarga kerana bersama-sama beribadat untuk mengejar ganjaran pahala.

Ramai jemaah haji yang sihat turut
membantu rakan yang uzur atau memerlukan bantuan fizikal. Pengalaman penulis jelas menunjukkan penguat kuasa Arab Saudi menghormati jemaah dari Malaysia berikutan budi bahasa serta tahap disiplin tinggi yang memudahkan tugas mereka.

Dalam hal ini, Tabung Haji (TH) memainkan peranan penting merancang, menyelaras serta melaksanakan strategi supaya jemaah haji Malaysia mendapat layanan terbaik, terutama dari segi logistik, khidmat nasihat ibadah haji, penginapan, makanan dan minuman serta kesihatan.

Akhir kata, bagi yang belum menunaikan haji, tanamkan azam dan berusaha supaya dapat menjadi Dhufuyurahman pada tahun hadapan.

Penulis adalah Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.