Ahli PAS wajar sertai Amanah
Kebelakangan ini, tindakan segelintir pemimpin PAS melemparkan tuduhan palsu dan fitnah melulu telah mencemarkan nama baik Islam serta merosakkan kepercayaan rakyat terhadap politik yang sepatutnya menjadi medan mendidik dan menyatukan umat.
Misalnya kes Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang baru-baru ini diarahkan membayar lebih RM800,000 atas tuduhan palsunya ke atas beberapa DAP.
Keputusan mahkamah itu menunjukkan bagaimana budaya fitnah hanya membawa kepada kehancuran integriti.
Kedua, kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, yang membuat tuduhan melulu bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, merupakan sebahagian daripada keluarga pengasas YTL Corp Bhd, mendiang Yeoh Tiong Lay.
Tuduhan Razman ternyata tidak berasas sama sekali dan menyimpang daripada fakta sebenar.
Kejadian seumpama itu adalah bukti bahawa sebahagian pemimpin PAS lebih mengutamakan agenda peribadi dan politik sempit berbanding kepentingan ummah.
Sebaliknya, perbuatan mereka hanya menguntungkan pihak yang mereka sendiri sering serang, seperti DAP, yang mendapat pampasan besar hasil tindakan undang-undang.
Sebagai parti yang membawa prinsip sederhana (wasatiyyah), Amanah menyeru semua ahli PAS yang kecewa dengan budaya fitnah dan politik tidak beretika itu untuk menyertai kami.
Dalam Amanah, kami mengamalkan politik berteraskan akhlak mulia, kejujuran, dan kebenaran, sesuai dengan ajaran Islam yang sebenar.
Politik tidak harus menjadi alat untuk menjatuhkan lawan dengan fitnah, tetapi untuk membina masyarakat yang harmoni dan adil.
Akhir kata, marilah kita bersama membentuk budaya politik baru yang lebih matang dan bertanggungjawab. Hentikan budaya fitnah dan caci maki, dan bina sebuah Malaysia yang bersatu padu berlandaskan nilai-nilai Islam yang rahmatan lil-'alamin.
ABRAR SADIQ ialah Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.