https://critoxium.com/shop/

Terkini

Populariti: KJ jauh tinggalkan Anwar, Zahid


Dapatan firma kaji selidik Merdeka Center mengenai sokongan pengundi – yang bocor – menunjukkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berdepan masa depan yang suram manakala timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, mengalami nasib lebih lebih buruk.

Maklumat itu juga menunjukkan bekas ahli politik yang terbuang dari partinya sendiri – sebelum dia kembali pada pertengahan April lalu – Khairy Jamaluddin berada di tempat paling popular.

Menurut dapatan Merdeka Center, 62 peratus orang Melayu yang terlibat dalam kaji selidik itu berpuas hati dengan Khairy, diikuti Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (49 peratus) manakala Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, di tempat ketiga dengan dibezakan hanya 1 peratus.

Responden meletakkan Anwar di tempat keempat dengan 45 peratus. Presiden PKR dan Pengerusi PH itu bagaimanapun lebih diterima dan popular berbanding Presiden PAS, Abdu Hadi Awang, yang berada di belakangnya dengan 412 peratus.

Menyusul di tempat keenam ialah bekas menteri ekonomi dan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (36 peratus). Tempat terakhir ialah Ahamd Zahid (31 peratus).

Dapatan itu adalah sebahagian daripada kajian Merdeka Center bertajuk: “Tinjauan Pendapat Awam Kebangsaan: Persepsi Terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa”.

Ia dijalankan antara 12 Mac dan 9 April lalu.

Bagaimanapun setakat ini yang terdedah hanya slaid mengenai keputusan tahap sokongan orang Melayu saja. Tiada maklumat atau dapatan lain yang dikeluarkan termasuk saiz sampel dan sentimen komuniti lain.

Berbeza dari dapatan 2025

Malaysiakini telah menghubungi Merdeka Center untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai perkara ini, dan difahamkan bahawa slaid berkenaan terbocor.


Selain rating kelulusan, slaid tersebut juga memperincikan kedudukan rasa tidak puas hati responden dengan Ahmad Zahid berada di tempat teratas dengan 60 peratus, manakala Anwar tidak jauh di belakang pada tahap 51 peratus.

Rafizi dan Abdul Hadi masing-masing mencatatkan 48 dan 43 peratus.

Ahmad Samsuri dan dan Khairy pula mencatat rasa tidak puas hati responden pada tahap yang sama iaitu 26 peratus.

Bagi Anwar, dapatan terkini itu mungkin menghantar petanda buruk. Penilaian sokongan terhadap Anwar pada Mei tahun lalu adalah 55 peratus secara keseluruhan, manakala rasa tida puas hati terhadapnya berada pada 36 peratus.

Tiada pecahan etnik yang dikeluarkan untuk penilaian kelulusan tahun lepas.

Tinjauan 2025 itu menunjukkan hanya 37 peratus orang Melayu merasakan negara sedang menuju ke arah yang betul di bawah pimpinan kerajaan sekarang, manakala 55 peratus lagi berpendapat sebaliknya.

Bagi Ahmad Zahid pula, tahap sokongan yang rendah daripada penyokong teras Umno boleh menghalang aspirasi yang didedahkannya baru-baru ini bahawa dia ingin menjadi perdana menteri.

Sementara itu, pembangkang kelihatan sedang menyambut baik dapatan tersebut dengan laman web rasmi PAS, Harakahdaily, menerbitkan semula rencana yang ditulis kakitangan Universiti Utara Malaysia, Afifi Abdul Razak, mengenai dapatan tersebut.

Usah nafikan bakat lain

Menurutnya Ahmad Samsuri menerima sokongan jauh lebih tinggi berbanding Anwar dan Ahmad Zahid dan PAS menganggapnya sebagai "mesej politik yang penting" kepada PN – ketika gabungan itu sendiri berdepan dengan kemelut dalaman.

Dalam tulisannya, Afifi menyatakan, walaupun Muhyiddin mencatatkan kadar sokongan yang sedikit lebih tinggi berbanding Ahmad Samsuri, bekas perdana menteri itu ada kelemahan berbanding Naib Presiden PAS berkenaan, iaitu kadar rasa tidak puas hati lebih tinggi.

Pemuda PAS Selangor pula berpendapat negara ini perlukan seorang pemimpin yang lebih ‘bising’ dalam bekerja berbanding ‘bising’ melalui kata-kata.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, berkata dalam sistem demokrasi berparlimen, kepimpinan tidak boleh dibina atas kultus individu atau persepsi bahawa negara akan lumpuh tanpa seseorang.

Katanya institusi yang kukuh sentiasa lebih penting berbanding kebergantungan kepada seorang tokoh.

“Sebelum Datuk Seri Anwar menjadi perdana menteri, Malaysia dipimpin oleh pelbagai tokoh dengan latar belakang, gaya dan kekuatan yang berbeza.

“Setiap era melahirkan pemimpin yang sesuai dengan cabaran zamannya.

“Justeru, tidak wajar kita menafikan kewujudan ramai lagi pemimpin yang berpotensi untuk memimpin negara,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.