Kahwin, cerai dan rujuk
Oleh Mohsin Abdullah
Seorang kawan membuat hantaran di Facebok tempoh hari yang berbunyi : “Lebai tua sedang ghairah mengurat janda tua. Untuk menikah kali kedua,” Menarik. Lalu saya kongsi dengan seorang lagi kawan- menerusi WhatsApp. Sekadar untuk private conversation.
Respon si kawan lama itu juga menarik. Begini katanya: “Lebai tua tak sedar diri tapi janda tua kena fikir banyak kali sebelum terima lamaran sebab bekas lakinya tu bukan pasal nak kahwin kerana cinta tapi sebab harta si janda tua.” Mesej diiringi emoji ketawa.
Tidak perlu bertanya saya tahu apa yang mereka berdua cakapkan. Bukanlah saya ni pandai sangat. Bukan juga saya boleh baca minda. Tetapi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik tanah air juga akan tahu what both of them were talking about.
Kebetulan sehari dua sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik media berkata sudah tiba masanya Muafakat Nasional (MN) 2.0 dijayakan. MN asal kita tahu membabitkan ‘permuafakatan’ Umno–PAS pada 2019.
Lalu kedua dua kawan saya tadi menggunakan analogi perkahwinan untuk bercakap megenai hasrat PAS wujudkan MN sekali lagi bersama Umno. Sebenanrya Umno lah yang mulakan penggunaan analogi sedemikian.
Imbau kembali 5 Mac 2019 apabila termeterainya kerjasama rasmi Umno-PAS ke arah apa yang mereka dakwa ‘penyatuan ummah’. Tidak lama sebelum majlis ‘penyatuan’ diadakan, telah berlangsung PRK Sungai Kandis dan Seri Setia di mana kedua-dua parti mengaku telah menjalin kerjasama.
Maka berkata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada majils 5 Mac 2019 itu: “Mula-mula hantar cincin di Sungai Kandis, bertunang di Seri Setia sekarang ni dah kenduri kahwin, ini dah sanding.”
Naturally selepas itu ramai yang menggunakan istilah perkahwinan dan mengibaratkan MN bagai rumah tangga Umno–PAS. Bila MN gagal lantas berpecah istilah yang digunakan ramai ialah Umno-PAS bercerai.
Mengapa bercerai? Ada elemen orang ketiga yakni Bersatu yang PAS mahu bawa masuk tetapi tidak disenangi Umno. Lalu timbul istilah main kayu tiga dan mandi dua kolam. Kedua-dua merujuk tindakan PAS.
Namun ada golongan ‘nakal’ yang ‘mempertahankan’ PAS, mereka berkata apa salah PAS beristeri dua kerana ia boleh berpoligami. Dan apabila Umno-PAS ‘bercerai’, si nakal juga berkata PAS suka kahwin cerai kahwin cerai, merujuk langkah masuk keluar semasa mereka menyertai Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) suatu masa dahulu.
Itu cerita lama. Cerita barunya apa yang dinyatakan Tuan Ibrahim tadi. Muncul seorang ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu mendakwa PAS, dibelakang Bersatu, sedang mengadakan rundingan dengan Umno untuk menghidupkan MN.
Betul ke? Apa pun muncul pula Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan pertemuan partinya dengan Umno malam Khamis lalu. Bagaimanapun, beliau menyifatkan itu pertemuan ‘biasa’.
Tidaklah diketahui apa makna atau takrif ‘biasa’ yang dimaksudkan. Jika pertemuan ada kaitan dengan MN baru, bukankah Hadi pada masa lalu beberapa kali berkata tiada kerjasama PAS dengan Umno selagi Zahid Hamidi memegang jawatan presiden.
Zahid masih presiden Umno, setahu sayalah. Tetapi sekarang dah boleh berunding? Tak apalah. Kan kita bercerita pasal politik?
Sekarang hubungan PAS dengan Bersatu tidak semesra waktu bercinta dahulu. Ada berita kata status Bersatu bersama PAS akan diketahui hari ini. Ada kata esok.
Jika dulu Umno tidak mahu Bersatu masuk MN (lalu bercerai dan berpecah) bagaimana pula jika Umno yang masuk atau mahu MN kali ini? MN yang baharu maksud saya.
Adakah Bersatu akan mengalu-alu dengan tangan terbuka? Atau ia minta cerai? Atau sememangnya sudah pun diceraikan? Ini kena tunggu seperti dimaklum di perenggan terdahulu. Hari ini atau esok akan tahu status Bersatu.
Katalah Umno mahu hidupkan semula MN. Tetapi PAS mahu juga bawa parti serpihan Bersatu. Amacam? Umno boleh terima? Betullah ini bukan Bersatu tetapi ada DNA Bersatu. And there’s no love lost between Umno and Bersatu kan? Namun ini hypothetical kerana bayang parti diperkatakan tidak kelihatan.
Tetapi bukan Umno ada projek Rumah Bangsa? Yang kata Zahid terbuka kepada semua orang Melayu yakni parti atau NGO. Jadi mengapa tidak PAS masuk je Rumah Bangsa? Terus bersama Umno. Tak payah tunggu MN dihidupkan untuk bersama dengan Umno.
Lagi pun kata PAS Johor ia tak kisah. Rumah Bangsa atau MN. Mereka ok je. Tetapi itu kata pemimpin peringkat negeri. Yang penting atau what matters apa kata bos di atas.
Bagi PAS, MN demi persefahaman dan toleransi sesama parti Islam. Namun tiga bekas Adun PAS Perlis merungut. Ingat mereka tak ? Mereka dihentikan keahlian Disember lalu berikutan krisis politik Perlis.
Sekarang kata mereka, sudah hampir empat bulan mereka masih menunggu keputusan PAS pusat berhubung permohonan untuk masuk semua PAS. Demi toleransi sesama Islam bukankah molek jika mereka diterima semula?
Namun sebelum MN 2.0 diwujudkan, elok rasanya Umno dan PAS menoleh ke belakang meneliti mengapa MN dulu gagal. What went wrong? Selain isu Bersatu tak mahu dimadu tentu ada sebab lain.
Dan antara masalah utamanya pastilah pengagihan kerusi untuk pilihan raya. Siapa tanding di mana? Mujurlah MN tidak hadapi apa-apa pilihan raya sebagai satu entiti.
Sebab berlaku tebuk atap. Lalu masalah who contest where tidaklah timbul.
Tetapi jika MN 2.0 wujud pengagihan kerusi untuk ditandingi will be one if not the biggest problem they will face . Muncul Annuar Musa, bekas setiausaha agung Umno yang sekarang salah seorang pemimpin PAS. Beliau tawar formula bahagi kerusi PAS–Umno. Gerenti semua happy.
Tapi perlu dingat. Sekarang bak kata kawan saya tadi ialah zaman mengurat. Bukan nak tuduh apa apa. Cuma teringat kisah remaja bercinta. Ada (bukan semua ye) masa tengah usha atau cuba memikat kekasih macam macam dijanjinya.
Tetapi bila sudah dirikan rumah tangga ada kah janji manis itu ditunaikan? Wallahu a’alam.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.