https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr Mahathir, Hadi buat Pakatan Ahzab - Khalid

 


KUALA LUMPUR: Pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai berlangsung malam tadi, satu 'Kesepakatan Ahzab'untuk memporak-perandakan negara.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad, berkata jelas sekali pertemuan dua pemimpin itu dalam satu pakatan yang boleh menjatuhkan kerajaan.

"Pakatan ini bolehlah saya namakan 'Kesepakatan Ahzab' kerana kesepakatan untuk memporakperandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah," katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa gambar yang tular di media sosial yang menunjukkan sesi pertemuan di antara bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir dengan Presiden PAS yang turut disertai beberapa pemimpin PAS dan sekreteriat Proklamasi Orang Melayu.

Melalui gambar tanpa keterangan itu, dilihat Abdul Hadi bersama Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Khalid berkata, tindakan kumpulan berkenaan akan menyebabkan keyakinan pelabur terjejas dan usaha yang sedang giat dijalankan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara, ketika dunia di ambang krisis ekonomi, terjejas teruk.

Katanya, kumpulan itu tidak kisah kesan tindakan mereka kerana Kesepakatan Ahzab berkenaan hanya mementingkan kuasa.

"Sedang, bila mereka berkuasa tempoh hari, tiada yang bermakna yang telah mereka berjaya usahakan.

"Namun, demi kepentingan bersama dan keinginan berkuasa, musuh kini menjadi kawan," katanya.

Ahzab merujuk kepada kepungan selama beberapa minggu pada zaman pentadbiran Nabi Muhamad SAW di Madinah membabitkan gabungan suku Arab dan Yahudi di Madinah dan Makkah yang juga dikenali sebagai perang Khandak atau perang Ahzab.

Sementara itu, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Datuk Abu Bakar Yahya dalam satu hantaran di Facebook menyatakan Abdul Hadi dan beberapa pemimpin PAS tampil bertemu dengan Dr Mahathir, bagi memberi sokongan kepada 'Proklamasi Orang Melayu'.

"Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan (Tun Dr) Mahathir Mohamad," katanya.

Sementara itu, laman Facebook 'Proklamasi Orang Melayu' turut memuat naik mengenai pertemuan itu dan menyiarkan rakaman video ringkas kenyataan Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan sokongan yang diberikannya sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.

"Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri. Kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia - tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.

"Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau tiada makluman berhubung pertemuan Presiden PAS itu.

"Tiada maklumat lanjut," katanya ringkas.

Program Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan Jawatankuasa Proklamasi Orang Melayu didakwa bukan agenda mana-mana parti politik, sebaliknya hanya untuk menyatukan orang Melayu yang semakin berpecah pada masa ini.

Diasaskan Dr Mahathir, empat cuba mengadakan perhimpunan proklamasi itu dibatalkan dan kini kempen proklamasi itu dijalankan secara dalam talian.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.