Kerajaan
semakin kukuh dan stabil, malah sebarang usaha untuk cuba menjatuhkan
kerajaan itu hanya akan memperkuatkan lagi semangat dan iltizam
parti-parti di bawahnya untuk bekerja lebih baik, kata Setiausaha Agung
DAP Anthony Loke Siew Fook.
Mengulangi pendirian DAP untuk terus menyokong kepimpinan Anwar
Ibrahim sebagai perdana menteri, Loke yang juga Menteri Pengangkutan
berkata parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) selain DAP iaitu PKR,
Amanah dan Upko, sentiasa bersatu padu dan akan terus memberikan
sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden PKR itu.
“Dengan keutuhan PH itu dengan 82 Ahli Parlimen, ditambah dengan
komitmen yang dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid
Hamidi dan juga komitmen yang begitu jelas daripada Gabungan Parti
Sarawak (GPS) sendiri, ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan pada
hari ini cukup kukuh dan stabil.
“Jadi segala kenyataan ataupun permainan politik yang cuba
digambarkan oleh pihak lawan kononnya bahawa akan ada pertukaran
kerajaan dan sebagainya, hanyalah permainan politik. Jadi dari segi
faktanya, ia sesuatu yang tidak ada asasnya,” kata beliau kepada
pemberita selepas perasmian Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2022, di
Muar, hari ini.
Selain itu, beliau berkata semangat semua pimpinan dalam Kerajaan
Perpaduan, masing-masing dengan jelas memastikan kelancaran pentadbiran
dalam negara sekali gus memperkukuh kedudukan kerajaan kerana tidak mahu
lagi satu kancah perpecahan politik yang boleh membawa kepada
ketidakstabilan dalam negara.
“Jadi dengan satu kerajaan yang kukuh dan kuat, kita tahu bahawa
banyak agenda dapat kita laksanakan, terutamanya agenda pembangunan
negara, kemajuan ekonomi dan hubungan antarabangsa dan sebagainya,” kata
Loke.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai jaminan DAP untuk
terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar dan sama ada desas-desus
mengenai usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan oleh segelintir pihak akan
melemahkan kerajaan itu.
Ahli Parlimen Seremban itu menambah usaha pihak lawan untuk
menjatuhkan Kerajaan Perpaduan hanyalah sebahagian daripada strategi
mereka untuk memberikan harapan palsu bagi menghadapi Pilihan Raya
Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
“Kami mahu membuktikan pasukan yang telah dibentuk yang datang
daripada parti berbeza yang sebelum ini bertelagah antara satu sama
lain, mampu bekerjasama dengan baik,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.