https://critoxium.com/shop/

Terkini

Najib 'terperangkap' - PAS

 


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terperangkap dalam pertuduhan politik sehingga memerlukan juga bantuan pemimpin politik untuk proses pengampunan.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata Najib menghadapi pertuduhan politik untuk membunuh karakternya, sehingga beliau memerlukan pertolongan politik dalam proses permohonan pengampunan.

Mohd Zuhdi berkata, kitaran pertuduhan politik yang berlaku setiap kali kerajaan bertukar tidak akan dapat menyelesaikan isu integriti dan pembasmian rasuah dalam politik negara.

Beliau berkata, parti politik yang sedang berkuasa mesti mencapai persetujuan bersama untuk berhenti melakukan pertuduhan politik yang bertujuan menumbangkan lawan secara membina persepsi tidak benar dan membunuh karakter pemimpin.

"Pertuduhan politik tidak dapat menyelesaikan masalah integriti dalam berpolitik dan politik wang. Parti yang berkuasa akan berusaha mendakwa lawan politik mereka dengan mengerahkan agensi kerajaan yang mereka terajui, seperti yang dilakukan terhadap BERSATU sekarang.

"Persoalan sama ada tuduhan itu betul atau tidak bukanlah perkiraannya. Tetapi yang penting persepsi politik dapat dibina terhadap BERSATU dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memastikan lawan politik kecundang.

"Sekiranya parti atau pimpinan politik yang dituduh berjaya pula menerajui kerajaan selepas itu, mereka pula akan membuat perkara sama terhadap lawan mereka.

"Jika pemimpin mereka didapati bersalah sebelum ini, jalan dicari untuk membebaskan seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dengan mengusahakan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menarik balik kes banglo Lim Guan Eng.

"Sebenarnya, kitaran inilah yang dihadapi oleh Najib sekarang. Pertuduhan politik yang akhirnya memerlukan penyelesaian campur tangan politik," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Muhyiddin, 75, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden BERSATU didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya di antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini di antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi tuduhan oleh SPRM. - Foto BH
Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi tuduhan oleh SPRM. - Foto BH

Mohd Zuhdi mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad dalam rakaman video dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak, bahawa langkah pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri itu lebih baik berbanding mengekalkannya dalam penjara sehingga tempoh hukuman berakhir.

Yang Dipertua PAS Subang itu antara lain dilapor berkata, yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam apabila tersalah melepaskan orang bersalah, yang lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International ditolak Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berpandangan kes SRC itu bukan satu-satunya pertuduhan politik yang berlaku, sebaliknya ia turut membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut dihadapi Najib, selain kes Yayasan Akal Budi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dana Jana Wibawa membabitkan Muhyiddin; Pandora Paper dan seumpamanya.

Katanya, semua kes itu mungkin boleh disabitkan di mahkamah, namun tidak menafikan motif awal pendakwaan pertuduhan politik, bertujuan menumbangkan lawan politik yang turut dihukum secara maya sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Seandainya Najib tidak didapati bersalah dalam kes SRC sebelum ini, saya yakin akan ada tanggapan mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan seumpamanya.

"Dalam mengemuka saranan ini, saya sama sekali tidak berkompromi dengan persoalan integriti dan pembasmian rasuah, namun usaha untuk mendukung integriti dan membasmi rasuah tidak dapat dilunaskan dengan pendakwaan politik.

"Ia dapat dilunaskan melalui agenda yang bersifat mencegah seperti menggubal Akta Kawalan Dana Politik, mekanisme pengisytiharan harta anggota pentadbiran yang tepat, membebaskan agensi penguatkuasaan serta sistem perundangan daripada cengkaman eksekutif, mewujudkan institusi hisbah/mazalim dan lain-lain," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.