https://critoxium.com/shop/

Pemilihan PAS: Kerusi presiden, timbalan bakal dipertanding?


PETALING JAYA: Selepas 10 tahun, pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden mungkin dipertandingkan buat pertama kali pada pemilihan PAS dijangka September ini, menurut sumber parti.

Sumber memberitahu perkara itu mungkin berlaku jika Presiden Hadi Awang yang menyandang jawatan tersebut sejak 2002 mengundur diri seperti diminta segelintir ahli susulan keadaan kesihatannya.

Pada masa sama, sumber berkata ada ura-ura mendakwa Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man mahu memberi laluan kepada pemimpin lain, namun wujud gesaan proulama memintanya kekal pertahan jawatan nombor dua parti dimenangi pada 2015.

“Memang ada permintaan supaya Hadi beri laluan kepada pemimpin lain kerana keadaan kesihatannya tetapi ramai juga mahu beliau kekal kerana ‘auranya’ masih diperlukan.

“Kalau Hadi dan Tuan Ibrahim beri laluan, akan ada pertandingan yang mungkin babit kumpulan ulama dan profesional seperti sebelum ini, tetapi tidaklah terlalu agresif,” kata sumber itu merujuk pertembungan pada pemilihan 2015.

Pemilihan itu menyaksikan Hadi menewaskan Ahmad Awang manakala Tuan Ibrahim menumbangkan Mohamad Sabu menyebabkan PAS berpecah, yang membawa penubuhan Amanah oleh Mohamad serta beberapa pemimpin lain antaranya Khalid Samad, Dzulkefly Ahmad dan Mahfuz Omar.

Sejak itu, tiada pertandingan bagi kerusi nombor satu dan dua PAS.

Untuk rekod, pemilihan terakhir parti itu bagi sesi 2023-2025 berlangsung dua tahun lalu turut menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan naib presiden.

Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah kekal menyandang jawatan itu.

Hadi adalah presiden paling lama berkhidmat, iaitu sejak 2002 dan melepasi beberapa pemilihan parti serta lima pilihan raya umum.

Dr Sam lawan Amar?

Sumber itu memberitahu, jika Hadi dan Tuan Ibrahim tidak pertahan kedudukan mereka, Samsuri atau dikenali Dr Sam dan Amar akan bertanding bagi kerusi presiden, iaitu pertembungan antara kumpulan profesional dan ulama.

“Samsuri mungkin berganding dengan Takiyuddin Hassan manakala Amar bersama Idris Ahmad, saingan ini pasti sengit,” katanya, tidak menolak pertandingan dua kelompok itu akan membabitkan semua peringkat jawatan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dijangka membuat keputusan tanpa desakan mana-mana pihak termasuk mereka yang mahukannya berundur.

Katanya, institusi presiden adalah kedudukan paling berpengaruh dalam menentukan hala tuju dan keputusan dalam PAS, tambahan pula elemen ‘spiritual leader’ dimiliki Hadi sukar dicari ganti.

“Malah sebahagian pimpinan masih bergantung harap kepada aura kepimpinan ulama dimiliki beliau untuk memandu PAS walaupun faktor kesihatan menjadi halangan terbesar sekarang,” katanya mengulas kedudukan Hadi.

“Walaupun ada suara simpati dengan keuzuran beliau dan melihatnya masih boleh berfungsi di institusi mursyidul am PAS, tetapi kedudukan itu tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam parti terbabit,” katanya.

Bahang pemilihan

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai spekulasi seperti Tuan Ibrahim tidak pertahan jawatan menyebabkan bahang pemilihan PAS semakin dirasai dengan percaturan terutama babit kumpulan ulama dan profesional.

Menurutnya, mereka yang mempunyai kelebihan pasti yang memegang jawatan dalam pentadbiran di empat negeri ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis selain bergelar Ahli Parlimen serta Adun.

Pentadbiran Terengganu diketuai Samsuri manakala Kedah (Sanusi Nor), Kelantan (Mohd Nassuruddin Daud) dan Perlis (Mohd Shukri Ramli).

“Walaupun pertembungan dijangka sengit, saya tidak membayangkan senario sama seperti keadaan melahirkan parti serpihan iaitu Amanah. Keadaan ini sengit tetapi masih dalam kerangka dalaman parti yang masih boleh dikawal,” katanya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.