PRU-15 peluang Ismail Sabri lakar landskap politik norma baharu
Oleh Datuk Dr Jayum Jawan -
Selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti diluluskan Parlimen, tumpuan kini terarah kepada bilakah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan ditetapkan.
Melihat kepada perkembangan politik negara kebelakangan ini, sekurang-kurangnya ada tiga kumpulan wujud dalam kalangan ahli politik.
Ada puak mahukan PRU-15 kalau boleh diadakan esok juga kerana mereka amat yakin akan memenanginya berdasarkan prestasi beberapa pilihan raya negeri yang berlangsung sebelum ini.
Justeru, tuntutan dan desakan supaya PRU-15 segera diadakan kini amat kuat dihalakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ada juga pihak sudah lama menunggu supaya PRU diadakan segera selepas apa yang dikatakan kewujudan 'kerajaan pintu belakang' hari ini. Satu lagi puak yang wujud adalah mereka mahu PRU diadakan sehingga berakhir penggal Parlimen ke-14 ini pada tahun depan.
Kumpulan ini menggunakan alasan krisis ekonomi, proses pemulihan ekonomi sedang dilaksanakan kerajaan serta keperitan hidup dialami rak- yat ketika ini tidak wajar PRU diadakan pada masa terdekat.
Tempoh sah Parlimen kurang setahun
Hakikatnya, tempoh sah Parlimen sekarang adalah kurang setahun saja. Apa beza mengadakannya sekarang atau pada atau selepas Julai 2023 apabila tempoh Parlimen sekarang lupus dengan sendiri.
Ketika ini, negara sedang beransur pulih dari ancaman COVID-19, tetapi ancaman itu tetap di paras yang menuntut rakyat terus berjaga-jaga dan berwaspada.
Selain itu, masyarakat juga sedang menanggung beban kesan kenaikan harga barang, sekali gus memberi tekanan hidup kepada rakyat.
Justeru, keutamaan utama sepatutnya adalah mengurus dengan berkesan dan cekap segala isu ini daripada mengheret rakyat ke kancah politik untuk memuaskan nafsu sesetengah politikus dan menyelesaikan pertelagahan mereka tanpa menghiraukan tekanan dihadapi rakyat.
Persoalan yang timbul pula adalah kerajaan yang memerintah pada hari ini berada dalam keadaan 'lemah' kerana terpaksa bergantung talian hayat kepada pembangkang untuk terus hidup bagi mendepani cabaran sedang melanda negara ketika ini.
Ia berikutan selepas PRU-14 pada 2018, tiada parti atau perikatan parti yang mampu membentuk satu kerajaan yang padu untuk memerintah.
Kerajaan yang wujud pada hari ini adalah hasil kesepakatan antara Ahli Parlimen dari UMNO dan Barisan Nasional (BN), BERSATU, PAS dan Parti Gabungan Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Selepas PRU-14, kerajaan PH lemah kerana memiliki majoriti tipis. Justeru, apabila seorang atau dua Ahli Parlimen PH menarik sokongan, ia sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan PH.
'Langkah Sheraton' membuktikan bagaimana sesebuah parti atau perikatan gagal mendapat kemenangan solid dalam PRU, perubahan kerajaan amat mudah terjadi apabila beberapa kerat Ahli Parlimen melompat parti.
UMNO dan BN memainkan peranan besar dalam kerajaan PN kerana ia parti komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbesar dengan jumlah kerusi Parlimen sebanyak 42 berbanding BERSATU (32), GPS (19) dan PAS (18).
Apa pun penubuhan 'kerajaan pintu belakang' ini sah dan tidak bertentangan dengan undang-undang negara.
Namun, kerajaan PN juga tidak mampu bertahan lama apabila selepas 19 bulan memerintah, apabila turut tumbang akibat ketuanya tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Akhirnya, Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun selepas PRU-14 berlangsung.
Pelantikan Ismail Sabri detik bersejarah
Ismail Sabri dilihat 'naik' pada 'tempat dan masa yang betul'. Dalam keadaan biasa beliau tidak mungkin diangkat menjadi Perdana Menteri kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, orang yang biasanya dilantik ke jawatan itu adalah ketua parti atau ketua perikatan parti menang majoriti kerusi di Parlimen.
Beliau bukan Presiden UMNO atau ketua gabungan parti dalam PN. Oleh itu, pelantikan Ismail Sabri adalah detik bersejarah yang tidak mungkin berulang.
Persoalan penting ialah apakah kebarangkalian Ismail Sabri mampu kembali menduduki kerusi Perdana Menteri selepas PRU-15. Jika dilihat dari sudut kelaziman politik berasaskan sistem demokrasi berparlimen, maka jawapannya adalah 'amat tipis'.
Namun, seorang Perdana Menteri mempunyai sumber yang luas dan pelbagai untuk 'melukis' serta memastikan ia 'boleh jadi' walaupun bukan amalan biasa. Hakikatnya, politik adalah 'seni pelbagai kemungkinan'. Ia boleh berulang atau tidak dan semua bergantung kepada percaturan strategik serta berkesan Ismail Sabri.
Transformasi politik negara yang menyaksikan Perdana Menteri boleh dilantik dalam kalangan bukan ketua parti atau ketua perikatan parti menunjukkan sifat dinamik amalan politik itu sendiri. Justeru, ini adalah peluang Ismail Sabri meninggalkan dimensi baharu politik Malaysia pasca Pilihan Raya 2018.
Jika PRU-15 diadakan selepas tempoh sah Parlimen ke-14 ini berakhir, ia akan memberi kelebihan kepada Perdana Menteri untuk menyusun strategi menentukan kemenangan UMNO/BN, selain memastikan jawatan nombor satu negara kembali kepada BN menerusi sokongan dan majoriti meyakinkan.
Mungkin PRU-15 menjadi peluang kepada Ismail Sabri melakar landskap politik norma baharu pasca PRU 2018. Politik norma baharu boleh menjadi khazanah dikaitkan dengan nama Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia kesembilan (9).
Mungkin angka 9 itu menjadi keramat bagi Ismail Sabri kerana dalam
budaya Cina, 9 adalah angka tertinggi dan mewakili aras maksimum dalam
kebahagiaan, panjang umur dan tuah yang melimpah. Masa sahaja akan
melakar sejarah.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.