Kestabilan kerajaan terjamin apabila tiada 'katak melompat'
Oleh Datuk Dr Ismail Sualman
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan di Parlimen, Khamis lalu memberikan mesej jelas kepada setiap ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti diwakili untuk melindungi mandat rakyat.
Kelulusan lebih dua pertiga di Parlimen ini satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
Seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju, tiada yang tidak bersetuju dan 11 tidak hadir melambangkan kematangan dan kestabilan politik.
RUU ini juga memberi keyakinan khususnya kepada pengundi serta langkah jelas mewujudkan sesebuah kerajaan dilindungi daripada bencana Ahli Parlimen bertukar parti.
Kelulusan RUU ini juga menjadikan pengundi lebih yakin dengan pilihan mereka buat kerana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mereka pilih dan memenangi kerusi ditandingi tidak akan melompat parti selepas ini.
Pindaan RUU ini juga komitmen kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik tiada berkesudahan.
Sebenarnya, tindakan lompat parti dan pembelotan parti atas apa jua alasan mencetuskan banyak perdebatan dan kontroversi serta memberi kesan negatif terhadap mandat serta kepercayaan rakyat, yang mengundi wakil rakyat mereka.
Dakwaan melompat parti demi kepentingan rakyat dan bukan untuk pemimpin parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi fenomena dan dianggap tindakan luar biasa dalam landskap politik.
Dakwaan Ahli Parlimen yang terbabit dengan melompat parti, bertentangan dengan integriti dan proses demokrasi serta menjejaskan mandat rakyat.
Senario politik bergolak sejak 2020
Ahli Parlimen juga gagal menjelaskan bagaimana tindakan lompat parti itu demi kepentingan rakyat sedangkan tindakan sedemikian bertentangan dengan kepercayaan pengundi dan menghakis keyakinan pengundi terhadap proses demokrasi.
Apatah lagi tindakan melompat parti yang dikaitkan dengan politik wang atau kepentingan diri sendiri seperti untuk mendapat kuasa, kedudukan dan kepentingan peribadi perlu dihentikan.
Mandat diberikan pengundi dalam amalan demokrasi yang adil, mesti dipelihara dan prinsip demokrasi dipertahankan demi memastikan kestabilan politik.
Senario politik Malaysia bergolak sejak 2020 dan trend melompat parti menimbulkan ancaman serius kepada amalan demokrasi di negara ini.
Ahli Parlimen yang diundi bertukar kesetiaan politik banyak menyumbang kepada pergolakan politik dan Malaysia tidak mampu menanggung satu lagi kejatuhan kerajaan Persekutuan atau negeri akibat pembelotan pada parti.
Semua Ahli Parlimen perlu mendukung sistem perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan ketinggian perlembagaan.
Kehendak parti tidak boleh menjadi agenda mutlak kerana setiap Ahli Parlimen bersumpah menurut Jadual Keenam Perlembagaan - menuntut taat setia melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan.
Kehendak parti yang tidak bercanggah dengan kedaulatan undang-undang dan ketinggian perlembagaan perlu dihormati setiap ahli yang terpilih menjadi wakil rakyat.
Dengan kelulusan RUU ini, diharap setiap Ahli Parlimen tetap taat kepada kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan negeri, menghormati lain-lain kedudukan dijamin Perlembagaan seperti kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri serta kepentingan sah kaum lain.
RUU ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti sesuka hati tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah bagi memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.
Diharap tiada lagi adegan 'lompat katak' selepas ini yang sebelum ini menjadi fenomena aneh dalam sejarah politik Malaysia.
Hakikatnya, rakyat mahukan mandat diberi melalui kertas undi diterjemahkan dalam bentuk perkhidmatan terbaik oleh Ahli Parlimen yang dipilih demi memastikan kesejahteraan rakyat terus dibela.
Penulis adalah Profesor di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.