'Jangan layan parti pengkhianat, segerakan PRU-15'
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak boleh melayan kehendak parti lawan yang mahu melengahkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga hujung penggal.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata pilihan raya umum perlu diadakan segera berikutan momentum kini berada di pihak BN.
"Hari ini adalah tarikh terakhir MOU (perjanjian persefahaman kerajaan dan Pakatan Harapan untuk) tidak ada pilihan raya sebelum 31 Julai.
"Ertinya pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa. Kami mahu pilihan raya diadakan segera dan jangan sesekali melayan kehendak pembangkang dan juga BERSATU yang mahu melengah-lengahkan pilihan raya sehingga hujung penggal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Konvensyen yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dan ketua sayap parti komponen serta parti gabungan (Friends of BN).
Mengulas lanjut, Zahida berkata, BN juga tidak boleh menunggu sehingga parti lawan bergabung untuk mengadakan PRU-15.
"Kenapa kita perlu tunggu mereka bergabung, baharu kita nak serang, jangan kita berikan mereka vitamin untuk mereka lebih kuat. Bodohlah kita, tidak menyerang ketika musuh kita lemah," katanya.
Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan antilompat parti, beliau mengingatkan BERSATU adalah sarang pengkhianat yang tidak perlu dilayan.
"Tahniah, di atas kejayaan meminda perlembagaan bagi membolehkan akta antilompat parti diadakan.
"Kami tidak sabar menunggu pilihan raya diadakan segera. Kami tidak sabar untuk melihat katak pengkhianat termasuk bekas pemimpin pergerakan Puteri UMNO sendiri, ditanam politiknya," katanya.
Dalam pada itu, Zahida berkata, parti mesti mengemukakan calon yang faham mengenai aspirasi wanita.
Tegasnya, parti harus bertegas dengan mereka yang berpandangan seksis dan rasis, suka mempersendakan wanita, merendahkan wanita dan bertingkah laku memualkan terhadap wanita.
"Kami juga sangat sensitif dengan mereka ini. Kalau seluruh masyarakat mual dengan mereka, parti tidak lagi boleh mengharapkan kami mempertahankan mereka.
"Noktah. 'No way brother!' Lelaki MCP, 'Male Cauvinist Person', lelaki yang menganggap dialah dewa segalanya, sepatutnya tiada tempat dalam BN," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.