https://critoxium.com/shop/

Terkini

Laungan ‘Tolak Umno’ bergema ketika pemimpin PH pertahan MB Negeri Sembilan


PETALING JAYA: Laungan “Tolak Umno” bergema dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan (PH) di Paroi, Seremban, malam tadi selepas beberapa pemimpin gabungan itu selesai berucap, walaupun terdapat gesaan berulang untuk bertenang.

Ratusan penyokong PH berhimpun berdekatan Stadium Tunku Abdul Rahman di Seremban untuk ceramah itu, dengan ramai berpakaian warna parti masing-masing, termasuk baju PKR biru putih yang tertera perkataan “Team Tok Min”, merujuk Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata tindakan tidak patut didorong emosi, tetapi perlu berlandaskan pemahaman jelas terhadap realiti dalam krisis Negeri Sembilan.

“Ada lagi isu di kalangan Yang Dipertuan Besar dengan Datuk-Datuk Undang. Itu kita tak boleh campur.”

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, isu sedemikian perlu diselesaikan dalam institusi diraja itu sendiri. Sehingga itu, tiada keputusan besar dapat dicapai, katanya.

“Pertamanya, tak boleh lantik menteri besar baharu sebab tak boleh ada majlis angkat sumpah. Kedua, tak boleh lantik mana-mana exco baharu. Malah, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tak dapat dilaksanakan.

“Oleh kerana itu, pentadbiran kita ini ‘status quo’, iaitu selagi isu ini belum selesai, tak timbul mana-mana pihak boleh mengambil alih sebagai menteri besar.

“Tok Min yang akan kekal menjadi menteri besar,” kata Loke yang juga menteri pengangkutan.

Tegasnya, beliau memahami kemarahan dan desakan untuk DUN dibubarkan segera, tetapi kerajaan akan terus mentadbir negara dan negeri dengan baik sebelum berdepan pihak pembangkang apabila tiba masa sesuai.

Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus selepas semua 14 Adun Umno-Barisan Nasional negeri itu menarik balik sokongan kepada Aminuddin atas caranya menangani krisis membabitkan empat Undang dikatakan mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar.

Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan tindakan menarik balik sokongan itu “amat dikesali”.

“Jika kepentingan rakyat diambil kira, perkara sebegini tidak akan berlaku,” katanya sambil menambah keyakinan perlu terus diberikan kepada kepimpinan (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim dan pentadbiran Aminuddin.

Turut berucap dalam ceramah itu Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Amanah Negeri Sembilan MK Ibrahim Abd Rahman, Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu serta Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Anwar tidak menghadiri ceramah itu, tetapi gambarnya dipaparkan dengan jelas pada latar pentas, poster dan program rasmi.

Aminuddin yang turut berucap dalam ceramah itu berkata, krisis politik di Negeri Sembilan perlu dijadikan pengajaran kepada ahli parti komponen PH dan penyokongnya untuk kekal bertenang serta bersatu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.