Apa Bentuk Kerajaan Selepas Pru 16 ?
1. PRU 14 2018 rakyat telah menolak BN dengan memberi mandat kepada PH membentuk kerajaan. Malangnya mandat tersebut telah dikhianati oleh rakan dan sahabat sendiri dengan berpakat dengan BN dan Pas sehingga lahirnya PN dan Kerajaan Tebuk Atap.
2. PRU 15 2022 menyaksikan tidak ada mana mana parti yang mendapat mandat dari rakyat. Atas titah
YDPA, Kerajaan Perpaduan telah dibentuk secara perkongsian kuasa antara PH dan BN selepas PN menolak tawaran tersebut. Kemudian GPS dan GRS turut mendokong.3. Malangnya penyatuan atas nama "Kerajaan Perpaduan" yang kemudian dikenali sebagai Kerajaan Madani sehingga hari ini masih gagal menunjukkan keserasiannya atas berbagai halangan, sekatan dan alasan yang kadang kala sengaja diada adakan.
4. Keberadaan Dap sebagai sebahagian dari kerajaan selain propaganda "Islam terancam" menjadi polemik yang diulang ulang bagi menanam kebencian kepada PMX dan Kerajaan Madani termasuk dari pemimpin dan penyokong rakan kerajaan perpaduan sendiri (baca UMNO), apalagi dari Pas.
5. Jika benar ketentuan Allah yang mentakdirkan PH terpaksa berkongsi kuasa dengan BN selepas PRU 15 tidak dapat diteruskan lagi terutama kerana "Dap, Dap, Dap"...maka satu mandat baru dari rakyat melalui PRU 16 amat diperlukan.
6. PRU 16 nanti, biar rakyat yang memutuskan sendiri apa bentuk kerajaan yang mereka mahukan. Setiap parti terutama PH, BN atau PN atau mana mana parti lain perlu diberi kuasa mutlak dengan menguasai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
7. Jika dilihat kepada senario politik hari ini, PH dilihat boleh membentuk kerajaan bersama GPS dan GRS, bahkan ianya lebih "ngam" @ serasi berbanding bersama BN yang masih belum dapat menerima kewujudan Dap sebagai kuasa politik baru menggantikan MCA, MIC, Gerakan, SUPP dan lain lain parti politik bukan melayu walaupun Dap juga cina sebagaimana cinanya MCA dan Gerakan.
8. Maknanya jika trend politik menjelang PRU 16 menjurus kepada semua parti parti akan bergerak secara solo, PH dijangka mampu membentuk kerajaan samada secara solo, atau sekurang kurangnya dengan sokongan Sabah (GRS) dan Sarawak (GPS).
9. Namun jika BN masih sudi bersama PH, maka itu adalah yang terbaik kerana masing masing reda dan menerima takdir penyatuan yang Allah sendiri tentukan melalui keputusan PRU 15 2022 dan telah diteruskan melalui beberapa PRN 2023, abaikan isu Dap dan Islam terancam ciptaan Pas.
10. Ambo berpandangan penyatuan PH BN secara tidak dirancang selepas PRU 15 itu, bahkan suatu yang Allah rancang dan menentukannya perlu diterima dan diteruskan dalam PRU 16 nanti. Namun jika kita memilih untuk berlawan, itupun takdir Allah juga!!!.
Penulis ialah bekas Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan.
Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara,
Ahli Majlis Sains MARDI,
Ahli Lembaga Pelawat Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.